Baru
Tunggu kejap ya... nak cari entri terbaru

INFO

Legasi 1966 Ceaușescu: Akibat Ramai Anak, Institusi Kekeluargaan Negara Hancur


Legasi 1966 Ceaușescu: Akibat Ramai Anak, Institusi Kekeluargaan Negara Hancur | Di kala negara kita bimbang dengan peningkatan kes cerai dan pembuangan bayi kerana khuatir akan menjejaskan institusi kekeluargaan di kalangan masyarakat, rupa-rupanya ada juga keadaan di mana negara menjadi hancur akibat pengurangan kes cerai dan pertambahan zuriat yang ramai. Dengar seperti pelik bukan? Tetapi memang itulah realiti dalam sejarah demografi negara Romania.

Ramai pasti tak tahu tentang Legasi 1966 yang dimulakan oleh Nicolae Ceaușescu. Ceaușescu merupakan pemerintah rejim komunis di Romania sepanjang tahun 1965 sehingga 1989 dan kebanyakan dasar negara yang dijalankan di bawah pemerintahannya bersifat kuku besi.  Rejim komunis Ceaușescu memiliki pasukan polis rahsia yang terkenal dengan kekejaman mereka dikenali sebagai Securitate.

Nicolae Ceaușescu

Ceaușescu berasal dari keluarga petani yang miskin yang mempunyai 10 orang anak termasuk Ceaușescu. Apabila berusia 11 tahun, Ceaușescu lari daripada rumah akibat tidak tahan didera oleh ayahnya yang merupakan seorang kaki mabuk. Dia melarikan diri ke Bucharest dan diambil sebagai pembantu oleh seorang tukang kasut bernama Alexandru Săndulescu. Dalam diam-diam, Săndulescu merupakan ahli parti komunis yang menentang kerajaan pada masa itu dan Ceaușescu yang masih muda sering ditugaskan untuk melakukan kerja-kerja ringan untuk membantu parti tersebut beroperasi secara rahsia, sehingga banyak kali dia dipenjarakan kerana kegiatannya. 

Nicolae Ceaușescu semasa muda.

Setelah dewasa, Ceaușescu menjadi seorang yang terkenal kerana berjaya menyebarkan fahaman komunis dalam penjara melalui cara agresif dan apabila negara Romania jatuh ke tangan komunis pada tahun 1947, Ceaușescu dilantik menjadi Menteri Pertanian sebelum diangkat menjadi Menteri Pertahanan dan seterusnya Setiausaha Agung Romania. Pada tahun 1965 Ceaușescu dilantik menjadi pemimpin negara menggantikan Gheorghiu-Dej, yang juga pernah menjadi mentornya semasa kedua-duanya dalam penjara.

Semasa memegang tampuk pemerintahan, Ceaușescu memperkenalkan Dasar 1966 yang meliputi inisiatif pembangunan negara dan sahsiah diri masyarakat. Antara isu semasa yang menjadi hangat di Romania pada masa itu ialah peningkatan kes pengguguran anak, di mana rakyat menjadi khuatir sekiranya gejala tersebut akan memberi kesan buruk kepada negara mereka yang sedang mengalami kesusutan kadar kelahiran. Ceaușescu percaya bahawa sekiranya rakyat Romania bertambah, jumlah tenaga kerja juga akan bertambah dan boleh membantu negara menjana ekonomi. Oleh itu, Ceaușescu menerapkan dasar-dasar berikut di negara Romania:

  • mengharamkan pengguguran anak
  • mengharuskan setiap wanita melahirkan sekurang-kurangnya 5 orang anak
  • memberi faedah seperti pelepasan cukai kepada keluarga yang memiliki sekurang-kurangnya 5 orang anak
  • mengenakan cukai tinggi kepada keluarga yang tiada anak atau kurang daripada 5 orang anak
  • memberi anugerah penghormatan ‘Srikandi’ kepada wanita yang melahirkan lebih 10 orang anak 
  • mengharuskan wanita melahirkan sekurang-kurangnya seorang anak perempuan dalam 5 orang anak yang dilahirkan
  • mewajibkan perkahwinan di kalangan golongan yang belum berkahwin
  • mengharamkan perceraian kecuali jika ada sebab yang luarbiasa


Ramai yang tidak bersetuju dengan dasar Ceaușescu, terutama sekali golongan wanita yang merasakan hak asasi mereka sebagai rakyat diperlekehkan ke setakat menjadi isteri dan ibu seseorang.

