Baru
Tunggu kejap ya... nak cari entri terbaru

Asal-Usul Nama Buah Manggis


Asal-Usul Nama Buah Manggis | Hari ini Ayuni nak kongsikan satu kisah dongeng dari Riau, Indonesia iaitu bagaimana buah manggis mendapat namanya. Rupa-rupanya ramai orang muda generasi sekarang ada yang tahu makan buah manggis tetapi tak pernah tahu dari mana manggis mendapat namanya. 

Manggis ni buah yang popular bukan sahaja di Malaysia malah mula terkenal seantaro dunia. Buah ini menjadi kegilaan rakyat Jepun yang mengamalkan diet sihat bagi mengelakkan obesiti. Dalam siri Supernatural episod Scoobynatural, Castiel menggelar buah manggis sebagai 'Fruit from the Tree of Life in Syria' di mana dia terpaksa "berkahwin" dengan ratu jin demi mendapatkan buah ini daripada tangan kaum jin Syria dengan selamat. Yang bagusnya dia bawa balik buah-buah manggis tersebut dalam beg guni yang comel.

Castiel dalam siri Supernatural membawa buah manggis yang kononnya buah ajaib diperolehi dari masyarakat jin di Syria


Kisah Magi Anak Gadis Magot

Pada zaman dahulu di kepulauan Lingga, Riau hidup sebuah keluarga yang terdiri daripada seorang bapa bernama Pak Magot, ibu bernama Mak Ginoh dan anak perempuan tunggal mereka Magi. 

Pulau Anambas di kepulauan Lingga, Riau.

Magi merupakan seorang gadis yang rupawan: tinggi lampai, berambut panjang hingga ke betis, berkulit hitam manis, bibirnya mungil dan mempunyai leher jinjang. Magi juga merupakan anak yang berhati mulia, jujur, dan tulus. Perkara yang paling Magi suka buat di masa lapangnya ialah berkebun dan menanam pokok bunga. Tak jauh dari rumah mereka, terdapat sebahagian tanah yang menjadi kebun milik Magi di mana dia kerap meluangkan masa menanam pelbagai jenis bunga dan tanaman yang menghasilkan bunga-bungaan yang indah serta buah-buahan yang lazat.

Mungkin begini rupa si Magi

Pada suatu hari, Pak Magot menerima kehadiran seorang pemuda yang datang untuk melamar Magi. Pemuda itu amat segak orangnya dan merupakan anak orang terkaya di kawasan perkampungan tersebut. Sayangnya Pak Magot menolak lamaran pemuda itu. Alasannya pemuda itu tidak akan mampu menjadi seorang suami bagi anaknya kerana akan jadi terlalu sibuk mencari dan menjaga harta benda sehingga mengabaikan isteri. Mak Ginoh hanya mampu mengalirkan air mata kecewa di sebalik dinding setelah mendengar kata-kata Pak Magot.

Selang beberapa bulan kemudian, datang seorang pemuda lain ke rumah Pak Magot untuk melamar Magi. Pemuda ini terkenal dengan sifat budi pekerti yang tinggi. Ramai ibu bapa dalam perkampungan yang memiliki anak gadis bujang teringin menjadikan pemuda tersebut menantu mereka kerana kesopanan adabnya dan kesantunan percakapannya. Tak ketinggalan juga ramai anak dara dan mak janda tergila-gilakan pemuda tampan yang bersifat peramah itu. Namun begitu, Pak Magot menolak juga lamaran pemuda itu dengan alasan bahawa anaknya Magi akan makan hati sekiranya menjadi isteri dia kerana pemuda itu merupakan pujaan ramai orang. Tarik nafas lega kesemua anak dara dan mak janda apabila mengetahui pinangan pemuda itu ditolak oleh Pak Magot.

Tidak lama kemudian seorang pemuda lain pula masuk melamar Magi. Pemuda ini pula seorang yang tidak berada tetapi rajin bekerja. Di musim panas pemuda ini akan mencari rezeki sebagai nelayan di laut, dan pada musim tengkujuh pula dia akan mengusahakan ladang di hutan. Seperti diduga oleh kesemua penduduk kampung, Pak Magot menolak lamaran pemuda itu juga. Alasannya dia risau anaknya akan menjadi tak bahagia bersuamikan lelaki yang tak pernah lekat di rumah kerana asyik bekerja mencari nafkah.

Pokok misteri di kebun Magi

Pada suatu petang Magi mendapati salah satu pokok yang ditanamnya memiliki bunga yang mula berputik. Magi menemui tunas pokok tersebut di hujung hutan lalu membawanya ke kebun untuk memeliharanya hingga besar. Pokok itu memiliki akar yang tunjang, daun berwarna hijau kehitaman, dan batang yang bercabang. Magi tidak pernah melihat pokok jenis sedemikian dan buntu memikirkan nama yang hendak diberikan kepada tanaman barunya itu. Dia memanggil Pak Magot dan Mak Ginoh datang ke kebun untuk melihat sambil membantunya cari nama bagi pokok tersebut.

Sedang ketiga-tiga anak-beranak leka memandang pokok baru itu, tiba-tiba muncul seorang pemuda tidak  dikenali di kebun bersama mereka. Magi tergamam melihat rupa pemuda tersebut yang mempunyai kulit kuning langsat, rambut tebal berombak, mata hitam berbinar seolah-olah tidak pernah melihat perkara yang tidak elok dalam hidupnya, dan mulut yang kelihatan seperti tidak pernah mengatakan perkara buruk. Wajah pemuda itu licin tanpa sebarang janggut atau kumis.

