Jelajah Kuala Lumpur Sempena Citrawarna KL 2017


Jelajah Kuala Lumpur Sempena Citrawarna KL 2017 | Minggu lalu Ayuni berpeluang mengikuti sebuah program anjuran majalah Gaya Travel dengan kerjasama oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia sempena majlis Citrawarna KL 2017 yang bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 28 Oktober 2017. Program bernama EAT.TRAVEL.WRITE & DOODLE 3.0 itu berlangsung selama 3 hari bermula dari 27 sehingga 29 Oktober 2017 dan seramai 30 orang ahli media terdiri daripada wartawan, blogger, personaliti media sosial dan illustrator turut menyertai program tersebut. Tujuan program EAT.TRAVEL.WRITE & DOODLE 3.0 diadakan bagi merapatkan hubungan sesama ahli media sambil mempromosikan acara Citrawarna KL 2017 melalui penerbitan media tradisional dan media sosial. 

Muzium Kesenian Islam Malaysia
Jalan Lembah Perdana, Kuala Lumpur
03-2092 7070

Masa operasi: 
10 pagi - 6 petang setiap hari

Tiket: 
RM 14 (Dewasa) 
RM 7 (Pelajar & Warga Emas)
Percuma (Kanak-Kanak bawah 6 tahun)

Antara artifak dari dunia peradaban Islam di Muzium Kesenian Islam Malaysia
Pada hari pertama kami dibawa ke Muzium Kesenian Islam Malaysia yang terletak berhampiran dengan kawasan Taman Tasik Perdana. Muzium ini mudah dijumpai sebab ia terletak betul-betul sebelah Masjid Negara. Nak jalan kaki ke Taman Burung dan Taman Rama-Rama dari sini pun boleh sebab memang dekat sangat. Lebih kurang dalam 10 minit perjalanan dengan kaki. Muzium ini merupakan muzium kesenian Islam yang terbesar di Asia Tenggara dan mengandungi sejumlah lebih 7,000 artifak dari dunia peradaban Islam. Masa kami masuk dan tengok sekeliling muzium tu memang kagum kami dibuatnya!

Muzium Kesenian Islam dibina pada tahun 1998 dan mempunyai 12 galeri yang dibahagikan kepada jenis artifak dipamerkan. Antara artifak yang terdapat dalam galeri-galeri muzium ialah manuskrip Al-Quran pelbagai saiz (ada juga naskhah Al-Quran sebesar duit syiling 50 sen), senjata dan perisai dari zaman empayar Uthmaniyyah sehingga ke abad ke-19, pakaian dan barang perhiasan masyarakat Islam dari serata dunia, kain penutup pintu bangunan Kaabah, senibina Islam (dalam bentuk model berskala kecil dan membuatkan seseorang berasa seperti watak utama dalam kisah Gulliver's Travels apabila memasuki galeri tersebut), naskhah penulisan oleh perawi dan ilmuwan Islam (Ayuni paling tertarik melihat sebuah buku perubatan dan penjagaan kuda yang ditulis oleh seorang veterinar Islam zaman dahulu) serta barangan perabot, seramik dan hasil pembuatan kaca dari negara-negara seperti China, India, Turki dan Iran.

Restoran Rebung
5-2, Aras 5, Parkir Bertingkat Bukit Aman, Jalan Tanglin, Kuala Lumpur
03-2276 2525
www.restoranrebungdatochefismail.com

Masa operasi: 
7 pagi hingga 10 malam setiap hari

Harga buffet:
RM 40 (Makan tengahari)
RM 50 (Makan malam)

Setelah puas menghayati artifak di muzium, perut masing-masing dah mula lapar. Lebih-lebih lagi bila hujan dah turun, keinginan untuk menikmati masakan dan minuman panas amat kuat. Kami seterusnya singgah ke Restoran Rebung milik Chef Ismail yang terletak tidak jauh dari situ untuk merasai masakan tradisional Melayu yang menjadi menu utama chef tersebut. Jarang dapat makan masakan Melayu asli di Kuala Lumpur, namun lauk-pauk stail kampung seperti ikan patin masak tempoyak, siput sedut masak lemak cili api, daging masak salai, pulut kuning, rendang, gulai telur itik dan sebagainya boleh didapati di sini. Kesemua makanan disajikan dalam bentuk buffet, jadi pengunjung berpeluang memilih apa sahaja makanan yang ada dalam menu. Restoran ini agak popular dengan pelancong luar negara yang datang ke sini sebab ada pelbagai aneka masakan Melayu yang sedap-sedap belaka pada harga berpatutan.

