Baru
Tunggu kejap ya... nak cari entri terbaru

HIBURAN

METROPOLIS Filem Kurun Ke-20 Yang Mendebarkan


METROPOLIS Filem Kurun Ke-20 Yang Mendebarkan | Ayuni amat meminati filem-filem dari Jerman arahan Fritz Lang yang dihasilkan pada era 1920-an kerana mutu skrip dan nilai kemanusiaan dipaparkan dalam filemnya yang boleh dikatakan agak maju ke hadapan berbanding karya pengarah-pengarah negara lain pada zaman tersebut.

Antara filem arahan Fritz Lang yang digemari Ayuni ialah ‘Metropolis’ (1927) yang merupakan adaptasi dari novel berjudul sama karya Thea von Harbou, iaitu isteri Fritz Lang sendiri. Kedua-dua novel dan filem tersebut mengisahkan tentang sebuah pentadbiran bandar yang maju di zaman akan datang yang kemudiannya menemui kehancuran akibat sifat dendam, prasangka buruk, hasad dengki, dan prejudis antara sesama manusia yang menghuni bandar tersebut.

Sebahagian daripada pemandangan bandar Metropolis mengikut imaginasi Fritz Lang.

Bandar Metropolis Lambang Sistem Kapitalisme

Bandar Metropolis terletak dalam zaman futuristik di mana masyarakat terbahagi kepada dua golongan mengikut darjat dan keturunan – golongan bawahan, ‘the Workers’, menghuni di bawah dasar bandar dan mereka hidup untuk bekerja demi menggerakkan operasi bandar, manakala golongan atasan pula, ‘the Sons’ menghuni di atas puncak bandar dan mereka merupakan golongan elit yang bertanggungjawab mengendalikan sistem pentadbiran bandar. Golongan the Workers harus bekerja sehingga mati demi menggerakkan operasi bandar Metropolis, manakala golongan the Sons menikmati segala kemewahan hidup di atas puncak bandar yang lengkap dengan kemudahan sekolah, perpustakaan, stadium dan taman bak syurga.

The Workers menghuni di bawah dasar bandar dan mereka hidup untuk bekerja demi menggerakkan operasi bandar.

The Sons menikmati segala kemewahan hidup di atas puncak bandar yang lengkap dengan taman bak syurga.

Kisah Cinta Antara Dua Darjat 

Konflik bermula apabila anak lelaki Joh Frederson, Freder, terserempak dengan seorang gadis dari golongan the Workers bernama Maria semasa dia sedang leka bergurau senda bersama beberapa gadis jelita dalam taman. Maria sedang membawa sekumpulan kanak-kanak dari golongan the Workers ke atas bandar untuk menunjukkan kepada mereka kehidupan “saudara” mereka yang lain. Maria serta kanak-kanak tersebut segera dihalau oleh pengawal taman. Di saat Freder terpandang wajah Maria, dia terus jatuh cinta lantas dia cuba mengekori Maria sehingga dia tiba di sebuah kilang.

Maria, gadis misteri dari golongan the Workers.

Freder gagal menjumpai Maria, tetapi sempat menyaksikan letupan kilang di depan matanya. Terkejut dengan apa yang dilihatnya, Freder segera menuju ke bangunan pejabat bapanya untuk melaporkan kejadian tersebut. Joh berasa curiga mengapa kejadian letupan kilang itu diketahui oleh anaknya tetapi bukan oleh orang kanannya, Josaphat. Josaphat diarah untuk menyiasat kejadian tersebut.

Penemuan Peta Misteri

Sejurus kemudian ketua golongan the Workers bernama Grot muncul di pejabat Joh bersama dua peta yang ditemui pada mayat-mayat mangsa letupan kilang tadi. Sekali lagi Joh berasa curiga terhadap Josaphat kerana tidak mengetahui tentang kewujudan dua peta itu. Dia memecat Josaphat dengan serta-merta di atas kelalaiannya. Tindakan Joh menyebabkan Freder berasa bersalah kerana dia menjadi punca kepada pemecatan Josaphat. Mereka yang dipecat oleh Joh akan diusir daripada golongan the Sons dan dihantar ke bawah dasar bandar sebagai pekerja kilang di kalangan the Workers. Freder mengejar Josaphat ke luar pejabat dan sempat menghalang Josaphat daripada membunuh diri. Akibat rasa terkilan dengan corak pentadbiran Joh, Freder mengajak Josaphat untuk mengikutnya lari ke bawah dasar bandar. Dia meminta Josaphat untuk menunggu kehadirannya di apartment Josaphat pada malam itu.

