INFO

Sisi Gelap Dark Web & Pencabulan 200 Kanak-Kanak Malaysia


Apa itu dark web?

Dark web merupakan sebahagian daripada dunia 'deep web' (rangkaian dalam) dalam alam maya yang wujud di atas jaringan overlay, iaitu rangkaian internet yang hanya boleh diakses oleh golongan atau komuniti tertentu, atau menggunakan perisian khas. Dark web sukar dijejak dengan enjin carian kerana tidak termasuk dalam indeks. Antara laman dark web yang terbesar masa kini ialah 12P, Tor dan Freenet.


Pengguna dark web memperoleh akses ke laman web tertentu melalui kaedah onion routing yang membolehkan mereka menembusi beberapa lapisan keselamatan data yang sulit (encryption) tanpa mendedahkan identiti pengguna. Disebabkan kegiatan dan perbualan mereka dalam laman dark web tidak mudah dijejak pihak berkuasa melalui kaedah onion routing, kebanyakan dark web dibina untuk pengguna-pengguna yang ingin berkongsi maklumat rahsia sulit berkaitan politik, operasi botnet untuk menaikkan trafik, pertemuan antara golongan hacker, perkhidmatan servis dan produk atas talian dan sebagainya. Golongan hacker dan phisher merupakan pengguna dark web paling ramai.

Namun, ada juga yang menyalahgunakan dark web sebagai ruang untuk pasaran gelap di alam maya. Aktiviti pengedaran dadah, senjata, pelacuran dan pornografi kanak-kanak biasanya merupakan antara senarai transaksi paling kerap berlaku dalam dark web. Contohnya, laman dark web Tor mencatatkan pornografi kanak-kanak sebagai carian katakunci tertinggi laman tersebut. Perniagaan gelap ini menggunakan Bitcoin sebagai matawang pertukaran utama.


Richard Huckle, Pencabul Kanak-Kanak Bersiri

Kes Richard Huckle, pencabul kanak-kanak bersiri yang ditahan pihak berkuasa antarabangsa baru-baru ini dipercayai telah menggunakan dark web untuk mengeksploitasi nafsu serakahnya terhadap kanak-kanak di sekitar Kuala Lumpur, Malaysia. Richard, 30, yang berasal dari Kent, England, mengaku menjadikan lebih 200 orang bayi dan kanak-kanak dari golongan beragama Kristian yang miskin sebagai mangsa seksualnya antara tahun 2006 dan 2014.


Richard menggunakan identiti sebagai seorang sukarelawan yang membantu mengajar kanak-kanak gologan miskin Bahasa Inggeris, jurugambar bebas, serta terlibat dengan badan-badan amal kebajikan Kristian di sekitar negara Asia bagi tujuan mengaburi pandangan ibu bapa mangsanya serta orang ramai.


Di sebalik topeng yang dipakainya, Richard merupakan syaitan yang kerap merogol, meliwat, serta memaksa mangsanya memperkosa kanak-kanak lain. Sejumlah 20,000 imej pornografi kanak-kanak ditemui dalam komputer riba milik Richard. Kesemua perbuatan jelik ini dirakam oleh Richard dalam laman dark web bernama The Love Zone yang hanya boleh diakses oleh golongan pedofil sepertinya. Dalam laman dark web terbabit, Richard menulis sebuah e-manual bertajuk Paedophiles And Poverty: Child Lover Guide yang menceritakan kegiatan pencabulan seksual yang dilakukan terhadap kanak-kanak.


Richard menulis, "Saya menemui seorang kanak-kanak perempuan berusia 3 tahun yang boleh diperkosa sepuas hati saya hingga jemu. Dia ibarat seekor anjing yang setia dan tiada siapa mempedulikannya. Kanak-kanak yang berasal dari keluarga miskin lebih mudah untuk didekati dan diambil kesempatan berbanding kanak-kanak dari keluarga kelas pertengahan."

