HIBURAN

METROPOLIS Filem Kurun Ke-20 Yang Mendebarkan: Bahagian 2


METROPOLIS Filem Kurun Ke-20 Yang Mendebarkan: Bahagian 2 | Sambungan daripada entri lalu: METROPOLIS Filem Kurun Ke-20 Yang Mendebarkan

Diburu Thin Man

Tidak lama kemudian, Freder menuju ke apartment Josaphat untuk bertemu dengannya. Dia terkejut apabila mengetahui pekerja kilang yang digantinya tidak datang ke apartment Josaphat seperti yang disuruh. Rupa-rupanya akibat amat teruja dengan kebebasan yang diberikan oleh Freder pekerja tersebut telah merayap ke Yoshiwara, sebuah kelab hiburan yang terkenal dengan kegiatan pelacuran dan perjudian di bandar itu. Sebaik sahaja dia kembali daripada bersukaria, pekerja itu ditahan oleh the Thin Man yang memaksanya memberitahu di mana Freder berada.

Freder meninggalkan Josaphat untuk kembali ke bawah dasar bandar dan berselisih dengan the Thin Man yang sedang mencarinya. The Thin Man gagal menemui Freder, namun dia berjaya menemui Josaphat lalu mengugut Josaphat untuk tidak berhubung dengan Freder lagi. Berlaku pergelutan antara the Thin Man dan Josaphat di dalam apartment tersebut. 

Kelab hiburan Yoshiwara yang menjanjikan kenikmatan duniawi bagi golongan the Sons.

The Thin Man menangkap pekerja kilang yang memakai pakaian Freder.

Pelanduk Dua Serupa

Pada masa yang sama, Rotwang telah menculik Maria lalu membawanya ke makmal untuk “mencuri” wajah Maria bagi robot ciptaannya. Tatkala Rotwang membawa lari Maria, Freder terdengar jeritan Maria lantas cuba mengejar Rotwang untuk menyelamatkan kekasih hatinya. Namun Freder tidak berjaya mengejar Rotwang dan dia terperangkap dalam rumah usang milik Rotwang di mana makmal rahsianya berada. Sepanjang masa Freder cuba mencari jalan keluar, Rotwang menjalankan operasi mencuri wajah Maria sehingga dia berjaya membuat robotnya menyerupai Maria.

Tidak lama kemudian, Freder menjumpai Rotwang di sebuah bilik lain dan bertanyakan di mana Maria berada. Rotwang memberitahu Freder bahawa Maria kini berada bersama bapa Freder, Joh. Freder yang menjadi keliru dengan jawapan Rotwang segera menuju ke pejabat bapanya dan benar seperti apa yang dikatakan oleh Rotwang, Maria memang berada di sisi Joh. Terkejut dengan penemuannya, Freder terus jatuh pengsan dan mengalami demam panas sehingga berhalusinasi.

Maria diculik oleh Rotwang untuk memberikan wajahnya kepada robot ciptaan Rotwang.

Saat robot Rotwang bertukar menjadi 'Maria'.

Godaan Merbahaya

Tanpa diketahui Freder, Maria yang dilihatnya berada di sisi Joh merupakan Maria palsu yang dihasilkan oleh Rotwang melalui gabungan wajah Maria dan tubuh robot ciptaannya. Bagi membuktikan kepada Joh keupayaan robotnya untuk menipu manusia, Rotwang memasukkan Maria palsu ke dalam kelab Yoshiwara sebagai seorang penari ghairah. Kemunculan Maria palsu menarik lebih ramai pemuda golongan the Sons mengunjungi kelab tersebut. Maria palsu menjadi kegilaan ramai lelaki dan dia dipuja ibarat dewi. Dek tergoda dengan kejelitaan Maria palsu, mereka menjadi tidak keruan sehingga ada yang saling berbunuhan semata-mata kerana berebutkan gadis ghairah yang sebenarnya robot menyamar sebagai manusia itu. 

Berikutan insiden berdarah tersebut, Joh berpuas hati dengan kemampuan Maria palsu lalu mengarahkan Rotwang untuk menghantar Maria palsu ke terowong di mana golongan the Workers kerap menganjurkan perjumpaan rahsia mereka. Tujuannya agar Maria palsu memadam harapan the Workers yang ternanti-nanti kedatangan seorang Penghubung yang akan mebawa kedamaian kepada kesemua darjat manusia, sekaligus mengapi-apikan golongan the Workers agar memberontak dan menentang kuasa pentadbiran the Sons yang diketuai oleh Joh. Joh berpendapat bahawa sekiranya rancangan ini berjaya, tiada siapa akan dapat menghalangnya daripada menggunakan kekerasan terhadap the Workers sebagai cara untuk melindungi dirinya sendiri serta bandarnya. 