Kilang yang meletup di depan mata Freder.

Joh Frederson dalam pejabatnya di tengah-tengah bandar Metropolis.

Rotwang, Si Saintis Gila Dan Robotnya

Joh mula mengupah seorang lelaki berpakaian serba hitam (dalam filem ini dia hanya dikenali sebagai the Thin Man) untuk mengawasi setiap langkah dan gerak-geri Freder. Tanpa diketahuinya, Freder telah menyelinap masuk ke kawasan the Workers dan menggantikan seorang pekerja di sana. Joh kemudian mencari seorang saintis bernama Rotwang untuk bertanyakan tentang dua peta yang dijumpai Grot. Rotwang sering dicari Joh untuk membantunya apabila pakar-pakarnya tidak berjaya menyelesaikan masalah pentadbiran bandar. Namun Rotwang juga pernah menjadi kekasih kepada Hel, wanita yang kemudiannya menjadi isteri Joh, dan ini membuatkan Rotwang menyimpan dendam terhadap Joh. Joh meminta Rotwang agar melupakan kisah silam yang telah berlalu, namun Rotwang berkeras dia masih tidak dapat melupakan Hel dan ini mendorong dia membina sebuah robot untuk “menghidupkan” semula Hel. Rotwang mempersembahkan robot ciptaannya yang menyeramkan itu kepada Joh.

The Thin Man yang diupah oleh Joh untuk mengintip Freder.

Rotwang menunjukkan kehebatan robot ciptaannya kepada Joh.

Legenda Menara Babel

Sementara itu, Freder yang telah menyamar sebagai salah seorang the Workers mendapati mereka semua akan berkumpul di dalam sebuah terowong pada waktu tertentu untuk menghadiri suatu perjumpaan rahsia. Freder mengikuti para pekerja yang lain dan berasa terkejut apabila mendapati Maria merupakan orang yang mengetuai perjumpaan rahsia tersebut.

Dalam perjumpaan itu, Maria menceritakan tentang legenda Menara Babel yang hancur akibat tiada persefahaman antara golongan atasan yang mencetuskan ilham kewujudan menara (Kepala) dan golongan bawahan yang merealisasikan pembinaan menara (Tangan). Maria memberitahu golongan the Workers bahawa seorang ‘Penghubung’ (Jantung) akan datang di suatu hari nanti untuk “menghubungkan” golongan atasan dengan golongan bawahan agar menjadi bersatu. Freder berasa tersentuh mendengar ucapan Maria lalu dia memanggil Maria untuk berbual dengannya ketika semua orang kembali ke tempat kerja masing-masing. Maria percaya bahawa Freder ialah ‘Penghubung’ yang dicari-cari mereka. Dia menjadi amat gembira dan mula jatuh cinta pada Freder.

Terowong tempat perjumpaan rahsia the Workers.

Maria mula jatuh cinta pada Freder dan percaya bahawa dialah 'Penghubung' yang dicari-cari selama ini.

Dendam Dan Kebencian

Tanpa diketahui sesiapa, Joh dan Rotwang telah lama memerhatikan gerak-geri Freder dan Maria dari sebalik dinding gua di atas tempat perjumpaan rahsia itu diadakan. Rotwang telah membawa Joh masuk ke dalam terowong itu mengikut peta-peta yang diserahkan oleh Joh kepadanya.

Joh menjadi marah setelah mendengar ucapan Maria yang menanam harapan dalam diri the Workers tentang kewujudan Penghubung yang akan membebaskan mereka dari penindasan. Joh meminta Rotwang untuk membuat wajah robot ciptaannya menyerupai Maria supaya dia boleh memusnahkan kepercayaan the Workers terhadap Maria. Rotwang bersetuju dan mengambil peluang ini sebagai caranya untuk membalas dendam terhadap Joh kerana dia tahu bahawa tindakan Joh akan membuat hubungannya dengan Freder menjadi retak, sekaligus membawa bandar tersebut ke arah kehancuran akibat perbezaan ideologi anak dan ayah.

BERSAMBUNG...

Tentang YunFila

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

0 Komen:

Dikuasakan oleh Blogger.