Magi dan Mak Ginoh berdiri mendekati pokok misteri mereka sambil mencuri dengar perbualan antara Pak Magot dengan pemuda tidak dikenali...

"Saya bukan orang kampung ini. Saya tidak terlalu rajin bekerja. Saya juga tidak terlalu suka pada harta dunia. Saya datang ke sini untuk meminta izin bapak agar Magi dapat saya jadikan isteri saya. Apakah bapak setuju?" kata pemuda itu kepada Pak Magot.

Jawab Pak Magot, "Saat ini bukanlah waktu yang sesuai untuk berbincang tentang masa depan anak saya. Pulanglah dulu. Tujuh hari lagi, silakan datang lagi."

Pemuda itu pun berjanji akan datang tujuh hari kemudian untuk menyampaikan semula hasratnya memperisterikan Magi. Tanpa disedari Pak Magot, Magi telah jatuh cinta dengan pemuda misteri itu pada pandangan pertama. Selama tujuh hari Magi menunggu kedatangan pemuda tersebut di kebun tanamannya dengan harapan dia akan menepati janji. 

Pelik kenapa dia datang meminang seorang diri dekat kebun orang

Apabila pemuda itu muncul semula pada hari ketujuh, hati Magi terasa amat bahagia. Dia berdoa agar Pak Magot akan menerima lamaran pemuda tersebut bagi pihaknya.

"Apa jawapan bapak tentang hasrat saya yang ingin menyunting anak bapak untuk menjadi isteri saya?" tanya pemuda itu kepada Pak Magot.

Pak Magot menjawab, "Maafkan saya kerana saya keliru menghitung hari. Pada hari ini bukanlah hal yang baik untuk merundingkan tentang lamar-melamar anak gadis orang. Datanglah lagi tujuh hari selepas hari ini."

Hal ini membuatkan Magi berasa hampa. Namun dia tetap menunggu kedatangan pemuda itu tujuh hari lagi dengan sabar. Pak Magot yang mula menyedari bahawa Magi menyukai pemuda itu kini sedang berbelah-bahagi sama ada hendak melepaskan anak gadis kesayangannya kepada pemuda yang tidak dikenali mereka.

Tiba pada hari yang dijanjikan, pemuda itu datang semula dan bertanyakan soalan yang sama kepada Pak Magot, "Apakah bapak menerima lamaran saya?"

Akhirnya Pak Magot berkata, "Saya izinkan tuan memperisterikan anak saya. Cuma saat ini musim kesusahan. Saat seperti ini bukanlah baik untuk mendirikan rumah tangga. Berdasarkan perhitungan perjalanan bintang, silalah datang lagi ketika angin kuat dari arah utara tak lagi bertiup kencang. Itu semua akan memakan waktu dua bulan lagi. Sampai masanya, datanglah lagi untuk memperisterikan Magi."

Saat mendengar jawapan Pak Magot, Magi yang sedang berdiri di bawah pokok yang masih belum diberikan nama menangis seorang diri. Pemuda itu berkata, "Saya mengerti maksud bapak yang sudah mengizinkan saya untuk menjadi suami  Magi. Saya mohon diri."

Selepas pemuda itu beredar meninggalkan Pak Magot, dengan tidak semena-mena Magi ghaib daripada pandangan bapanya. Pak Magot yang kehairanan segera memanggil Mak Ginoh untuk mencari anak mereka di seluruh pelusuk kebun tersebut. "Di mana tadi anakku Magi?" tanya Mak Ginoh kerisauan.

Pak Magot menunjuk ke arah bawah pokok yang dipelihara oleh Magi sambil menjelaskan, "Di sini tadi Magi naggis (Magi menangis)."

Magi naggis

Lama-kelamaan Pak Magot dan Mak Ginoh pasrah dengan kehilangan Magi yang tidak berjaya ditemui. Beberapa tahun kemudian, pokok peliharaan Magi mula menghasilkan buah. Pak Magot dan Mak Ginoh memberi pokok itu nama pokok manggis sempena kali terakhir Pak Magot melihat Magi menangis di bawah pokok itu.

Pertama kali Pak Magot dan Mak Ginoh memakan buah manggis mereka mengalami kesulitan untuk membukanya. Mereka buntu memikirkan cara untuk membuka buah tersebut. Tak lama kemudian Mak Ginoh teringatkan sifat Magi yang manja dan suka dipeluk oleh ibunya. Maka mereka membuka buah manggis itu dengan cara ‘memeluknya’, iaitu menekan kulit buah manggis dengan kedua telapak tangan. Saat warna putih isi manggis kelihatan keluar sebalik kulitnya yang hitam, ia mengingatkan Pak Magot dan Mak Ginoh tentang sifat anak mereka yang berhati mulia, jujur, dan tulus di sebalik kulitnya yang hitam manis.

Tentang Ayuni Rafilah

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

1 Komen:

  1. hihi memang tahu makan je. tak tahu pun asal usul semua ni.. skrang tngh msim ni banyak manggis. manggis pun famous jadi antara bahan untuk product kecantikan..

    BalasPadam

Dikuasakan oleh Blogger.