Header Ads

Kisah Kehidupan: 5 Patah Perkataan


Kisah Kehidupan: 5 Patah Perkataan | Sepasang suami isteri hidup dengan bahagia dan dikurniakan seorang anak kecil yang sangat disayangi mereka. Pada suatu hari, si suami ternampak botol ubatnya terbuka di ruang tamu namun dia sedang bergegas hendak ke pejabat pada masa itu, lalu dia berpesan kepada isterinya agar menutup botol tersebut dan menyimpannya semula di dalam almari. Manakala si isteri pula terlalu sibuk menyediakan makanan di dapur sehingga dia terlupa pesanan si suami. 

Anak kecil mereka terjumpa botol ubat tersebut lalu menelan seluruh isi kandungannya. Apabila menyedari anaknya rebah tanpa sedarkan diri, si isteri segera kejarkan anaknya ke hospital. Malangnya anak tersebut disahkan telah meninggal dunia. Si isteri menjadi trauma dan takut untuk menghadapi suaminya. Selepas si suami tiba ke hospital dan melihat mayat anaknya, dia memandang ke arah si isteri sambil mengucapkan lima patah perkataan kepadanya.

Apakah lima patah perkataan tersebut?

Si suami cuma mengatakan, "Abang tetap bersama kamu, sayang."

Apa lagi yang boleh dilakukan oleh si suami dalam situasi ini? Anak itu telah meninggal dunia, sudah tentu nyawanya tidak boleh dikembalikan semula. Tiada gunanya mempersalahkan si ibu di atas kecuaiannya. Lagipun, si suami sendiri juga sama cuai kerana kemalangan tersebut boleh dielakkan jika dia telah mengambil masa untuk menyimpan botol ubat tersebut. Tiada gunanya mencari kesalahan atau menuding jari kepada sesiapa. Mereka sama-sama telah kehilangan satu-satunya anak kesayangan mereka. Apa yang diperlukan oleh si isteri ketika itu hanyalah bahu seseorang untuk bersandar dan menangis. Inilah apa yang diberikan oleh si suami kepada isterinya pada ketika itu.

Sekiranya semua manusia boleh memandang kehidupan masing-masing melalui perspektif si suami, kemungkinan banyak keresahan, kehilangan, dan kerunsingan dalam hati dapat diubati. Perjalanan seribu batu sudah tentu harus dimulakan dengan setapak langkah. Berhenti menuding jari ke arah orang lain apabila berlaku sesuatu bencana samada dalam hubungan atau pekerjaan. 

Buang segala perasaan dendam, kesal, sedih, takut, syak-wasangka, sakit hati, dengki, cemburu, serta sikap mementingkan diri sendiri dari jiwa..... dan anda akan dapati bahawa anda mampu menghadapi keperitan menongkah arus kehidupan ini dengan senyuman dan tawa gembira. - A. Rafilah, "Kisah Kehidupan: 5 Patah Perkataan", Jumaat, 15 Mei 2015.

1 ulasan:

  1. kadang2 yang negatif tu cuma 20% dalam hubungan tapi kita lagi fokus yang 20% berbanding 80% yang positif. Singgah sini & follow blog ni :D

    BalasPadam

Dikuasakan oleh Blogger.