Header Ads

Duit Raya RM1 Juta!

Ada satu kisah lucu yang Ayuni dengar daripada mak Ayuni. Tempoh hari dia sedang duduk berehat di kafe milik rakannya apabila tiba-tiba datang salah seorang cucu rakannya itu yang berusia dua tahun menghampiri mak Ayuni. 

Budak perempuan kecil yang comel itu memang selalu suka tegur mak Ayuni dan panggilnya "nenek", mungkin kerana dia anggap mak Ayuni seperti neneknya. Pernah juga sekali masa kali pertama berjumpa, dia menyapa mak Ayuni dan minta agar mak Ayuni "sayang-sayang" dia bila mak Ayuni tak pandang dia. Semenjak dari itu mak Ayuni sentiasa memberi perhatian kepada budak perempuan itu bila dia berada di kafe tersebut.

Suatu hari tu mak Ayuni datang dan duduk minum teh seperti biasa apabila budak perempuan itu datang menghampirinya lagi sambil senyum-senyum manis. Mak Ayuni bertanya kepadanya, "Dah dapat duit raya?"

"Belum, nenek bagilah duit raya." Jawab budak tu mengharap.

"Nak berapa duit raya?" 

"Nak satu juta."

Terus mak Ayuni tergelak mendengar jawapan cucu rakannya itu. Dia memandang rakannya sambil berkata, "Tengoklah cucu awak ni, dah asyik dengar nenek dia bercerita tentang kontrak dan tender, terikut-ikut juga dia..."

Kemudian mak Ayuni melayan semula budak itu, tangannya sibuk mencari-cari dalam beg tangan, "Nenek tak ada satu jutalah sekarang... bagi kurang boleh?"

Budak itu berfikir sejenak lalu menjawab, "Bolehlah. Bagi dua ribu."

Mak Ayuni ketawa lagi sambil memberi budak itu sekeping sampul duit raya berisi wang daripada begnya. Sudah tentu nilainya bukan dua ribu.

Gambar sekadar hiasan

Tiada ulasan