Baru
Tunggu kejap ya... nak cari entri terbaru

PERSONAL

Feline Cardiomyopathy - Serangan Sakit Jantung Kucing Yang Sukar Dikesan


Kelmarin Ayuni balik kerja awal sebab nak menonton perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Thailand sempena Sukan Sea 2017. Seperti biasa bila sampai ke rumah, mesti BW akan menunggu di luar pintu depan seperti seorang penyambut tetamu di hotel, kali ini dia ditemani oleh anak-anaknya Big Eyes dan Black Nose. Sebaik saja Ayuni selesai bagi makan pada anak-anak BW beberapa minit kemudian, Ayuni pergi ke ruang tamu dan mendapati BW tiba-tiba rebah di atas lantai. Kalau pandang sekali ingat dia berehat sebab mata dia terbuka dan cara dia terbaring tu macam sedang bersantai. Rasa pelik pula sebab BW biasanya akan ikut makan sekali dengan anak-anak dia. Bila Ayuni datang dekat-dekat tengok BW, badan dia masih panas tetapi kejang. Nafas dia makin perlahan makin hilang. 

Apa yang dah jadi? Tak tahu nak kata apa sebab memang pelik sangat cara dia mati. Beberapa minit sebelum tu elok saja dia makan, bermain dengan anak-anak dia, layan laki dia Big Boss, buli si Ninja, dan mengusik kami sekeluarga. Biasanya kami pernah ada kucing yang mati akibat keracunan, kemalangan dan virus tetapi ini kali pertama kami lihat kucing yang mati secara mengejut tanpa amaran. Bayangkan orang tengah elok berjalan dengan gembira tiba-tiba rebah lalu mati di depan mata kita. Begitulah pemergian BW.

Kematian kucing secara mengejut memang sesuatu yang mengecewakan.

Masa kami periksa badan BW untuk mencari punca kematian dia, kami tak jumpa apa-apa. Tiada kesan lebam, luka, racun atau gigitan haiwan pun. Rupa dia macam patung, kaku dengan mata terbuka seolah-olah masih hidup. Otot-ototnya mula mengeras dan dalam 15 minit kemudian baru mata dia mula tertutup sendiri separuh. Lepas tu BW betul-betul dah tak ada, tinggal jasad saja. Senyap betul kematiannya - tak ada sawan, tak ada bunyi. Big Boss (kucing hitam jiran yang selalu dating dengan BW) pun datang ke rumah kami menjenguk jasad BW. Mula-mula dia mencium-cium badan BW dengan reaksi tergamam sambil mengiau memanggilnya. Bila tak ada respon dia pun duduk sambil tertunduk diam sebelah jasad BW. Lebih setengah jam dia duduk macam tu sampai kami masukkan jasad BW ke dalam kotak untuk ditanam kemudian. Keesokan paginya bila kami nak angkat kotak tu untuk ditanam, Big Boss tercegat lagi di sebelah kotak tu dengan rupa yang masih sedih, seolah-olah tak mahu bagi orang bawa bininya pergi.

Sedih tengok kucing yang paling setia dan paling cerdik dalam rumah pergi secara tiba-tiba. Kami dapat tahu rupa-rupanya BW mati akibat feline cardiomyopathy - serangan sakit jantung kucing. Padanlah kematian dia berlaku secara mengejut, sebab BW masih muda (umurnya baru 3 tahun) dan tak mengalami apa-apa sakit luaran. Cuma badannya agak gemuk, sekali pandang bentuknya seperti bantal kusyen berekor dan berkaki namun dia tetap cergas. Disebabkan dia cergas itu yang buat kami tak syak dia ada penyakit jantung yang biasanya dikaitkan dengan gejala obesiti. Cardiomyopathy bermakna "penyakit otot jantung" dan berlaku apabila tisu di otot dinding jantung membentuk secara tak normal sehingga menghalang aliran pengepaman darah dalam jantung. Ada 4 jenis cardiomyopathy yang boleh menyerang kucing:

  • Hypertrophic cardiomyopathy (HCM) - dinding jantung menebal
  • Dilated cardiomyopathy (DCM) - dinding jantung menipis
  • Restrictive cardiomyopathy (RCM) - dinding jantung ada fibriosis (ketumbuhan)
  • Intermediate cardiomyopathy (ICM) - gabungan antara mana-mana di atas

Kiri: Otot dinding jantung normal
Kanan: Otot dinding jantung tak normal

Susah nak mengesan sama ada kucing menghidapi sakit jantung kucing amat pandai menyembunyikan sakit yang dialaminya. Antara punca yang boleh mendatangkan cardiomyopathy di kalangan kucing ialah hyperthyroidism (kelenjar thyroid terlebih aktif), tekanan darah tinggi, kekurangan taurina, lymphoma, pendedahan terhadap toksin, dan faktor genetik. Biasanya kucing berbaka Maine Coon, Parsi dan American Shorthair paling mudah terdedah kepada cardiomyopathy secara genetik. Terdapat rawatan dalam bentuk ubat bagi mengelakkan kucing daripada menghidapi cardiomyopathy namun kemujarabannya tak dapat disahihkan.

Kasihan BW. Tak sangka pada pagi hari dia pergi selama-lamanya tu merupakan kali terakhir dia tidur di atas katil Ayuni. Sedih bila mengenangkan Ayuni tak dapat lagi sentuh bulu BW yang lembut dan gebu macam bantal kusyen lagi. Tiada lagi BW yang suka menemani Ayuni buat kerja di sebelah. Tiada lagi BW menunggu di depan pintu tiap kali Ayuni balik dari kerja.

BW dalam kenangan

Tentang YunFila

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

1 Komen:

Kin Naz berkata...

Tak tau pun kucing ada sakit jantung. Sabar tau kak yuni.

Dikuasakan oleh Blogger.