Sekiranya Thor: Ragnarok Jadi Permainan Otome


Sekiranya Thor: Ragnarok Jadi Permainan Otome | Gara-gara menjadi terlalu taksub dengan permainan otome Cinderella Phenomenon dalam platform Steam, Ayuni mula terbawa-bawa konsep permainan tersebut semasa menghasilkan imej parodi dalam Photoshop. Mangsa bagi parodi Ayuni kali ini ialah filem Thor: Ragnarok yang sedang ditayangkan di pawagam sekarang. 

Bagi yang tak biasa dengan terma permainan video, permainan otome bermaksud "permainan gadis" kerana ia dicipta khas untuk pemain wanita. Biasanya permainan dengan genre otome mempunyai watak protagonis wanita, jalan cerita yang penuh dengan drama dan beberapa watak lelaki dengan personaliti berlainan yang berpotensi menjalinkan hubungan cinta dengan protagonis. Matlamat pemain otome ialah meraih cinta mana-mana watak lelaki yang disukai dengan membuat keputusan atau mengambil tindakan tertentu dalam situasi diberikan sepanjang jalan cerita. Setiap pilihan yang dibuat akan membuka laluan ke penghujung cerita yang berbeza.

Di Jepun permainan sebegini amat popular dan ia juga dikenali sebagai 'dating sim' atau 'visual novel game'. Permainan otome yang paling dikenali buat masa ini ialah Mystic Messenger yang berasal dari Korea. Corak permainan Mystic Messenger agak unik kerana ia melibatkan pemain menggunakan telefon pintar untuk berhubung dengan watak-watak dalam masa sebenar (real-time gameplay).

Mystic Messenger mempunyai beberapa watak lelaki yang akan berbual dengan anda melalui telefon sehingga mengganggu masa tidur anda. Dalam mimpi pun anda akan terbayang-bayangkan ketampanan mereka.

Adakalanya permainan otome tidak semestinya berkisarkan cerita cinta semata-mata, ada yang memiliki plot cerita yang berunsur seram, aksi, komedi, sejarah, sains fiksyen, misteri dan sebagainya. Contohnya permainan Hatoful Boyfriend berunsur komedi yang mengisahkan dilema protagonis sebagai satu-satunya pelajar manusia dalam menyesuaikan kehidupan bersama teman-teman sekolahnya yang terdiri daripada burung merpati. Ya, dia juga akhirnya bercinta dengan burung merpati dalam permainan ini.

Hatoful Boyfriend, kisah seorang gadis yang cuba menyesuaikan diri di sebuah sekolah elit di mana kesemua pelajarnya merupakan burung merpati yang berbakat tinggi, kaya dan kacak belaka.

Kembali kepada Thor: Ragnarok sebagai otome... sehingga sekarang Ayuni masih tak dapat hilangkan rasa teruja dengan permainan Cinderella Phenomenon yang Ayuni baru habis main. Setiap jalan cerita yang dipersembahkan dalam permainan ini disusun sangat cantik dan jarang sekali ada permainan otome dengan visual 2D ringkas berjaya menyentuh hati pemain. Muzik latarbelakang (BGM) yang terkandung dalam permainan ini juga amat indah dengan alunan bunyi piano yang menghantui, dan kena dengan emosi protagonis. Macam tak percaya permainan yang berkualiti tinggi seperti Cinderella Phenomenon ni boleh dimain secara percuma di platform Steam!

Inilah antara karya visual yang dihasilkan oleh artis Kooriko dalam permainan Cinderella Phenomenon...


Dan hasilnya di bawah, apabila Ayuni membayangkan Thor: Ragnarok sebagai permainan otome ala Cinderella Phenomenon...


Bayangkan jika betul-betul wujud ada permainan otome berdasarkan filem Thor: Ragnarok, mesti seronok kan? Siapakah yang anda akan pilih sebagai jejaka idaman dalam permainan otome ini?

3 ulasan:

  1. Uuuu... Kalau ada, bapaklah seronoknya. Kaklong of course la pilih Loki; although his brain is full of cat, i don't mind at all. :D

    BalasPadam
  2. wow... pandainya ayuni ni siap reka permaianan sdiri dr imaginasi... gd idea sgt kreatif

    BalasPadam

HOME  |  PERTANYAAN   |   PENAFIAN  |   SITEMAP