Baru
Tunggu kejap ya... nak cari entri terbaru

TIPS & RAHSIA

Tips Untuk Menjadi Superhero

Tips Untuk Menjadi Superhero | Dunia ini boleh menjadi tidak selamat sehingga adakalanya kita merasakan alangkah bagusnya jika terdapat golongan superhero (adiwira) muncul memberikan bantuan. Malangnya, mustahil bagi manusia biasa untuk terbang dan memiliki kuasa luarbiasa seperti yang dipaparkan dalam buku komik dan filem. 

Walau bagaimanapun, tiada masalah bagi seseorang hendak menjadi superhero di dunia nyata. Tahukah anda bahawa terdapat ramai orang di serata dunia yang benar-benar menjadi superhero bertopeng sambil menjaga keamanan kawasan kejiranan mereka seperti dalam buku komik


Tidak mudah untuk menjadi seorang superhero kerana anda perlu memikirkan risiko dan tanggungjawab yang mengiringi tugas tersebut. Sebelum anda benar-benar bersedia untuk keluar menyelamatkan dunia, berikut ialah beberapa cara yang anda boleh buat serta amalkan untuk menjadi superhero yang kental dari segi mental dan fizikal:


1. Bina sahsiah diri yang baik 

Sebagai seorang superhero, amat penting bagi anda menunjukkan contoh teladan yang baik kepada khalayak ramai terutama sekali kepada golongan muda. Sentiasalah bersikap positif dan jaga tatatertib semasa menegakkan keadilan. Bimbing masyarakat agar tidak terjebak dalam kegiatan jenayah; dorong mereka untuk jalani kehidupan yang baik.

Civitron (Amerika Syarikat) merupakan superhero yang berazam untuk memberi contoh yang baik kepada anak lelakinya melalui projek komuniti dan sumbangan kepada masyarakat. Dia juga merupakan ketua Projek Heroic 100.


2. Jadi berani 

Keberanian bermaksud anda mengambil inisiatif untuk memikul tanggungjawab melindungi orang ramai daripada perkara buruk yang tidak diingini. Ini bermakna anda tidak takut untuk bersuara apabila ternampak kesalahan berlaku di depan mata. Contohnya menasihati seseorang agar jangan merokok di dalam restoran, meminta penumpang agar memberikan tempat duduk kepada wanita mengandung, orang kurang upaya dan warga tua, membawa mangsa penderaan ke hospital, menghentikan kegiatan buli di sekolah, dan sebagainya.

Sekiranya anda terserempak dengan kejadian yang anda tidak mampu selesaikan, seperti kes ragut atau rompakan bank, jangan bertindak seorang diri. Laporkan segera kepada pihak polis dan berikan maklumat yang boleh membantu mereka banteras kegiatan jenayah. Ini juga merupakan satu tindakan berani yang boleh diharapkan dari seorang superhero seperti anda.

Captain Australia (Australia) menggunakan penampilannya untuk menakutkan penjenayah daripada berkelakuan tidak senonoh di kawasan tumpuan kaki mabuk di Brisbane.


3. Tetapkan matlamat perjuangan

Anda pasti ada sebab tertentu mengapa anda ingin menjadi seorang superhero. Ramai golongan superhero di dunia nyata mempunyai matlamat perjuangan masing-masing yang berbeza antara satu sama lain yang mana sesetengahnya didorong oleh latarbelakang kehidupan dan keadaan persekitaran mereka. Ada yang memikul tanggungjawab membantu mangsa penderaan rumahtangga, ada yang memberikan makanan kepada golongan gelandangan, dan ada juga yang membuat rondaan secara sukarela bagi memastikan keselamatan kawasan kejiranan terpelihara. Fokuskan matlamat perjuangan anda berdasarkan perkara utama yang ingin anda lindungi.

Entomo (Itali) melindungi kebersihan bandar Naples daripada pembuangan sampah merata-rata, menghalang kegiatan vandalisme serta memastikan alam sekitar tidak dicemari oleh kilang-kilang yang didirikan di kawasan persekitaran.


