Baru
Tunggu kejap ya... nak cari entri terbaru

SANTAI

Perkara Menyeramkan Yang Berlaku Di Waktu Raya


Perkara Menyeramkan Yang Berlaku Di Waktu Raya | Sambutan Hari Raya Aidilfitri biasanya penuh dengan kemeriahan dan kegembiraan. Namun ada juga kisah-kisah menakutkan yang timbul di kala waktu perayaan ini. Pernahkah anda mengalami sendiri perkara-perkara menyeramkan berikut di waktu raya? 



1. Membasuh pinggan mangkuk yang bertimbun-timbun selepas tetamu pulang. Bukan sahaja anak dara, malah bapa anak dara juga pasti pengsan melihat jumlah pinggan mangkuk yang telah digunakan dan menunggu untuk dicuci di sinki sebaik sahaja tetamu pulang dari beraya. Lebih malang lagi, kebetulan pula sabun pencuci pinggan mangkuk pun dah habis pada masa itu... dan kumpulan tetamu baru pula muncul datang ke rumah! Oleh itu, disarankan agar anda menyediakan pinggan mangkuk kertas bagi mengurangkan tekanan seperti ini di waktu raya. Atau jika anda mampu, belilah mesin pencuci pinggan.



2. Ditanya soalan maut. Mereka yang masih bujang, baru berkahwin, baru mendapat zuriat pertama, belum habis belajar atau sedang mencari kerja pasti berasa gerun apabila disapa oleh saudara-mara dengan soalan sensitif seperti, "Bila hendak kahwin? Bila hendak dapat anak? Bila anak nak dapat adik? Bila nak habis belajar? Bila nak dapat kerja? Bila nak tukar kereta?" dan sebagainya. Bertenang, rileks. Ingatlah bahawa ini cuma soalan untuk memulakan perbualan mesra, bukan soalan temuduga. Tarik nafas, senyum dan jawab secara jujur contohnya, "Allah belum bagi rezeki lagi, makcik... nanti makcik tolong doakanlah agar saya dapat jodoh/zuriat/ijazah/kerja/kereta baru dengan cepat." Insya Allah, jika anda seorang anak teruna makcik itu akan cair melihat kesopanan anda menjawab soalannya sehingga tidak teragak-agak untuk mengahwinkan anda dengan anak daranya pada masa itu juga.



3. Memberi Duit Raya. Tidak salah memberi duit raya kepada kanak-kanak sebagai hadiah untuk menggembirakan mereka. Namun sekiranya anda seorang yang baru mendapat kerja, tidak mempunyai gaji banyak atau hidup dikelilingi hutang, memberi duit raya akan terasa membebankan terutama sekali jika anda mempunyai ramai anak buah. Takut pula dicop sebagai kedekut dan dipulau oleh anak buah jika tak memberi. Berikanlah ikut kemampuan anda, jangan paksa diri. Anda boleh juga memberikan anak buah hadiah lain selain daripada wang sebagai hadiah raya. Contohnya coklat, kek, buku, alat tulis, permainan dan sebagainya.



4. Putus jari akibat bermain mercun. Sayangilah jari anda. Elakkan daripada bermain dengan mercun. Sebaliknya cubalah bermain saham. Itu lebih menguntungkan. Sekurang-kurangnya anda boleh guna wang pulangan yang diterima untuk diberikan kepada anak buah sebagai duit raya. Jika anda tak pandai bermain saham, daripada membeli mercun baik anda simpan duit itu untuk diberikan sebagai duit raya.



5. Menghadapi kesesakan lalu lintas sewaktu dalam perjalanan pergi dan balik kampung. Tersangkut dalam kesesakan lalu lintas merupakan perkara paling mengerikan bagi mereka yang memandu jauh ke kampung untuk balik beraya. Ditambah lagi dengan gelagat anak-anak yang cepat lapar, rasa bosan, kerap ingin membuang air semasa dalam perjalanan, atau tangki minyak perlu diisi semula pada masa itu. Selain daripada jumlah kereta yang banyak di jalanraya, kesesakan lalu lintas juga berpunca daripada kemalangan. Bagi mengatasi masalah ini, anda boleh merancang perjalanan balik kampung sekurang-kurangnya seminggu lebih awal sebelum raya. Buat kajian tentang jalan dan lebuhraya yang akan digunakan. Pilih tempat yang selesa untuk berhenti dan berehat di dalam perjalanan, contohnya R&R yang mempunyai kemudahan tandas, kafeteria, kiosk dan surau di sepanjang lebuhraya ekspres. Bantu elakkan kemalangan dan kesesakan lalu lintas dengan mengamalkan pemanduan berhemah, contohnya pandu ikut kelajuan yang telah ditetapkan, jangan memotong jika tidak perlu, jangan gunakan lorong kecemasan, berikan lampu signal sekiranya anda ingin menukar lorong, dan jangan sesekali memandu betentangan arus. Pastikan tangki minyak, angin tayar dan kad Touch n Go diisi dengan penuh. Anda juga boleh mencuba alternatif lain seperti bas ekspres dan kapalterbang untuk pulang ke kampung.

Tentang YunFila

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

4 Komen:

mrhanafi berkata...

Paling risau dan seram kalau sangkut di jalan raya..dan rasa nak buang air besar

Ayuni Rafilah berkata...

Itu memang amat mengerikan, haha...

Nurul Syahirah berkata...

paling seram bila tengok pinggan mangkuk bertimbun.. hehehe..

Ayuni Rafilah berkata...

Betul, di mana-mana rumah pemandangan ini yang paling menyeramkan... hihihi

Dikuasakan oleh Blogger.