PERSONAL

#PRU14 : Saya Ramalkan Kemenangan Pakatan Harapan Dalam Pilihanraya Umum?

#PRU14 : Saya Ramalkan Kemenangan Pakatan Harapan Dalam Pilihanraya Umum? | Semalam rasa macam hari mengundi yang sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Ini kali ketiga Ayuni mengundi dalam Pilihanraya Umum Malaysia, jadi semuanya berjalan lancar. Tetapi itulah... garam perak nitrat yang terkandung dalam dakwat undi yang mana Ayuni celup jari ke dalam tu terasa sangat kering dan mencengkam kulit jari. Risau betul tengok warna jari yang dah nampak macam bahagian terkena kencing manis kronik minta kena potong.

Nampak macam jari gorilla dah.

Walau bagaimanapun, ini pertama kali Ayuni terpaksa mengembara sejauh 245 kilometer balik ke Kuala Lumpur semata-mata untuk membuang undi. Sejak UIA dan hentikan perkhidmatan pergi-balik dari Kuantan ke Gombak untuk staf bulan lepas, semua orang terpaksa mencari jalan untuk balik mengundi ke kampung halaman masing-masing. Ayuni bernasib baik dapat tiket bas terakhir selepas ada orang batalkan tempahan dia pada hari yang sama. Akhirnya Ayuni dapat berjumpa dengan keluarga dalam pertemuan disebabkan politik.

Undi itu rahsia
Dengan saudara-saudara perempuan.
Tak kira siapa yang kita undi, kita tetap keluarga dan warga Malaysia.

ADAKAH IA FIRASAT?

Tak terfikir langsung dalam kepala Ayuni bahawa segalanya akan berubah dalam sekelip mata. Macam biasa, dah keluar daripada pusat mengundi tanpa bagitahu sesiapa Ayuni undi siapa - undi tu kan rahsia - Ayuni pergi beli sekotak buah strawberi diimport dari Greek yang sangat bulat, gemuk dan manis sambil lepak di kafe dalam bandar, dengan jari yang saling tak tumpah seperti warna muka Thanos memegang cawan kopi berisi teh.



Tak pernah terfikir juga bahawa gambar yang Ayuni kongsi dalam Facebook merupakan petanda tersirat tentang bakal keputusan Pilihanraya Umum Malaysia yang ke-14. Nampak tak warna merah buah strawberi yang melambangkan warna logo Parti Pakatan Harapan bertentangan dengan warna biru pekat Barisan Nasional, dalam tangan Ayuni dengan jari berdakwat biru menunjuk ke arah panduan peta Putrajaya?

Baiklah, mungkin perasaan Ayuni saja. Tetapi keputusan pilihanraya yang diumumkan pada malam tadi sememangnya amat mengejutkan dan menggemparkan sejarah politik Malaysia...

TUMPASNYA GERGASI BIRU

Sepanjang 60 tahun ini, tiada siapa dapat bayangkan bahawa sebuah gabungan kerajaan baru akan mampu menumpaskan Barisan Nasional (BN) yang telah lama memerintah, kini di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak, dengan majoriti mudah di Parlimen.

Masukkan lagu 'We Are The Champions' oleh Queen di sini.

Gabungan Pakatan Harapan (PH) yang disertai PKR, DAP, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia telah menyapu 113 kerusi parlimen dan ini melayakkan gabungan tersebut membentuk kerajaan baru. Lima negeri dah beralih sokongan pada PH, manakala Pahang dan Perlis masih berada di bawah pemerintahan BN. Ini merupakan tsunami politik terbesar yang pernah melanda Parlimen sejak Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) di mana BN telah kehilangan 7 daripada 140 kerusi parlimen. Malangnya, BN tidak gentar dengan apa yang telah berlaku dan berterusan hidup dalam delusi tentang kuasanya.

Namun rakyat dah naik muak dengan BN. Mereka mahukan perubahan dalam kerajaan, terutama sekali kerajaan yang tiada GST dan Rosmah. Oleh itu, kekalahan yang dialami BN kali ini amat besar hingga tergadai jua tampuk pemerintahan yang telah lama dipegang.

Dengan kemunculan semula Tun Mahathir ke medan politik pada usia 93 tahun setelah beliau bersara selama 15 tahun, keadaan menjadi semakin menarik apabila seorang demi seorang orang-orang kuat UMNO semasa zaman kepimpinan Tun Mahathir dahulu ((Shafie Apdal, Rais Yatim, Rafidah Aziz, dan Muhyiddin Yassin) meninggalkan UMNO dan BN untuk membentuk gerakan baru menentang BN di bawah Datuk Seri Najib.

APA AKAN JADI SETERUSNYA?

Memandangkan Ayuni dah habis makan kesemua strawberi maka tak adalah ramalan yang dibuat pada masa ini. Di saat Ayuni sedang mencatit entri ini, Tun Mahathir kini berada di Istana Negara menunggu untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7. Ini merupakan kali kedua beliau menjadi Perdana Menteri. Tak pernah dibayangkan bahawa kita akan mendapat orang yang sama menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali. Sepatutnya upacara perlantikan bermula pada jam 5 petang tadi, tetapi media massa menyiarkan bahawa upacara ditangguhkan sehingga ke 9.30 malam ini. Sekarang dah pukul 9.50 malam dan ramai yang masih ternanti-nanti untuk melihat detik bersejarah tersebut di kaca televisyen, komputer dan telefon pintar masing-masing. Tapi apa yang berlaku hari ini memang sesuatu yang luarbiasa, bukan hari-hari kita dapat kerajaan baru memerintah negara... jadi keadaan kelam-kabut para staf di bahagian penyiaran media boleh dimaafkan.

Tentang YunFila

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

0 Komen:

Powered by Blogger.