Baru
Tunggu kejap ya... nak cari entri terbaru

SERAM & MISTERI

Hantu Atau Manusia Terperangkap Dalam Masa?


Hantu Atau Manusia Terperangkap Dalam Masa? | Masih ingat lagi tak video penampakan entiti di Paka, Terengganu yang pernah tular  lebih kurang tujuh tahun dulu? "Entiti" yang dilihat sedang berlegar-legar sebelum ia tiba-tiba ghaib depan kedai 7-Eleven tersebut dikatakan pontianak. Tapi betulkah itu memang pontianak? 


Sumber video: Youtube

Bila tengok balik klip video lama ini, Ayuni perhatikan ada beberapa ciri pada "entiti" tersebut yang boleh menyangkal pendapat bahawa ia adalah pontianak. Mula-mula sekali, entiti itu memakai baju kurung hijau dengan sweater depan bajunya seperti penunggang motor. Wajahnya kelihatan seperti sedang buntu semasa memandang ke arah depannya sebelum berpusing ke tepi. Ia juga sedang menyandang sebuah beg tangan. Semasa ia tiba-tiba ghaib daripada pandangan kamera CCTV, tiada kedengaran bunyi mengilai seperti dalam kebanyakan insiden berkaitan pontianak yang pernah dilaporkan. Bagi Ayuni rupa dan gelagat entiti itu langsung tak macam hantu.

Imej "entiti" yang dikatakan pontianak

Insiden itu mengingatkan Ayuni kepada satu kisah misteri yang pernah berlaku di Louisiana, USA pada tahun 1969. Ceritanya hampir sama seperti legenda Volkswagen kuning di Malaysia, cuma bezanya dalam kereta kisah di USA ini ada pemandu. 

Misteri Kereta Hijau Lama

Apa yang berlaku ialah seorang lelaki dengan rakan seperniagaannya sedang memandu di sebuah lebuhraya apabila tiba-tiba mereka ternampak sebuah kereta vintaj model 1940-an bergerak di sebelah kereta mereka. Pada mulanya kedua-dua lelaki itu berasa kagum melihat kereta itu yang dah dikira antik pada zaman tu dan masih kelihatan baru. Mereka pandang ke arah tingkap depan kereta dan mendapati pemandu kereta tersebut merupakan seorang wanita muda. Di kerusi penumpang sebelah wanita itu pula ada seorang budak lelaki kecil, mungkin anaknya. Apa yang membuat kedua-dua lelaki itu kehairanan ialah wanita dan anaknya memakai pakaian fesyen dari zaman 1940-an dan wanita itu pula sedang menangis teresak-esak sambil memandu dalam keadaan gelisah, seolah-olah dia dah tersesat jalan dan tak tahu hendak ke mana.

Adakah ini kereta yang dipandu oleh pemandu wanita misteri itu?

Lelaki itu bertanya dari dalam keretanya sama ada wanita itu perlukan pertolongan. Wanita tersebut mengangguk lalu bersetuju untuk berhenti di tepi jalan mengikut arahan lelaki itu. Namun sebaik sahaja lelaki yang hendak menolong itu memberhentikan keretanya di tepi jalan, dia dan rakannya pandang ke belakang dan mendapati kereta antik tersebut dah tiada. Tak lama kemudian sebuah lagi kereta yang lalu di belakang mereka tiba-tiba membrek secara mengejut. Pemandu kereta yang berhenti secara tiba-tiba itu keluar lalu bertanya kepada mereka, "Kamu nampak tak kereta tadi? Tadi ia depan kereta aku. Tiba-tiba ia hilang daripada pandangan!"

Terperangkap Dalam Lorong Masa?

Berdasarkan kisah yang berlaku di USA itu, Ayuni syak entiti yang ditemui di Paka, Terengganu itu bukan hantu, tetapi ada kebarangkalian ia wanita yang terperangkap dalam susuran masa yang salah dan dia jadi buntu nak pergi ke mana, sehinggalah dia 'ghaib' dan kembali semula ke zaman yang betul. Terdapat banyak kisah di mana seseorang sedang membuat aktiviti seharian di tempat yang dia biasa lalui sehingga suatu hari dia tak perasan dia termasuk dalam lorong masa yang luar daripada zamannya. Ada juga kisah tentang penemuan objek atau bandar misteri yang tak sepatutnya berada di zaman tersebut tiba-tiba ghaib daripada pemandangan.

