Baru
Tunggu kejap ya... nak cari entri terbaru

INFO

4 Perkara Yang Perlu Diketahui Tentang Awal Muharram


4 Perkara Yang Perlu Diketahui Tentang Awal Muharram | Awal Muharram, atau Maal Hijrah, adalah salah satu hari bersejarah bagi umat Islam. Ia hari yang menandakan Tahun Baru bagi kalendar Islam dan kalendar ini diperkenalkan pada tahun 638 Masihi oleh Sayidina Umar ibnu A-Khattab, salah seorang sahabat Nabi Muhammad S.A.W. Oleh itu 21 September 2017 mengikut kalendar Gregorian ialah bersamaan 1 Muharram 1439 Hijrah. Di Malaysia, cuti umum bagi menyambut Awal Muharram dianjak ke hari Jumaat, 22 September 2017.

1. Sejarah Di Sebalik Awal Muharram dan Makna 'Hijrah'

Awal Muharram juga dikenali sebagai Maal Hijrah kerana ia merupakan hari memperingati penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W dari Mekah ke Madinah pada tahun 622 Masihi. Tujuan Nabi Muhammad S.A.W berhijrah ke Madinah ialah kerana puak Quraisy berniat untuk membunuh baginda atas kegiatan baginda menyebar ajaran Islam di kalangan ahli masyarakat. Nabi Muhammad S.A.W menuju ke kota Yathrib, yang terletak kira-kira 320 km dari Mekah. Kini Yathrib dikenali sebagai Madinah. 'Hijrah' dalam bahasa Arab bermaksud perpindahan atau pertukaran tempat.

2. Awal Muharram Simbol Hari Kebebasan Beragama Bagi Umat Islam

Sebelum para pengikut Nabi Muhammad S.A.W menyertai baginda berhijrah ke Madinah, mereka  tidak diberi kebebasan untuk memeluk mana-mana agama pilihan mereka. Sebaliknya, mereka dipaksa untuk menyembah patung berhala seperti mana nenek moyang terdahulu mereka amalkan. 

Pada mulanya pengikut-pengikut Nabi Muhammad S.A.W memeluk agama Islam dan mengamalkan ajaran Islam secara tersembunyi kerana risau mereka akan dibunuh oleh puak Quraisy yang berkuasa dalam masyarakat pada masa itu. Lama-kelamaan cinta sepenuh hati mereka terhadap Islam memberanikan pengikut-pengikut Nabi Muhammad S.A.W untuk menjadi diri mereka sendiri (orang Islam) dan mengamalkan kehidupan Islam di khalayak ramai namun ini menyebabkan ramai antara mereka diseksa dan dibunuh oleh puak Quraisy. Ramai pengikut Nabi Muhammad S.A.W - termasuk dari golongan wanita, orang tua, orang kelainan upaya sehingga kanak-kanak - telah diseksa dan dibunuh oleh puak Quraisy yang memegang kuat kepada kepercayaan paganisme.

Selepas penghijrahan ke Madinah, para pengikut Nabi Muhammad S.A.W yang terselamat daripada ancaman puak Quraisy akhirnya berpeluang menikmati kebebasan beragama dan kebebasan menjalani kehidupan aman sebagai orang Islam di kota Madinah.

Patung-patung berhala Hubal (Baal) yang disembah oleh puak Quraisy

3. Penghijrahan Yang Menyatukan Umat Manusia

Islam merupakan agama yang unik kerana ia tidak berasaskan bangsa dan keturunan. Sesiapa sahaja tidak kira apa latarbelakang mereka boleh menjadi orang Islam. Oleh itu para pengikut Nabi Muhammad S.A.W pada ketika itu terdiri daripada pelbagai bangsa, keturunan, jantina, dan usia. Di saat penghijrahan inilah dunia menyaksikan penyatuan ummah dalam skala terbesar: golongan bangsawan bersatu dengan golongan hamba, kaum lelaki bekerjasama dengan kaum wanita, golongan kanak-kanak dan remaja mengiringi dewasa dan warga tua, malah orang-orang yang pernah bermusuhan sesama sendiri juga dilihat bergandingan bahu setelah mereka sama-sama memeluk Islam. Perbezaan di antara pengikut Nabi Muhammad S.A.W tidak menjadikan hubungan mereka rapuh walaupun di bawah tekanan dan ancaman keganasan puak Quraisy, malah ia lebih mengeratkan jalinan persaudaraan sesama mereka.

Setelah Nabi Muhammad S.A.W diberi kepercayaan oleh warga tempatan untuk menjadi pentadbir kota Madinah, kaum Yahudi dan Islam hidup bersama dengan aman damai. Nabi Muhammad S.A.W menggubal undang-undang perlembagaan yang dinamakan Piagam Madinah. Piagam ini merupakan undang-undang perlembagaan terawal dalam dunia yang memberikan hak dan kepentingan sama rata kepada setiap warga penduduk. Buat kali pertama dalam sejarah manusia, wujud sebuah kerajaan majmuk yang terdiri daripada warga berbilang kaum dan agama hidup bersama dalam suasana harmoni.

4. Sambutan Awal Muharram Di Malaysia

Bulan ini merupakan masa yang baik untuk umat Islam beribadah dengan melakukan puasa sunat dan beramal jariah. Biasanya di Malaysia, awal Muharram disambut secara sederhana di mana warga penduduk Islam akan menziarahi ahli keluarga dan rakan taulan untuk mengeratkan pertalian silaturahim, atau mengunjungi masjid untuk menyertai aktiviti sosial seperti bergotong-royong membersihkan masjid, mendengar tazkirah, membacakan surah-surah dalam Al-Quran, menyanyikan lagu ketuhanan serta menonton forum yang membincangkan isu berkaitan keagamaan. Apa yang pasti tidak ketinggalan ialah menu istimewa di hari Maal Hijrah iaitu bubur Asyura, yang mana kebiasaannya akan disediakan oleh golongan isteri dan ibu untuk dinikmati bersama keluarga dan rakan-rakan.

Bubur Asyura

Tentang YunFila

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

7 Komen:

Cik Ash berkata...

terima kasih pengkongsian ni ayuni

Ayuni Rafilah berkata...

Sama-sama Cik Ash :)

Pok_Ucu HELMI berkata...

Terima kasih di atas perkongsiaan yang bermanfaat ini....

Jia Rizaira berkata...

Salam Awal Muharram.

Cik Puan Ena berkata...

tq bg info berguna ni.. salam maal hijrah

Aina berkata...

Terima kasih atas perkongsian yang bermanfaat, salam maal hijrah!=)

I N A A I N A A berkata...

Sedap bubur tu.. hehehe apapun mekaceh share ilmiah ni

Dikuasakan oleh Blogger.