Kesemua dasar ini dikecualikan bagi wanita yang sudah berusia 45 tahun ke atas dan mereka yang ingin menggugurkan kandungan kerana dirogol. Setiap bulan rumah yang diduduki wanita sedang mengandung akan diperiksa dan dibanci oleh pegawai kesihatan dan polis rahsia kerajaan sehingga bayi dilahirkan. Sekolah juga memperkenalkan pendidikan seks di mana naluri keibuan dan kepentingan melahirkan anak didedahkan kepada gadis muda sebagai satu matlamat hidup mereka. Kerajaan mengharamkan penjualan dan pengagihan alat-alat perancang keluarga bagi menghalang wanita mengawal kelahiran anak.

Walaupun dasar-dasar di atas kelihatan cukup sempurna untuk menggalakkan rakyat Romania menambah zuriat dan membina institusi kekeluargaan bagi mencipta sebuah negara yang kuat, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Pada era 1960-an, populasi negara Romania bertambah tetapi ia mengundang sekali gejala lain yang berpunca daripada pertambahan tersebut. Akibat keadaan ekonomi negara yang merosot, keluarga miskin tidak mampu menanggung bilangan anak yang ramai lalu terpaksa menyerahkan anak-anak mereka kepada rumah anak yatim. Kes pembuangan bayi juga berleluasa dan anak-anak terbuang ini dimasukkan sekali ke dalam rumah anak yatim. Kadar kematian di kalangan wanita miskin dan tidak berpendidikan tinggi yang melahirkan anak juga meningkat akibat cubaan menggugurkan kandungan atau masalah melahirkan anak dalam keadaan tiada jaminan kebersihan.

Setiap hari akan ada ratusan anak-anak terbuang atau ditinggalkan yang dihantar ke rumah anak yatim di Romania.

Kemiskinan mendorong keluarga menghantar anak-anak ke rumah anak yatim yang serba kekurangan.

Nasib anak-anak yatim di Romania. Ramai yang mati akibat tidak cukup zat, menghidapi penyakit dan didera oleh penjaga di rumah anak yatim.

Menjelang 1970-an, Romania menjadi negara yang terkenal dengan jumlah rumah anak yatim terbanyak dan generasi rakyat kemudiannya rata-rata berasal dari rumah anak yatim. Sejumlah 2 juta anak yang tidak dikehendaki dilahirkan dan ramai yang dihantar ke rumah anak yatim mati akibat kurang zat makanan dan mengalami kebuluran. Disebabkan tiada panduan dan kekurangan sokongan kehidupan asas untuk anak-anak yatim tersebut seperti pendidikan dan kewangan, ramai yang hidup sebagai gelandangan atau terjebak dengan jenayah seperti kumpulan kongi gelap dan pelacuran setelah mereka keluar meninggalkan rumah anak yatim.

Saat-saat penggulingan Ceaușescu.

Pemerintahan Ceaușescu tidak kekal lama apabila dia digulingkan oleh rakyat dalam sebuah revolusi pada tahun 1989. Ceaușescu cuba melarikan diri bersama isterinya Elena dengan menaiki helikopter, namun mereka berjaya ditangkap oleh tentera. Pada hari Krismas 1989, sebaik sahaja mereka dibicarakan Ceaușescu dan isterinya dijatuhkan hukuman mati dengan tangan mereka diikat dan ditembak oleh barisan tentera di hadapan khalayak ramai. 

Ionel Boeru, salah seorang tentera penembak yang menjatuhkan hukuman mati terhadap Ceaușescu semasa ditemuramah oleh akhbar Daily Mirror.

Dalam buku mereka yang berjudul Freakonomics, Steven Levitt dan Stephen J. Dubner berpendapat bahawa penggulingan rejim komunis Ceaușescu kemungkinan besar digerakkan oleh golongan yang berasal dari anak-anak terbuang yang tidak mampu digugurkan oleh ibu mereka sebelum mereka lahir disebabkan dasar 1966 Ceaușescu. -A.Rafilah

Tentang YunFila

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

0 Komen:

Dikuasakan oleh Blogger.