Sebagai ganjaran untuk gambar-gambar pornografi kanak-kanak yang dimuatnaik olehnya, Richard menerima bayaran dari admin dan pengunjung laman dark web tersebut dalam bentuk Bitcoin. Richard juga didakwa cuba meraih sumbangan orang ramai menerusi crowdfunding bagi meneruskan kegiatan kejinya di Malaysia dan negara Asia lain.

Pembongkaran Laman Dark Web The Love Zone

Laman dark web The Love Zone merupakan laman media sosial tertutup di mana admin dan pengunjung berkongsi gambar dan video pornografi kanak-kanak yang mereka telah cabul secara peribadi di luar alam maya.


Pihak berkuasa dari Australia dan Eropah telah lama bergabung mencari jalan untuk menumpaskan kegiatan tidak bermoral yang dijalankan dalam laman dark web The Love Zone sehinggalah pegawai Task Force Argos dari Australia memberi maklumat tentang tabiat admin The Love Zone yang sering menyambut pengunjung dengan ucapan "hiyas". Setelah memeriksa setiap forum, chatroom, akaun media sosial awam (Twitter, Facebook, blog dan sebagainya) di seluruh dunia, mereka menemui akaun Facebook milik seorang lelaki bernama Shannon McCoole yang memberi cara ucapan yang sama. Shannon bekerja sebagai pengasuh kanak-kanak di Adelaide, Australia.


Semasa pihak polis merempuh masuk rumah Shannon, dia dijumpai sedang melayari laman The Love Zone sebagai admin. Foto tangan Shannon diambil sebagai bukti dan pihak polis mendapati tanda tompok pada jari Shannon mirip tanda tompok pada jari dalam salah satu imej pornografi yang dikongsi dalam laman The Love Zone.

Selepas pemberkasan Shannon, salah seorang pegawai Task Force Argos mengambil alih tempat admin The Love Zone lalu menyamar sebagai Shannon. Berdasarkan data dan maklumat yang diperolehi pegawai tersebut, pihak berkuasa mendapati nama Richard Huckle tersenarai sebagai pengunjung yang paling popular dan paling banyak merakam aksi seksualnya dengan kanak-kanak. Akaun peribadi Richard di laman media sosial awam seperti Facebook mendedahkan bahawa dia akan balik meraikan hari Krismas di England bersama keluarganya.


Berpandukan maklumat tersebut, pihak berkuasa Australia melaporkan kepada Perbadanan Jenayah Dalam Negeri Britain tentang ketibaan Richard di Lapangan Terbang Gatwick. Richard akhirnya ditahan dan didakwa dengan 91 dakwaan atas mencabul dan memperkosa kanak-kanak di Kemboja, India dan Malaysia.

Natijah


Dark web merupakan instrumen yang memberi ruang kepada penjenayah untuk mengamalkan kegiatan haram secara terlindung. Akhirnya apa yang dianggap hanya kepuasan peribadi seseorang menular keluar dari alam maya sebagai bencana kepada masyarakat di dunia sebenar. Perlukah dark web dibiarkan terus wujud sehingga membinasakan kehidupan pihak lain semata-mata demi kepuasan peribadi golongan hacker, phisher, pedofil, subversif, pengganas, sundal, penyumbangleweng dan sebagainya? - A.Rafilah.

Tentang YunFila

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

3 Komen:

asma langit berkata...

Terima kasih Ayuni.. Detail betul penerengan yang Ayuni bagi. Saya cuma terbaca tajuk2 shj, belom ada kesempatan godek; tapi baca satu artikel ni je dah faham keseluruhan cerita..

Mekasih krn put so much effort bg penerangan ni..

Ayuni Rafilah berkata...

Terima kasih. Maklumat dalam artikel ini tidak diketahui ramai orang sebenarnya.

Ron Bray berkata...

I understand pedophiles and child molesters cannot help their urges most of the time. Really, some people born with a sexual view towards youngons actually manage to control themselves, but can we please just lock the repeat offenders away like the animals they are? Maybe even put them down?
Regards
Crazyask Deep web Links the DarkWeb

Dikuasakan oleh Blogger.