Hantu, atau manusia terperangkap dalam zaman lain?

Sekaligus ini membuat Ayuni teringat tentang satu kisah pelik yang ibu Ayuni pernah ceritakan masa dia remaja dulu. Ibu Ayuni bersekolah di asrama penuh dan apabila ada aktiviti luar para pelajar akan berkumpul sama-sama. Jadi pada suatu hari tu ibu Ayuni dan kawan-kawan seasramanya pergi beriadah di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu. Mereka bermalam di situ dan ibu Ayuni cerita masa semua orang dah bersiap-siap nak tidur entah macam mana dia berjalan dari bilik rumah rehat sampai ke luar hingga ke tepi pantai. Dia keliru tengok dekat tepi pantai itu tiba-tiba muncul pelabuhan dan kapal-kapal datang berlabuh, padahal masa mereka datang di waktu siang kawasan pantai tu kosong saja.

Pantai Batu Burok sekarang

Kapal Hantu Berlabuh Di Waktu Malam

Ibu Ayuni bersembunyi di sebalik batu besar di tepi pantai dari mana dia dapat nampak jelas ramai orang Melayu dan Cina berpakaian seperti orang kurun ke-14 di kawasan pelabuhan tersebut sedang sibuk turun dari kapal, berbual sesama sendiri dan memberi arahan kepada sekumpulan kuli untuk memunggah kargo. Ada yang mengikat tali sauh beramai-ramai, ada yang mengangkat peti-peti kayu dan tempayan, serta menjinjing timba-timba berisi sesuatu diikat pada setiap hujung batang kayu. Ibu Ayuni berasa kagum melihat struktur dan rekaan kapal-kapal besar yang berlabuh - saiz kapal-kapal itu amat besar hingga boleh menampung stadium bola, memiliki layar angin yang lebar dan tinggi serta ukiran kayu indah pada badan kapal yang diperbuat daripada kayu. Dia hairan mengapa mereka tak nampak kapal-kapal setinggi bangunan ini dari jauh masa mandi di laut petang tadi.

Mungkinkah begini rupa kapal yang ibu Ayuni nampak?

Tiba-tiba pemandangan di depan matanya lenyap dan suasana pantai berubah menjadi lengang. Ibu Ayuni rasa amat terkejut. Dia memandang sekeliling dan mendapati hari dah makin terang. Apabila ibu Ayuni kembali ke rumah rehat kawan-kawannya termasuk cikgu semua memarahinya dan menuduh dia menghilangkan diri secara senyap-senyap. Rupa-rupanya dah kelam-kabut mereka mencari dan memanggil ibu Ayuni sepanjang pagi tu. Yang peliknya ibu Ayuni tak dengar langsung mereka memanggil dan menyangka mereka masih tidur. Dia juga rasa tak percaya yang dia telah berada di tepi pantai tu sepanjang malam, padahal dia rasa macam baru dalam sejam. 

Wujudkah portal masa tersembunyi yang boleh membawa manusia ke zaman yang berlainan dalam dunia ini? Adakah kemungkinan yang ibu Ayuni, pemandu wanita kereta misteri di USA, dan wanita "pontianak" di 7-Eleven merupakan antara golongan yang terperangkap dalam portal masa tersembunyi secara tak sengaja?

Tentang Ayuni Rafilah

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

1 Komen:

  1. Uii, ingatkan dalam movie je, rupa-rupanya ada pengalaman macam ni.
    Patut la kadang2 ada orang citer yang bukan2, kita ingatkan dia silap tengok.

    Pakcik saya pernah ingat yang dia ada menghadiri majlis perkahwinan ibu dan ayahnya (nenek n atuk saya) masa kecik2 dulu. Dia kata nampak ibu da ayahnya bernikah dan bersanding (dia anak ketiga, jadi tak mungkin la dia wujud time tu).Semua orang gelak termasuk la saya. Mungkin dia silap ingat tapi mungkin juga dia salah seorang yang bertuah kembali ke zaman silam untuk beberapa ketika..

    BalasPadam

Dikuasakan oleh Blogger.