Baru
Tunggu kejap ya... nak cari entri terbaru

Gejala Pedofilia Di Kalangan Guru Membimbangkan


Gejala Pedofilia Di Kalangan Guru Membimbangkan | Guru merupakan pekerjaan yang dipandang mulia oleh masyarakat kerana berperanan sebagai pendidik dan penyebar ilmu kepada generasi muda yang mana suatu hari nanti akan menjadi insan membangunkan negara. Malangnya, reputasi guru di zaman sekarang menjadi tercalar dengan wujudnya golongan guru yang menghadapi pelbagai masalah jiwa seperti depresi, psikopat, dan pedofilia.

Bukan sekali masyarakat disaji berita tentang guru yang membunuh diri kerana tak tahan dengan kerja, guru yang mendera anak murid sehingga ada yang tercedera malah terbunuh, serta kes guru mencabul, meliwat dan merogol anak murid. Apa yang membimbangkan ialah perkara-perkara seperti ini kerap berlaku tetapi masih kurang penyelesaian dicapai bagi membanteras kes jenayah di kalangan guru terutama sekali kes melibatkan pedofilia, iaitu pencabulan seksual ke atas kanak-kanak bawah umur.

Apa Itu Pedofilia

Pedofilia merujuk kepada keadaan di mana seorang dewasa tertarik dengan golongan kanak-kanak bawah umur dan mempunyai keinginan untuk mengadakan hubungan intim dengan kanak-kanak sama ada dengan kemahuan kanak-kanak itu atau tidak. Pendek kata, keinginan bercinta serta melakukan amalan seksual dengan kanak-kanak bawah umur ialah pedofilia kerana ia merupakan perbuatan luar tabii sama seperti keinginan bercinta dengan pasangan sama jantina (homoseksual). Sukar untuk mengenalpasti jika seseorang individu itu jatuh dalam golongan pedofilia kerana penjenayah pedofilia boleh datang daripada pelbagai latarbelakang. Oleh itu ibu bapa harus berwaspada dengan orang-orang yang rapat dengan anak bagi menghindari perkara yang tidak diingini.

Sedutan dari video pornografi melibatkan aksi pedofilia antara wanita dewasa dan kanak-kanak lelaki yang tular di Indonesia. Penjenayah pedofilia boleh datang dari pelbagai usia, jantina, bangsa, agama dan profesion.

Memandangkan mereka meminati kanak-kanak bawah umur, kebanyakan golongan pedofilia akan memilih pekerjaan yang memberi mereka peluang untuk mendekati mangsa mereka. Antara pekerjaan yang paling popular di kalangan golongan pedofilia ialah guru, kaunselor, ahli agama, pelatih sukan, doktor, jururawat, pengasuh, dan pekerja/sukarelawan di badan kebajikan atau organisasi kerajaan. Melalui pekerjaan sebegini penjenayah pedofilia mudah meraih kepercayaan mangsa serta ibu bapa mangsa dengan membina hubungan yang baik bersama mereka. Ini memudahkan penjenayah pedofilia mengulangi perbuatan mereka tanpa diragui sesiapa.

Penjenayah pedofilia pandai bermain dengan psikologi dan memanipulasi mangsa sehingga mangsa mudah jatuh cinta dan percaya dengannya.


Kes Pencabulan Pelajar Oleh Guru Pedofilia

Terbaru Syed Azmi Alhabshimembongkarkan kisah pencabulan beberapa orang pelajar sekolah oleh guru mereka dalam catatannya di Facebook, di mana dua daripada pelajar tersebut menceritakan mereka telah dibawa oleh guru terbabit ke resort dan hotel dengan alasan yang diberi kepada ibu bapa bahawa mereka mengikuti kursus di luar sekolah. Sebaliknya apa yang berlaku ialah guru terbabit telah meniduri pelajar-pelajar tersebut. 

Sumber: Syed Azmi

Apa yang mengejutkan tentang kes ini ialah guru jahanam tersebut pernah disiasat oleh pihak pentadbiran di sekolah lamanya atas tuduhan mencabul anak murid, tetapi terlepas apabila mangsa menukar pengakuan bagi melindunginya (Stockholm Syndrome?). Tambahan lagi pihak pentadbiran sekolah di mana guru itu sedang mengajar tidak berani hendak mengambil tindakan terhadap guru tersebut dengan alasan kerana tiada bukti, takut disaman, serta kerja-kerja pejabat yang dilakukan oleh guru itu sangat bagus. Namun begitu timbul kesedaran pihak sekolah dan ibu bapa untuk memperbetulkan keadaan selepas dua orang pelajar tampil memberi keterangan dan perkara itu telah dibawa ke perhatian polis.

Berhubung dengan kes pedofilia yang berlaku, Kementerian Pendidikan Malaysia berhasrat untuk meneliti cadangan ujian psikiatri kepada bakal guru untuk mencegah kes pedofilia dalam kalangan guru daripada terus berlaku. Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, ujian tersebut sebagai saringan bagi memastikan tiada individu yang mempunyai kecenderungan pedofilia diterima sebagai guru. Semoga inisiatif ini mampu melindungi anak-anak bawah umur di sekolah daripada ancaman manusia sakit jiwa yang sepatutnya menjaga amanah sebagai guru dan bukan merosakkan masa depan anak murid.

Tentang Ayuni Rafilah

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

1 Komen:

Dikuasakan oleh Blogger.