Baru
Tunggu kejap ya... nak cari entri terbaru

INFO

Lokasi Tiga Kapsul Masa Tun Dr. Mahathir


Lokasi Tiga Kapsul Masa Tun Dr. Mahathir | Semalam kecoh dalam berita tentang penemuan kapsul masa Tun Dr. Mahathir mengandungi beberapa dokumen yang dipercayai akan dibuka pada 31 Mei ini. Bermacam-macam spekulasi dibuat orang ramai tentang kandungan dalam kapsul masa tersebut.

Bila sebut tentang kapsul masa pasti ramai yang membayangkan suatu kotak misteri mengandungi amanat yang bakal merubah dunia kepada umat manusia di zaman seterusnya dan mesej tersebut hanya akan didedahkan selepas tempoh tertentu (kebiasaannya dalam beberapa tahun). Jika anda membayangkan begitu, sila belanja diri anda segelas teh ais Dhaka kerana memiliki daya imaginasi yang baik. 

Konsep Kapsul Masa

Sebenarnya konsep kapsul masa tak tertakluk kepada bayangan yang diceritakan tadi saja. Kapsul masa boleh berupa sesuatu mesej atau barangan bersejarah yang telah tersimpan atau tersembunyi pada jangkamasa yang lama sehingga ditemui atau didedahkan oleh mana-mana pihak. Kebanyakan kapsul masa bertujuan menyimpan perkara bernilai sejarah oleh orang yang menyembunyikannya agar dapat ditemui dan dihayati generasi akan datang. Contohnya:

  • surat dalam botol yang dibaling ke dalam laut
  • suratkhabar lama yang tersimpan sehingga berhabuk dalam bilik stor
  • artifak yang sengaja ditanam untuk digali semula selepas jangkamasa tertentu
  • surat cinta dan resit bil bayaran yang tersimpan lama dalam kotak kasut sehingga berpuluh-puluh tahun
  • hasil karya seperti novel, filem, lagu dan lukisan yang ditetapkan dalam kontrak untuk diterbitkan selepas kematian penciptanya
  • blog yang dah lama terkubur dan disimpan untuk dibaca oleh bakal anak blogger

Kereta sport ini pernah ditanam pada tahun 1957 di sebuah pekan di Oklahoma sebagai kapsul masa dan digali keluar semula pada tahun 2007.

Kapsul masa merupakan satu kaedah penyampaian maklumat dan arahan kepada masyarakat di masa akan datang. Boleh jadi mesej yang ingin disampaikan berkaitan dengan ilmu atau pengetahuan yang dapat membantu masyarakat, amanat berkaitan politik, keagamaan dan keamanan, karya yang tidak pernah diterbitkan, atau sekadar memberi salam.

Kapsul masa paling pelik dalam sejarah yang pernah direkod setakat ini ialah Makam Ketamadunan Georgia yang ditanam pada tahun 1940 dan akan dibuka pada tahun 8113. Ia merupakan kapsul berupa sebuah bilik yang mengandungi pelbagai jenis artifak dan dokumen dari zaman itu.

Lokasi Kapsul Masa Yang Ditanam Tun Dr. Mahathir

Tun Dr. Mahathir dikatakan telah menanam beberapa kapsul masa di tiga lokasi berasingan semasa beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keempat. Berikut ialah lokasi-lokasi yang dikatakan menyimpan kapsul masa beliau...


1. Pusat Rawat dan Rehat Rawang (akan dibuka pada 31 Mei tahun 2018)

Ramai yang tak tahu bahawa kapsul masa ini ditanam sewaktu perasmian Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) pada 8 September 1994. Dalam kapsul ini terkandung dokumen yang hanya akan dikeluarkan selepas tamat tempoh konsesi Lebuhraya PLUS iaitu pada 31 Mei 2018.


2. Mercu Tanda Putrajaya (akan dibuka pada tahun 2020)

Mercu Tanda Putrajaya terletak di Taman Putra Perdana, Putrajaya, Malaysia. Ia merupakan monumen negara yang pertama dibina khas untuk Wilayah Persekutuan Putrajaya. Di bawah tugu ini telah ditanam oleh Tun Dr. Mahathir kapsul masa yang akan dikeluarkan pada tahun 2020 nanti. [Kredit pembetulan: iamzade]


3. Sunway Putra Mall (akan dibuka pada tahun 2087)

Pada tahun 1980-an, Ayuni pernah melihat dan membaca papan tanda yang terletak di atas kapsul masa di Sunway Putra Mall (ketika itu ia dikenali sebagai Yaohan Mall). Tugu batu rendah yang menandakan tempat kapsul masa tersebut tertanam terletak betul-betul di tengah bangunan. Kalau anda lalu di kawasan ruang pameran depan kedai Sepiring, berdekatan arca kambing tu... di situlah tempatnya. Tapi sekarang kapsul masa itu dah tak ada di sana sebab sejak pembinaan semula bangunan Putra Mall menjadi Sunway Putra Mall kapsul masa tersebut dah disimpan dalam bilik Pengurus Besar bangunan.

Tentang YunFila

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

3 Komen:

  1. Kapsul masa di Putrajaya tu bukan ditanam di Monumen Alaf baru tetapi di bawah Mercu Tanda Putrajaya yang terletak di Taman Putra Perdana.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih atas pencerahan, dah dibetulkan semula dalam entri.

      Padam

Dikuasakan oleh Blogger.