Pemandangan dalam Restoran Rebung di mana masakan tradisional Melayu dihidangkan

Planetarium Negara
Jalan Perdana, Kuala Lumpur
03-2273 4303
www.planetariumnegara.gov.my

Masa operasi: 
9 pagi hingga 4:30 petang setiap hari (kecuali Isnin)

Tiket:
Galeri pameran - PERCUMA
Tayangan filem - RM 12 Dewasa & RM 8 Kanak-Kanak 
/ RM 6 Dewasa (MyKad) & RM 4 Kanak-Kanak (MyKid)

Memandangkan cuaca tidak berapa baik dan hujan lebat turun tanpa henti, kami terpaksa membatalkan hasrat untuk mengunjungi Taman Burung dan sebaliknya meluangkan masa sepanjang hari itu di Planetarium Negara yang juga berada di lokasi berdekatan. Planetarium Negara merupakan satu inisiatif kerajaan untuk membuktikan komitmen negara dalam pembangunan sains dan teknologi angkasa. Dalam bangunan planetarium ini terdapat sebuah teater dilengkapi skrin dengan kubah bentuk geodesi yang cengkung. Melalui teater ini Planetarium Negara menyampaikan rancangan pendidikan dan menghiburkan mengenai astronomi, pencerapan langit malam dan pelayaran angkasa kepada pelajar sekolah dan orang ramai. Dalam teater ini jugalah kami dapat menonton filem bertajuk 'Journey to A Billion Suns'. Dari tak dapat tengok burung, dapatlah kami tengok bintang. Selain daripada pameran sains dan teknologi angkasa di galeri pameran dan filem dalam teater, pengunjung juga berpeluang merasai pengalaman berpusing-pusing dalam pod angkasa yang disediakan di luar galeri pameran. Namun wanita mengandung, pesakit jantung, dan mereka yang fobia terhadap ruang sempit serta mudah pening disarankan agar jangan menaiki pod angkasa ini... ia memang mengerikan. Jika anda berani dan sukakan cabaran anda dipersilakan menaiki pod angkasa ini. Pastikan teman anda yang naik bersama bukan seorang yang mudah loya dan muntah-muntah.

Antara tarikan di Planetarium Negara

Taman Rimba Eco KL (KL Eco Forest Park)
8, Jalan Raja Chulan, Bukit Kewangan
03-2020 5448
www.forestry.gov.my

Masa operasi: 
7 pagi hingga 6 petang setiap hari

Tiket: Percuma

Siapa sangka bahawa di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur ada hutan belantara? Sebenarnya Taman Rimba Eco KL dahulunya dikenali sebagai Hutan Simpan Bukit Nanas dan ia terletak betul-betul di belakang sekolah lama Ayuni, Convent Bukit Nanas. Dari hutan rimba itulah datangnya monyet-monyet yang selalu singgah ke sekolah kami untuk mencuri bekal makanan dan buku pelajar. Jadi bukan salah pelajar sekiranya ada yang gagal menghantar kerjarumah kerana monyet telah mencurinya. Di sini jugalah program Kids Eco-Dash Siri Kedua dirasmikan oleh YBhg. Datuk Rashidi bin Hasbullah, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia pada hari ini. 

Cuaca agak baik untuk kami sambung menjelajah Kuala Lumpur pada hari kedua. Seiring dengan tema Citrawarna KL 2017 iaitu 'The Sunrise, The Green and The Echo Within', Taman Rimba Eco KL merupakan pilihan destinasi terbaik bagi pelancongan berkonsep mesra alam (ecotourism). Kebetulan pula semasa kami tiba di perkarangan hutan rimba tersebut, acara larian Kids Eco-Dash Siri Kedua telah bermula. Seramai 500 orang kanak-kanak dalam lingkungan usia 4 hingga 12 tahun menyertai acara larian ini. Memang comel melihat telatah anak-anak kecil berlari sambil diiringi oleh ibubapa masing-masing yang memberi sokongan moral. Antara aktiviti lain yang kami lakukan di sini termasuk meneroka kawasan hutan dengan menaiki jambatan gantung.

Aktiviti-aktiviti sepanjang program Kids Eco Dash Siri Kedua di KL Eco Forest Park

Menara Kuala Lumpur
No. 2 Jalan Punchak Off Jalan P. Ramlee, Kuala Lumpur
03-2020 5444
www.menarakl.com.my

Masa operasi:
9 pagi hingga 10 malam setiap hari

Tiket: 
Sila rujuk di sini - www.menarakl.com.my/index.php/online-ticketing

Kini kami bersedia untuk melangkah ke destinasi kami seterusnya iaitu Sky Deck yang terletak di puncak Menara Kuala Lumpur. Paras ketinggian menara ini dari tanah ialah 421 meter... tinggi, kan? Di kawasan Sky Deck ini terdapat sebuah ruang bernama Sky Box yang berupa bilik berdinding dan berlantaikan kaca. Dari dalam Sky Box ini pengunjung dapat melihat pemandangan panorama bandaraya Kuala Lumpur secara 360 darjah. Rasa seperti sedang melayang di udara apabila masuk ke dalam Sky Box ini. Semestinya bukan untuk mereka yang mudah gayat. Terdapat sebuah Sky Cafe di sini di mana pengunjung boleh berehat dan basahkan tekak dengan pelbagai jenis minuman yang disediakan. Menara ini juga mempunyai sebuah restoran berpusing bernama Atmosphere 360. Pengunjung boleh melihat pemandangan sekeliling Kuala Lumpur sambil menikmati jamuan buffet.