4. Tingkatkan kemahiran berkomunikasi

Seorang superhero harus memiliki kemahiran berkomunikasi yang baik. Kemahiran komunikasi yang baik merujuk kepada daya pendengaran, ingatan, pemahaman dan penyampaian yang mudah diterima. Kemahiran komunikasi ini amat penting kerana seorang superhero akan berdepan dengan orang awam dan dijangka harus menyampaikan maklumat kepada pihak berkuasa apabila terdapat ancamana jenayah. Kemahiran komunikasi yang terlatih juga dapat membantu seorang superhero mendidik orang awam untuk menjalani kehidupan yang baik dan menjauhi kegiatan jenayah.

Lion Heart (Afrika) menggunakan kemahiran komunikasi untuk mendidik penduduk di Liberia pelbagai cara untuk memajukan kehidupan dari kepentingan minum air bersih yang dimasak sehingga bahaya penyeludupan manusia yang berleluasa di tempatnya.


5.  Ambil berat tentang kawasan persekitaran

Ambil berat tentang kawasan perumahan di mana anda tinggal dengan melaporkan kepada pihak berkuasa tentang kegiatan aneh yang berlaku, atau kehadiran orang yang tidak dikenali sedang berkeliaran secara mencurigakan di situ. 

Light Step (Kanada) berfungsi sebagai superhero yang sentiasa berada di sisi mereka yang bermasalah dan memerlukan bantuan. Light Step pernah berjaya menumpaskan satu rancangan pembunuhan melalui sikap keprihatinannya.


6. Beri sumbangan dan bantuan kepada yang memerlukan

Tidak semestinya bila menjadi superhero anda harus berlawan dengan orang jahat. Anda boleh juga menjadi superhero dengan memberi sumbangan dalam bentuk wang atau tenaga kepada golongan yang memerlukan. Contohnya, anda boleh pergi ke hospital kanak-kanak dan anjurkan aktiviti yang menggembirakan pesakit kanak-kanak. Anda juga boleh membantu golongan wanita yang membawa banyak bungkusan atau mendukung anak semasa membeli-belah ringankan beban mereka dengan tolong angkatkan barang, bukakan pintu kereta, tolong simpankan barang ke dalam bonet kereta, tenangkan anak-anaknya dan seumpamanya. Memberi sedekah kepada golongan memerlukan juga merupakan satu usaha superhero yang murni.

Redbud Woman (China) menggemparkan Beijing dengan kemunculannya yang misteri. Redbud Woman sering dilihat memakai busana dan topeng sambil memberi makanan dan pakaian kepada golongan gelandangan di waktu malam.


7. Jaga kesihatan mental dan fizikal

Tiada siapa boleh lari daripada tekanan, termasuk superhero. Ambil masa untuk berehat daripada tugas anda sebagai superhero dan luangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan. Penting bagi seorang superhero mengimbangi kehidupan sosialnya di kalangan masyarakat agar terhindar daripada mengalami masalah jiwa. Masalah jiwa seperti tekanan perasaan, kemurungan, ketakutan dan lain-lain boleh memberi kesan buruk terhadap kesihatan tubuh anda. Jaga pemakanan dan lakukan senaman untuk membina kekuatan tenaga dan menambah stamina anda. 

Super Hero (Amerika Syarikat) merupakan bekas ahli gusti profesional yang menggunakan tenaga dan kekuatan fizikalnya untuk membanteras kegiatan jual beli dadah di bandarnya. Dia juga memiliki kereta ronda yang hebat.


8. Belajar seni pertahanan diri

Sebagai persediaan bagi menghadapi situasi berisiko yang tidak dapat dielakkan, seorang superhero harus belajar mempertahankan diri. Ini bukan sahaja dapat melindungi dirinya sendiri malah diri orang lain juga. Anda boleh mendaftarkan diri untuk kelas seni pertahanan diri mengikut jenis yang anda minati seperti silat, silambam, taekwondo, karate, capoiera, ju-jitsu dan lain-lain.

Dark Guardian (Amerika Syarikat) bukan sahaja bertugas sebagai superhero yang menjaga ketenteraman awam, malah dia juga pengasas Akademi Superhero di mana dia melatih kanak-kanak seni mempertahankan diri serta pendidikan moral.

Tentang YunFila

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

2 Komen:

mrhanafi berkata...

Terbaik artikel.. Penulis dah boleh jadi superhero Blogger.. Saya baca sampai habis..

Ayuni Rafilah berkata...

Terima kasih kerana sudi baca, Mr Hanafi. Dalam setiap diri kita masing-masing ada superhero yang ingin menjadikan dunia ini aman dan selamat dihuni.

Dikuasakan oleh Blogger.