Rotwang memasukkan Maria plasu ke dalam kelab Yoshiwara sebagai penari ghairah.

Maria palsu menjadi kegilaan ramai lelaki dan dia dipuja ibarat dewi.

Konspirasi Berdarah

Sebaik sahaja Freder sembuh daripada sakit, dia dikunjungi oleh Josaphat yang telah menyamar untuk melindungi dirinya daripada dijejaki oleh the Thin Man. Josaphat menceritakan kepada Freder tentang kemunculan seorang wanita misteri yang dikenali sebagai ‘Maria’ telah menyebabkan ramai pemuda di bandar menjadi lalai dan leka kerana terpukau dengan kejelitaannya. Dia memberitahu Freder bahawa dia menerima maklumat wanita tersebut akan pergi ke terowong persembunyian the Workers untuk memberi ceramah dalam perjumpaan rahsia mereka. Freder yang mengesyaki bahawa ada sesuatu yang tidak kena segera menuju ke terowong tersebut bersama Josaphat. 

Setibanya mereka di sana, Freder dan Josaphat terlihat Maria palsu giat mendesak golongan the Workers agar berhenti mengerjakan mesin-mesin dan keluar dari rumah masing-masing untuk mensabotaj kesemua kilang yang menggerakkan operasi bandar. Sebaliknya, mereka diseru untuk berperang menentang golongan the Sons sebagai cara untuk mengakhiri penindasan ke atas mereka. Freder tidak percaya bahawa wanita yang berhujah di depan matanya ialah Maria, lalu dia mencelah sambil memberitahu mereka yang hadir bahawa wanita tersebut bukan Maria sebenar. Malangnya, tiada siapa yang mempercayai kata-kata Freder lalu berlaku satu pergaduhan besar sesama mereka sehingga Freder hampir ditikam. Pekerja yang diganti oleh Freder tempoh hari mengorbankan nyawanya demi membalas budi Freder walaupun dia gagal menepati janjinya pada Freder untuk bertemu di apartment Josaphat semasa dia hidup.

Ramai pemuda di bandar menjadi lalai dan leka kerana terpukau dengan kejelitaan Maria palsu.

Maria palsu menghasut golongan the Workers untuk memberontak terhadap pentadbiran Joh Frederson.

Musuh Dalam Selimut

Maria sebenar telah dikurung di dalam rumah usang Rotwang sepanjang masa Maria palsu menjalankan misinya mengaburi pandangan manusia di luar. Tatkala Rotwang menceritakan kepada Maria rancangannya untuk menghancurkan hidup Joh dan Freder serta bandar Metropolis melalui penggunaan Maria palsu, Joh terdengar perbualan antara Rotwang dan Maria lalu dia menyerang Rotwang. Semasa kedua-dua lelaki itu asyik bertarung, Maria segera melarikan diri dan menuju ke kawasan penempatan golongan the Workers untuk memberi amaran kepada mereka. 

Malangnya Maria palsu telah pun memimpin ribuan golongan the Workers ke arah bandar utama untuk mensabotaj kesemua mesin dan kilang yang menggerakkan bandar tersebut. Setelah berjaya menumpaskan Rotwang, Joh kembali ke bandar dan menonton keadaan hura-hara yang dibawa oleh golongan the Workers terhadap bandarnya. Sambil meninjau dari pusat kawalan, Joh memaksa Grot agar membuka gerbang kilang utama untuk dimasuki Maria palsu dan the Workers walaupun Grot tidak membenarkannya. Grot bimbang kerosakan yang the Workers lakukan akan menjejaskan bawah dasar bandar tempat tinggal mereka. Kebimbangan Grot menjadi realiti apabila air di takungan bandar mula mencurah dan membanjiri kawasan tempat tinggal the Workers. 

Maria yang berada di tempat kejadian terperanjat apabila mendapati the Workers telah meninggalkan anak-anak mereka yang masih kecil di rumah masing-masing dan mereka kini dilanda ancaman banjir. Maria cuba menyelamatkan anak-anak the Workers tersebut. Dengan pertolongan Freder dan Josaphat yang baru tiba ke sana, Maria berjaya membawa kanak-kanak itu ke bandar atas. Freder mencadangkan untuk membawa kanak-kanak itu ke puncak bandar.

Golongan the Workers menceroboh ke dalam bandar lalu mensabotaj kesemua mesin dan kilang.

Maria cuba menyelamatkan anak-anak the Workers daripada mati lemas dilanda banjir.