Pemandangan dari atas Sky Deck di Menara Kuala Lumpur

Rumah Terbalik KL (KL Upside Down House)
Off Jalan P Ramlee & Jalan Puncak. Kuala Lumpur
010-802 7547
www.facebook.com/klupsidedown

Masa operasi:
9 pagi hingga 7 malam

Rumah terbalik KL merupakan sebahagian daripada beberapa tarikan utama di sekitar Menara Kuala Lumpur di samping KL Eco Forest Park, Mini Zoo, F1 Simulator, XD Theater, dan Blue Coral Aquarium. Segala perabot disusun secara terbalik di dalam rumah dua tingkat dengan keluasan 2,000 kaki persegi ini dan anda pasti akan pening apabila terpaksa bergambar secara tunggang-langgang di dalam setiap bilik.

Segalanya terbalik dalam KL Upside Down House 

Dataran Merdeka
Jalan Raja, Pusat Bandar, Kuala Lumpur
03-2693 7905
www.visitkl.gov.my

Akhirnya kemuncak pengembaraan kami bermula apabila semua orang berkumpul di Dataran Merdeka beberapa jam sebelum pelancaran Citrawarna KL 2017 pada jam 8:30 malam. Sempena tema Citrawarna KL tahun ini iaitu 'The Sunrise, The Green and The Echo Within', para pengunjung digalakkan membawa sepohon anak pokok ke Dataran Merdeka melalui program "Bring Your Own Plant" anjuran LOCCO. Ayuni tak pasti ke mana mereka akan bawa anak-anak pokok tersebut, tetapi Ayuni harap anak pokok yang Ayuni bawa akan membesar sebagai pokok yang berjasa kepada negara. 

Pelbagai jenis aktiviti santai diadakan di padang Dataran Merdeka terbuka kepada orang awam, antaranya permainan tradisi seperti congkak, lompat getah dan batu seremban, himpunan trak makanan (food truck) yang menyediakan pelbagai makanan enak, persembahan oleh kumpulan penyanyi buskers, pameran lukisan oleh Balai Seni Negara, dan aktiviti doodle oleh para illustrator. Kemunculan belon dan khemah berbentuk kubah, serta penglibatan orang ramai dalam permainan di padang membuatkan suasana di dataran seolah-olah timbul dari kisah dongeng. Keseluruhan pemandangan nampak sangat tenang dan cantik, mungkin kerana aura kegembiraan orang ramai yang tersebar di kawasan sekeliling.

Tiba jam 8:30 malam penonton telah pun memenuhi ruang depan pentas tatkala Menteri Pelancongan dan Kebudayaan YB Dato' Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz merasmikan Citrawarna KL 2017. Acara dipenuhi dengan persembahan tarian dan nyanyian dari kaum berbilang bangsa di Malaysia dengan selingan percikan bunga api yang marak. Melalui gaya penceritaan, penonton dibawa menghayati kesenian setiap kaum dan bangsa Malaysia dari Orang Asli Mah Meri di Selangor sehinggalah ke suku kaum di Sabah dan Sarawak. Program Citrawarna KL 2017 diakhiri dengan persembahan oleh Ning Baizura yang membawa watak Ratu Penjaga Alam Sekitar sambil membawa mesej tentang pentingnya melindungi sistem ekologi dalam sektor pelancongan. Penutupan acara diikuti dengan orang ramai menari sambil mengambil gambar bersama peserta-peserta Citrawarna KL 2017.

Aktiviti santai dan syok sendiri sebelum Citrawarna KL 2017 bermula
Suasana Citrawarna KL 2017... memang gempak!
Siapa kata tiada tempat yang menarik untuk dilawati di Kuala Lumpur? Sepanjang cuti ini apa kata anda yang tinggal di sekitar bandaraya Kuala Lumpur bawa keluarga melawat tempat-tempat yang kami telah kunjungi di atas... pasti anda sekeluarga akan mendapat pengembaraan yang bernilai!

Sila cari hashtag #ETWD17 #SayangMalaysia #GayaTravel #VisitKL #MoTaC dan #CitrawarnaKL2017 dalam Instagram untuk melihat koleksi gambar-gambar yang dirakam sepanjang acara Citrawarna KL 2017.

Terima kasih kepada Gaya Travel Magazine dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia yang memberi peluang kepada blogger dan pengaruh media sosial mengikuti program EAT.TRAVEL.WRITE & DOODLE 3.0 sempena Citrawarna KL 2017.

3 ulasan:

  1. Semua tempat best dan ada yang CR tak pernah pergi. teringin pergi Rumah terbalik tu

    BalasPadam
    Balasan
    1. Rumah terbalik itu pun Ayuni pertama kali baru pergi. Memang seronok. Cuti sekolah ni best pergi.

      Padam
  2. Seronoknya! Terutama Restoran Rebung dan Rumah Terbalik.
    Next vacation list untuk tahun depan :D

    BalasPadam

HOME  |  PERTANYAAN   |   PENAFIAN  |   SITEMAP