Header Ads

Apa Dah Jadi Dengan Maskot Lama Sustagen?

Dah tengok iklan minuman susu Sustagen? Kini Didi & Friends dilantik menjadi duta terbaru Sustagen Malaysia menggantikan duta lama yang pernah terkenal di kalangan generasi X di Asia Tenggara sejak tahun 1980-an.


Masih ingat lagikah anda dengan pasangan maskot lama Sustagen yang bernama Susy dan Geno? Sesiapa yang membesar antara zaman 1980-an hingga awal 1990-an pasti pernah menonton tarian mereka dalam iklan Sustagen dulu-dulu. Malah, mungkin ada antara anda yang pernah meniru gaya tarian yang dibuat oleh Susy dan Geno pada masa itu.


Susy dan Geno merupakan maskot Sustagen Filipina dan populariti mereka menular sehingga ke seluruh Asia Tenggara dan Australasia. Pasangan ini makin tenggelam di awal 1990-an apabila mereka jarang keluar dalam televisyen dan tidak lagi muncul untuk menghiburkan kanak-kanak sekolah apabila ada rombongan lawatan sambil belajar ke kilang Sustagen.

Di manakah Susy dan Geno sekarang? Setelah bertahun-tahun tidak muncul di media, peminat-peminat pasangan maskot ini yang kini sudah dewasa dan berkeluarga digemparkan dengan kemunculan semula Susy dalam media sosial. 


Pada tahun 2012, netizen di Filipina terkejut melihat imej Susy yang tampak lebih dewasa berbanding di zaman kegemilangannya dalam satu laman Facebook Help Susy Find Geno. Dengan bulu mata yang panjang, rambut yang tidak lagi diikat tocang dua serta pakaian yang matang, Susy kelihatan jauh berbeza daripada imej kanak-kanaknya 30 tahun dahulu. Rupa-rupanya Susy telah lama terputus hubungan dengan Geno dan ingin mencari sahabatnya semula dengan bantuan golongan netizen.


Akhirnya mereka berdua bertemu jua dan saat bersejarah itu disaksikan oleh ratusan ahli Kelab Peminat Susy dan Geno serta mereka yang turut bantu mencari Geno yang telah membesar bersama Sustagen selama tiga dekad lalu.


Agaknya apakah rancangan Susy dan Geno selepas pertemuan semula ini ya?

Tiada ulasan