Kematian Maria Palsu

Sedang the Workers berpesta meraikan kejayaan mereka merosakkan kilang-kilang dalam bandar tersebut, Grot cuba mengingatkan mereka di mana anak-anak mereka berada dan memberitahu mereka tentang bencana yang berlaku akibat perbuatan mereka. Setelah menyedari apa yang mereka telah lakukan, the Workers menyangka mereka telah membunuh anak-anak mereka sendiri lalu mereka menyalahkan Maria kerana mengajak mereka memberontak. The Workers segera mencari Maria untuk membunuhnya sebagai membalas dendam ke atas kematian anak-anak mereka. Mereka terserempak dengan Maria sebenar lantas mengejarnya, manakala Maria palsu pula sedang bersukaria di kelab Yoshiwara bersama-sama golongan the Sons. 

Rotwang yang masih belum mati setelah dibelasah oleh Joh, bangkit daripada pengsan dalam keadaan tidak waras. Dia bertembung dengan Maria lalu mengejar Maria seingga ke sebuah gereja dengan bayangan bahawa Maria ialah Hel, bekas kekasih lamanya yang juga merupakan mendiang isteri Joh. Sementara itu, Grot bertembung pula dengan Maria palsu lalu dia bersama golongan the Workers mengikat dan membakar Maria palsu di tengah-tengah bandar. Keadaan menjadi kecoh apabila Maria palsu berubah semula ke wajah asalnya semasa dibakar tatkala Freder cuba menyelamatkannya.

Maria palsu diikat dan dibakar di tengah-tengah bandar sebagai pembalasan dendam oleh golongan the Workers ke atas kematian anak-anak mereka..

Maria palsu berubah semula ke rupa asalnya setelah dibakar oleh the Workers.

Seribu Penyesalan

Freder terkejut apabila mendapati gadis yang dibakar di depan matanya bukan Maria. Tiba-tiba dia terpandang kelibat Rotwang mengejar Maria sebenar di atas bumbung gereja merdekatan kawasan kejadian. Freder segera mengejar Rotwang dan mereka bertarung di atas bumbung gereja sambil diperhatikan orang ramai dari bawah. 

Sementara itu, Joh yang berada di dalam pejabatnya tiba-tiba dikejutkan oleh the Thin Man yang memberitahunya bahawa Freder berada di bawah tanah bersama golongan the Workers, dan dikhuatiri terkorban sekali dalam pemberontakan tersebut. Joh berubah menjadi bertambah gelisah apabila the Thin Man menceritakan bahawa bandar the Workers telah dibanjiri air dan anak-anak mereka mati hanyut dalam bencana tersebut, tanpa mengetahui bahawa anak-anak mereka telah diselamatkan oleh Freder, Maria dan Josaphat. 

Tidak lama kemudian Josaphat muncul untuk memberitahu Joh di mana anaknya berada. Joh segera keluar mencari Freder, diikuti oleh the Thin Man, sehingga mereka tiba di depan gereja di mana Freder bertarung dengan Rotwang. Joh menjadi teramat risau dengan keselamatan Freder sehingga dia tidak mengambil peduli dengan golongan the Workers di sekeliling yang ingin membunuhnya. 

Freder dan Rotwang bertarung di atas bumbung gereja.

Golongan the Workers ingin membunuh Joh yang kini tidak peduli dengan apa yang berlaku di sekelilingnya, namun dihalang oleh Josaphat dan the Thin Man.

Penghubung Kedamaian

Josaphat dan the Thin Man segera menghalang golongan the Workers daripada menghampiri Joh dan memberitahu mereka bahawa kesemua anak-anak mereka masih hidup dan selamat daripada ancaman banjir. Keadaan bertukar menjadi gembira bagi golongan the Workers tetapi tidak bagi Joh yang terus menyaksikan Freder berlawan dengan Rotwang.

Rotwang akhirnya mati terbunuh setelah terjatuh daripada bumbung gereja. Sebentar kemudian, setelah kesemuanya selamat Maria meminta Freder memainkan peranan sebagai Penghubung dengan menjadi pengantara kedamaian di antara golongan the Sons dan the Workers agar kedua-dua darjat ini hidup bekerjasama dengan aman dan makmur.

Freder ialah Penghubung yang dinanti-nantikan oleh golongan the Workers. Tugasnya sebagai Jantung menghubungkan Kepala (the Sons) dan Tangan (the Workers).

Sekian jalan cerita dalam filem Metropolis yang diterbitkan pada tahun 1927. Apakah pendapat anda tentang filem ini?

Bagi Ayuni, intipati filem ‘Metropolis’ mempunyai mesej nilai moral yang diolah dan disampaikan dengan hebat walaupun filemnya tidak mempunyai suara dan warna. Mimik muka para pelakon sudah cukup membuat penonton rasa berdebar mengikuti babak seterusnya. Skripnya juga kemas dan mengandungi banyak mesej tentang nilai kemanusiaan dan ketamadunan yang disampaikan secara tersirat.

Tentang YunFila

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

0 Komen:

Dikuasakan oleh Blogger.