Baru
Tunggu kejap ya... nak cari entri terbaru

KEAGAMAAN

Hukum Amalan Memberi Duit Raya


Hukum Amalan Memberi Duit Raya | Kita sudah sedia maklum bahawa apabila tiba musim perayaan Aidilfitri, ramai akan menyambut Syawal dengan gembira. Sudah tentu kanak-kanak merupakan golongan yang paling gembira kerana di samping dapat menikmati kuih raya yang enak semasa menziarahi rumah jiran tetangga dan saudara mara, mereka juga menerima duit raya.

Berbeza dengan negara lain yang menyambut Aidilfitri, rakyat Malaysia mengamalkan konsep memberi duit raya kepada kanak-kanak sebagai tradisi perayaan. Agak janggal bagi masyarakat sini sekiranya seseorang tidak memberi duit raya di dalam sampul kepada kanak-kanak yang mengunjungi rumah mereka. Orang itu pasti akan dicop sebagai bakhil. Malah, jika nilai duit raya yang diberi amat sedikit rumah si pemberi tidak akan dikunjungi lagi kerana dia dianggap kedekut. Budaya ini tidak pernah dilihat di negara lain, seperti Arab Saudi misalnya.

Budaya memberi duit tidak pernah disebut dalam mana-mana hadis dan surah Al-Quran. Ia sebenarnya budaya Cina yang ditiru oleh masyarakat Melayu sejak berzaman dahulu, iaitu budaya memberi dan menerima ‘ang pow’ semasa perayaan Tahun Baru Cina. Seperti mana adat bersanding atas pelamin yang berasal daripada amalan penganut Hindu yang kini diserap menjadi budaya masyarakat Melayu sehingga sekarang. Oleh itu amalan memberi dan menerima duit raya tidak diwajibkan dan hanya dikira sebagai adat dalam masyarakat. Namun adakah adat ini sejajar dengan hukum syarak? 

Terdapat pelbagai reaksi dilontarkan oleh orang ramai tentang kebaikan dan keburukan amalan memberi duit raya. Ada yang berpendapat bahawa amalan tersebut harus diteruskan bagi memberi kegembiraan kepada kanak-kanak di samping memupuk semangat menabung di kalangan mereka. Selain itu, orang yang memberi juga dapat pahala melalui pemberian duit raya kerana pemberian itu dianggap sebagai sedekah. Tidak kurang juga pihak yang mengecam budaya memberi duit raya ini sebagai satu pembaziran wang yang secara tidak langsung mendidik anak-anak menjadi materialistik dan mata duitan kerana setiap kali raya mereka tidak menghargai makna sebenar Aidilfitri bersama keluarga, sebaliknya mengharapkan duit raya semata-mata. Ada yang beranggapan bahawa amalan memberi duit raya harus dihapuskan atau diganti dengan pemberian barangan lain, seperti buku misalnya, terutama sekali di kala keadaan ekonomi yang gawat di mana ramai orang sedang melalui masalah kewangan.

Maka apakah hukum bagi memberi dan menerima duit raya?

Hukumnya harus sekiranya duit raya diberikan sebagai salah satu cara untuk menjalin ikatan silaturahim dan juga dengan niat untuk bersedekah. Namun sedekah di bulan Ramadhan berbanding bulan Syawal adalah lebih afdal kerana ganjaran pahala adalah lebih banyak di bulan Ramadhan. Namun begitu, hukum memberi duit raya boleh jatuh menjadi haram sekiranya ia diberi dengan niat tidak baik dan tidak ikhlas, misalnya memberi duit raya semata-mata untuk menunjuk kekayaan atau ingin mendapatkan balasan daripada si penerima. Amalan pemberian dan penerimaan duit raya juga boleh menjadi haram apabila si pemberi sedang dikelilingi hutang tetapi terdesak terpaksa memberi duit raya akibat mahu menjaga air muka, dan apabila anak-anak mula pandai meminta-minta duit raya daripada tuan rumah yang dikunjungi mereka kerana perbuatan meminta-minta seperti pengemis itu dikeji dalam Islam.

Kesimpulannya, tidak salah memberi duit raya kepada kanak-kanak bagi tujuan menggembirakan mereka kerana Hari Raya sememangnya hari untuk semua orang bergembira selagi ia tidak membawa ke arah kesan keburukan.

Penafian oleh Ayuni Rafilah

Segala penulisan yang dikongsi dalam blog ini merupakan pendapat peribadi milik penulis semata-mata yang telah ditapis mengikut garis panduan Akta Hasutan 1949, Akta Jenayah Komputer 1997 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Semua pendapat yang ditulis dalam blog ini tidak mewakili pendapat mana-mana pertubuhan, jenama dan parti politik.

2 Komen:

Dikuasakan oleh Blogger.