Baru
Tunggu kejap ya... nak cari entri terbaru

SPONSORED POST

MAHA 2016 Catat Sejarah!

MAHA 2016 Catat Sejarah! | Siapa dah pergi ke MAHA 2016 (Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism) di MAEPS, Serdang hari tu? Kalau dah pergi syabas, anda dah berjaya masuk dalam sejarah jumlah pengunjung terbesar yang berjaya direkod oleh MAHA 2016!

Dengan tema 'Our Food Our Future', MAHA 2016 berjaya menarik 3.7 juta pengunjung sepanjang 1-11 Disember 2016


Ayuni pun sebenarnya baru tahu lepas baca artikel bertajuk MAHA 2016 Terima 3.7 Juta Pengunjung dalam suratkhabar Berita Harian. Bayangkan 3.7 juta pengunjung... ramai tu! Tak hairanlah MAHA 2016 dikunjungi orang seramai tu sebab memang macam-macam benda menarik boleh jumpa di sana - dari jualan hasil pertanian, haiwan ternakan, masakan tradisi hinggalah ke konsert hiburan, semuanya amat menarik bagi pengunjung.

Ramai betul orang yang datang ke MAHA 2016, tak putus-putus dari siang sampai ke malam

Penat berjalan? Jom naik Nikkari Monorack keliling MAHA 2016!

Dulu Ayuni pernah pergi ke MAHA 2014 dengan rombongan pejabat dan sayangnya tak sempat nak berjalan-jalan ke keseluruhan kawasan tapak pesta sebab terpaksa ikut jadual rombongan, kalau tak nanti tertinggal bas. Tahun ni agak seronok sebab Ayuni dapat berlegar-legar lama sikit di tapak pameran MAHA 2016 secara bersendirian, jadi dapatlah tengok banyak jualan dan persembahan yang dianjurkan. Disebabkan Ayuni merupakan budak bandar sejati, maka membuak-buaklah rasa ingin tahu Ayuni tentang produk pertanian dan penternakan dari luar bandar yang diperkenalkan sempena MAHA 2016.

Kehadiran Ayuni disambut dengan meriah oleh kakitangan penganjur MAHA 2016 yang memainkan nobat diraja Negeri Sembilan. 
Tidak, Ayuni bergurau saja.

Jom tengok apa keistimewaan MAHA 2016 sampai berjaya pecah rekod bilangan pengunjung tahun sebelumnya...

Tahun ini MAHA 2016 menambah pelbagai tarikan yang berbeza daripada tahun sebelumnya seperti Laman Padi Walkway Dalam Bendang, Nafas Agroyouth Camp, Laman Herba Temperate Dome, Rumah Nelayan Terbalik, Kampung Mak Cun dan Laman Empayar Makanan. Seronok, kan?

Antara tarikan utama semasa MAHA 2016 ialah lembu sado yang memiliki banyak otot pada badannya. Menurut papan tanda yang Ayuni baca, lembu sado ni merupakan baka Belgian Blue yang mempunyai daging lembut walaupun badannya berotot-otot. 

Jaguh bina badan Sazali Samad berdiri di sebelah lembu sado. Adakah mereka bertanding kekuatan otot sesama sendiri? 
Oh, bukan... rupa-rupanya ada pertandingan meneka berat lembu sado tu dengan hadiah berjumlah RM20,000! 
Ayuni tak pasti apa kaitan Encik Sazali dengan lembu sado di situ, tetapi yang pastinya Ayuni tidak berjaya meneka berat lembu sado dengan tepat. Sedihnya.

Rasa bertambah sedih apabila nampak pakcik ni berjaya memenangi banyak hadiah sebagai pengunjung ke-2,500,000. Agaknya kalau pakcik ni duduk rumah saja mesti Ayuni yang terpilih. Tak mengapalah... rezeki itu ketentuan Tuhan.

Pengunjung berpeluang merasai kehidupan sebagai petani nanas semasa berada di MAHA 2016. Ayuni teringin juga menikmati kehidupan ini. Malangnya Ayuni tidak reti naik basikal.

Sebut tentang nanas, mesti ingat Jus Bob Nanas yang juga membuka jualan di MAHA 2016. Ramai betul pelanggan yang datang beli jus nanas... agak-agaknya berapa hasil pendapatan dia kalau 3.7 juta pengunjung dah membeli sepanjang perjalanan MAHA 2016?

Upin dan Ipin pun datang memeriahkan suasana di Kampung Durian Runtuh sempena MAHA 2016. Seronoknya budak-budak dan mak budak jumpa dua watak popular ni.

Konsert Rhythm of the Farmers membawakan persembahan oleh Ebit G Ade dan Datuk Ramli Sarip. Siapa kata orang pertanian tak pandai layan lagu rock?

Pengunjung tertarik melihat kecomelan ikan nemo dalam Laman Perikanan di MAHA 2016. Ikan ni sedap tak kalau masak asam pedas?

Ikan kerapu yang bersaiz merapu ini nampak sangat mencurigakan. Bila ramai orang jenguknya, ia nampak sangat gembira dan menakutkan. Mungkin ada sebabnya ia dikurung dalam kolam itu...

Para pengunjung berpeluang menanam sayur sendiri dalam Laman Pertanian dengan menggunakan tanah dan cangkul yang disediakan khas oleh pihak penganjur. Bukan sahaja budak-budak, malah mak budak juga kelihatan gembira dapat bercucuk tanam di sini.

Pendek kata, memang rugilah siapa yang tak pergi ke MAHA 2016 hari tu! Berbagai-bagai perkara berkaitan dunia pertanian yang dapat dipelajari sambil dihayati dalam pengalaman mengunjungi MAHA 2016. Berbaloi bawa anak-anak sekali apatah lagi masa tengah cuti sekolah. Moga MAHA 2018 menjanjikan lebih banyak pameran dan tarikan yang bakal membuat MAHA bertambah gempak dari tahun ke tahun seterusnya.

Tentang YunFila

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

0 Komen:

Dikuasakan oleh Blogger.