RESIPI

Resipi Susu Badam Untuk Berbuka Puasa


Resipi Susu Badam Untuk Berbuka Puasa | Suka makan kacang badam tak? Antara semua kekacang, Ayuni paling suka makan kacang walnut dan kacang macadamia. Badam ni Ayuni agak kurang suka sebab rasanya yang agak pahit dan tekstur yang keras berbanding kacang walnut, macadamia dan pistachio. Tetapi kalau kacang badam ni dihancurkan dan campur dengan susu dan madu Ayuni boleh terima. Bila dijadikan minuman bercampur susu, rasa berlemak kacang badam akan timbul dan kepahitannya hilang. Biasanya masyarakat India pandai buat susu badam ni, kalau tengok cerita Tamil dan Hindi mesti ada adegan yang tunjuk mak-mak buatkan susu badam untuk hero...

Khasiat Minum Susu Badam

Biji badam dipercayai dapat membantu memberi minda yang tajam dan memori yang sangat baik. Ini resipi tradisi susu badam yang Ayuni selalu amalkan di rumah:

Bakar beberapa biji badam sehingga berwarna kekuningan. Kisar sehingga halus bersama sesudu kecil madu. Ada sesetengah orang suka letak serbuk kayu manis untuk menambah rasa herba pada susu badam, tapi Ayuni elakkan sebab tak suka. Masukkan sesudu serbuk badam yang telah dikisar tadi ke dalam segelas susu yang panas.  Amalkan setiap pagi dan malam.

Rupa-rupanya selain daripada resipi tradisi yang Ayuni tau ni, ada bermacam-macam cara lain lagi untuk membuat air susu badam yang enak dihidangkan pada waktu berbuka. Rasa nak meleleh air liur melihat resipi-resipi susu badam yang mudah dibuat dalam beberapa laman peminat susu badam. Di bawah ada dua resipi susu badam pilihan Ayuni yang dirasakan mudah nak dibuat di rumah. Siapa nak buat air susu badam sebagai hidangan istimewa bulan puasa bolehlah cuba resipi-resipi berikut:

Resipi Smoothie Susu Badam dan Avocado


Ayuni suka dengan resipi ini yang ditemui dalam blog Maroc Mama sebab ia mudah dibuat dan bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat smoothie ini pun tak banyak, nak cari pun boleh jumpa di supermarket berdekatan. Cuma perlukan 1/2 biji buah avocado (ambil isinya), 1 gelas susu badam, dan sesudu besar gula atau boleh juga digantikan dengan bahan pemanis lain yang digemari (contohnya madu, susu isian, krimer manis, dan sebagainya). Lepas tu kisar kesemua bahan dalam blender. Nak lagi sedap boleh tambah aiskrim vanila. Untuk panduan lengkap tentang penyediaan smoothie susu badam dan avocado bolehlah baca di https://marocmama.com/moroccan-avocado-smoothie.

Resipi Milk Shake Kurma Badam



Ini satu lagi resipi istimewa bulan Ramadan melibatkan susu badam yang Ayuni jumpa di YouTube. Malangnya video resipi yang dikongsi oleh Mia dalam channel miliknya Mia Kitchen ini disiarkan dalam bahasa Tamil dan tidak mempunyai sarikata Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris, jadi untuk siapa yang tak faham tu bolehlah baca tulisan Ayuni di bawah setelah main agak-agak apa yang Mia cakap dalam video dia tu:

  • 1 sudu besar serbuk minuman malt Horlicks
  • 2 gelas susu segar
  • Segenggam buah kurma
  • Segenggam kacang badam
  • Sedikit ais

Mula-mula masukkan serbuk Horlicks, buah kurma dan kacang badam ke dalam blender. Kemudian masukkan separuh gelas susu segar lalu kisar semua bahan hingga halus. Masukkan susu segar selebihnya bersama ais.

Antara kelebihan minuman susu badam campur kurma ini ialah ia dapat membantu mengatasi keletihan semasa berpuasa serta mengekalkan susu badan golongan ibu yang sedang menyusukan anak (breastfeeding). Ada yang kata minum susu badam campur kurma ini dapat menolong mereka yang mengalami gastrik berpuasa, tapi Ayuni tak pasti sama ada itu benar. Mungkin siapa yang ada pengalaman boleh berkongsi cerita di ruang komen. 

Tentang YunFila

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

3 Komen:

Auni Muthal'lib said...

Selalu tengok india yang suka minum susu badam ni. Teringin nak rasa, nak buat macam tak rajin. Huhu

YunFila said...

Ada kedai yang dah jual susu badam siap punya, dalam bentuk serbuk.

Fieza Sani said...

susu kurma penah buat..susu badam tak penah try...

Powered by Blogger.