Baru
Tunggu kejap ya... nak cari entri terbaru

HIBURAN

5 Iklan Hari Raya Yang Paling Mengusik Emosi Penonton Tahun Ini

5 Iklan Hari Raya Yang Paling Mengusik Emosi Penonton Tahun Ini | Menjelang Hari Raya sudah pasti banyak syarikat bertungkus-lumus menerbitkan iklan raya yang bukan sahaja membantu mempromosikan produk dan perkhidmatan, malah mengingatkan masyarakat tentang kepentingan meraikan perayaan bersama-sama keluarga dan rakan-rakan. Tahun ini beraneka ragam iklan raya ditonjolkan dalam media sosial dan stesen televisyen, dan jika diperhatikan tahun ini banyak iklan menengahkan tema yang agak riang dan ceria berbanding iklan raya di zaman Allahyarham Yasmin Ahmad kira-kira sedekad lalu. Mungkin perubahan ini menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia kini lebih gemar mengaitkan sambutan Aidilfitri dengan suasana yang aman dan gembira.

Berikut ialah senarai 5 iklan Hari Raya tahun ini yang Ayuni anggap paling memberi kesan terhadap emosi penonton mengikut kategori:


1. Iklan Raya Paling Epik (Dugaan Raya Aida, TNB)

Aida menerima panggilan telefon dari ibunya di kampung yang meminta dia pulang beraya serta adik-adiknya (dan kucingnya) yang meminta dia belikan mereka baju raya baru. Akibat tertekan dengan timbunan kerja dan permintaan dari kedua-dua belah pihak terpenting dalam hidupnya, iaitu keluarga dan tugas, Aida menjerit sambil berlari keluar daripada pejabat sehingga dia sampai ke sebuah bazaar Ramadhan. Di bazaar, Aida mendapat idea untuk membuat dan menjual biskut raya bagi menampung perbelanjaan pulang ke kampung sambil menghilangkan stress yang dialaminya semasa menghabiskan tugasan yang diberi. Namun takdir tidak menyebelahi Aida apabila dia diuji dengan pelbagai dugaan termasuk kehilangan tiket bas di dalam mesin basuh baju dan tertinggal beg berisi baju-baju raya yang dikirim oleh adik-adik dan kucingnya di tengah jalan. 



2. Iklan Raya Paling Sedih (Ikhlas, Pelaburan Mara)

Empat orang adik-beradik menjadi yatim piatu sejurus selepas ibu bapa mereka maut di dalam sebuah kemalangan ngeri sehari sebelum Hari Raya. Semasa kejadian berlaku, adik-beradik itu sempat menyaksikan mayat ibu dan bapa mereka dikeluarkan daripada bangkai kereta yang sudah remuk di dalam hujan lebat. Adegan di mana adik-beradik ini meratapi pemergian ibu bapa mereka merupakan yang paling sedih. Dalam babak seterusnya, saudara-mara mereka dilihat sedang bertelagah sesama-sendiri tentang siapa yang harus mengambil alih tanggungjawab untuk menjaga adik-beradik yatim piatu tersebut.



3. Iklan Raya Paling Kontroversi (Lagenda Cun, Watsons)

Iklan ini telah dikeluarkan daripada siaran media berikutan kemarahan netizen terhadap imej watak Dayang Senandung yang dituduh mendiskriminasikan warna kulit. Dalam iklan ini, watak Orang Kaya yang sedang mencari wanita idamannya berdasarkan mimpi terkejut apabila mendapati Dayang Senandung di dalam realiti mempunyai kulit yang gelap. Akhirnya kulit Dayang Senandung bertukar menjadi putih. Babak ini kemudian diikuti cogan kata di penghujung iklan, “Hanya di Watsons anda boleh menjadi jelita.” 



4. Iklan Raya Paling Mendebarkan (Kampung Batu 311 Diselubungi Misteri, Telekom Malaysia)

Penduduk Kampung Batu 311 diselubungi misteri apabila mereka menemui beberapa perabot dan perkakas yang sebelumnya rosak telah dibaiki tanpa diketahui siapa yang membaikinya. Sehinggalah suatu malam apabila sekumpulan kanak-kanak terserempak dengan lembaga seorang tua yang sedang bercakap dengan gambar arwah isterinya. Kanak-kanak itu segera menularkan insiden tersebut di kalangan penduduk kampung dan mereka bergegas ke arah rumah orang tua itu dengan misi raya yang hebat.



5. Iklan Raya Paling Lucu (Pengorbanan Ayah, Hypp Inspirasi)

Iklan ini berkisarkan kehidupan seorang ayah yang membesarkan kedua-dua anak lelakinya seorang diri. Suatu hari si ayah telah berkahwin dengan gadis yang direbuti oleh anak-anak lelakinya yang kini sudah dewasa. Si ayah menjelaskan bahawa dia tidak pernah berniat untuk berkahwin lagi, namun dia terpaksa mengorbankan status bujangnya agar anak-anaknya mendapat kasih-sayang seorang ibu.

Tentang YunFila

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

2 Komen:

Khairul Anwar berkata...

Saya tonton 2 iklan je yang dugaan aida ngan kemalangan tu.. Seriusly dua-2 menyentuh perasaan.

Ayuni Rafilah berkata...

Kedua-dua iklan ini kerap disiarkan dalam tv stesen utama (cuma dah disingkatkan daripada masa video sebenar). Kebanyakan iklan raya tahun ini boleh ditonton dalam YouTube.

Dikuasakan oleh Blogger.