Menjaga Perasaan Orang Lain Adalah Sama Dengan Menjaga Perasaan Sendiri


Emosi merupakan hasil dorongan nafsu manusia. Apabila seseorang itu berasa gembira, sayang, iri hati, marah, sedih, dan sebagainya sudah pasti nafsu mengiringi perasaan manusia tersebut. Contohnya, apabila anda melihat orang lain berkongsikan kebahagiaan yang dikecapinya anda akan didatangi nafsu cemburu. Cemburu ini akan bertukar menjadi baik atau buruk mengikut pilihan anda. 

Jika anda memilih untuk mengawal nafsu cemburu menjadi positif, perasaan iri hati yang anda rasai akan mendorong anda untuk berusaha mencapai kebahagiaan dengan cara yang baik. Namun jika anda gagal mengawal nafsu cemburu, anda akan dimamah penyakit hati yang seterusnya mendorong anda menjadi seorang yang dengki dan negatif. 

Antara tanda seseorang telah dilanda penyakit hati akibat kegagalan mengawal hawa nafsu cemburu:

  1. Cenderung menaruh prasangka buruk terhadap orang lain
  2. Enggan menjaga perasaan dan aib orang lain, mementingkan perasaan sendiri
  3. Kelihatan baik di luar tetapi sifat dalamannya sangat keji
  4. Suka memutar-belitkan cerita bagi menarik perhatian orang lain
  5. Gemar menimbulkan perselisihan faham dan memberi sindiran
  6. Orang lain menjauhinya kerana rasa kurang selesa, dan musuhnya bertambah
  7. Sentiasa menolak nasihat orang lain kerana terlampau mengikut ego yang tinggi
  8. Tindakannya sentiasa merugikan dirinya sendiri
  9. Apabila berlaku perkara buruk terhadapnya, orang lain enggan membantunya kerana mengingati sikap buruknya terhadap mereka

Kita harus melawan hawa nafsu yang ada dalam hati ini. Jangan terus ikuti dan jangan terus penuhi hasad dengki yang memakan diri, kerana ia akan terus membengkak dan meminta korban lagi dan lagi. Terutama sekali sekiranya ia dimarakkan dengan sifat keegoan. Ego akan menjerat mereka yang telah salah langkah.

Oleh itu jagalah perasaan orang lain dengan mengawal nafsu sendiri, Insya-Allah dipulangkan semula dengan hati yang tenang dan bersih di mana perasaan anda sendiri akan dijaga oleh Allah. 

Bagi menguatkan jiwa anda untuk mengawal nafsu daripada menguasai perasaan, perkara pertama yang harus anda ingati ialah Tuhan Maha Esa yang mencipta hati dan perasaan anda. Usah membanding-bandingkan diri anda dengan orang lain kerana setiap manusia dicipta berbeza. Ketahuilah bahawa tiada faedahnya menaruh dengki terhadap orang lain sehingga membinasakan diri anda sendiri, serta orang-orang yang anda sayangi. Jangan merendahkan sesiapa pun kerana anda tidak akan tahu suatu hari nanti mungkin Tuhan akan membalikkan kata-kata anda dan memberikan keberuntungan kepada orang yang anda rendahkan. Akhir sekali, bersyukurlah dengan apa yang anda miliki kerana melalui rasa bersyukur anda akan dapat melihat kebenaran dunia sebenar - melalui kesyukuran Tuhan akan membuka mata anda untuk menerima kebaikan dan kelebihan di dalam setiap insan dan memahami kepentingan menjaga perasaan dan aib sesama sendiri.

Ingin menjaga perasaan sendiri? Belajarlah untuk menjaga perasaan orang lain dahulu. Kifarah itu seperti roda, ia sentiasa berputar semula ke titik puncanya.

3 ulasan:

  1. salam..
    singgh melawat =)

    agree utk mjga perasaaan org lain..tp ade limit juga..
    mjga sgt smpai hati sdri sakit pun xleh juga..lg bahaya kan..huhu
    ikut keadaan jugek la.. ^_^

    BalasPadam
  2. betul...tapi zaman skrg..manusia lebih gemar tgk kemusnahan org lain..huhuhu...semuanya penyakit hati...susah nak bendung :(

    BalasPadam

HOME  |  PERTANYAAN   |   PENAFIAN  |   SITEMAP