EVENT

[Teknologi Halal] Pelancaran eHalal.com: Memperluaskan Industri Halal Melalui e-Dagang


26.5.2016. Khamis.
Manhattan Ballroom, Berjaya Times Hotel.
Imbi, Kuala Lumpur.

Semalam Malaysia telah mencipta satu lagi sejarah dalam pembangunan industri halal antarabangsa melalui pelancaran rasmi eHalal.com iaitu portal direktori e-dagang khas bagi pasaran halal dengan pengiktirafan Pensijilan Halal Antarabangsa.



Portal e.Halal.com menyokong beberapa kumpulan data serta B2B, B2C dan C2C dengan tujuan mempromosikan produk dan perkhidmatan halal ke serata platform merangkumi sektor perdagangan, pelaburan serta industri kecil dan sederhana. Dijangkakan portal tersebut bakal menjana perniagaan halal bernilai RM 300 juta pada tahun pertama operasi.


Majlis pelancaran rasmi eHalal.com yang bertempat di Dewan Manhattan, Hotel Berjaya Times dihadiri lebih 1,000 tetamu. Majlis dirasmikan oleh Menteri Perdagangan dan Industri Y.B Dato' Seri Mustapa Mohamed diiringi oleh mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi semalam.




Dalam ucapan pembukaan beliau, Dato' Seri Mustapa mengatakan bahawa kini terdapat banyak negara yang memandang industri halal sebagai kuasa perdagangan yang penting dan kuat kerana mampu menjana ekonomi tempatan negara masing-masing.

"Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) telah meletakkan pencapaian sumbangan 6.4% (RM 114 bilion) dari sektor e-perdagangan kepada pendapatan kasar negara (GDP) menjelang tahun 2020. Kami berharap Malaysia dapat mempertingkatkan nilai anggaran ini agar setanding dengan USA (35%), China (21%) dan Taiwan (14%)."

Koperasi Industri Halal (Halal Industry Development Corporation)(HDC) merupakan perbadanan di bawah Kementerian Perdagangan dan Industri yang bertanggungjawab menghimpunkan 11 platform perdagangan e-halal yang terlibat dengan program pembangunan platform eHalal.com.


Antara pihak-pihak yang terlibat dengan pelancaran eHalal.com terdiri daripada:

  • dindin.com - eMall halal yang berpusat di China
  • 11 Street - platform e-dagang hasil gabungan antara Malaysia dan Korea melalui inisiatif Celcom
  • Zilzar.com - platform khusus perniagaan berkaitan gaya hidup Muslim yang berpusat di Dubai dan mempunyai 34 rangkaian di seluruh dunia
  • JOCOM - perkhidmatan runcit halal atas talian mobil yang pertama 
  • Tiara TV - platform B2C yang berhubungkait dengan TV Interaktif
  • Shopee - e-dagang atas talian mobil pertama
  • AmexMall - pembina platform e-dagang untuk peniaga industri kecil dan sederhana
  • lelong.my
  • kumoten.com

Dato' Seri Mustapa juga menggalakkan syarikat-syarikat industri kecil dan sederhana agar memanfaatkan kegunaan dan potensi yang ada dalam platform e-dagang bagi memperluaskan pasaran halal Malaysia ke peringkat global.

"Majlis eDagang Negara di bawah bimbingan MITI bertanggungjawab memastikan pentadbiran yang cekap dan cemerlang bagi mempermudahkan syarikat-syarikat industri kecil dan sederhana menjalankan aktiviti mereka."

"Sebagai contoh, 99.5% daripada 16,230 pengeksport tempatan yang berdaftar dengan MATRADE memiliki laman web mereka sendiri. Tambahan lagi, menurut bancian IKS di suku akhir 2015 tahun lalu, 12.3% daripada 2,336 orang responden telah melengkapkan perniagaan mereka dengan kemudahan e-dagang dan e-bayaran berbanding dengan hanya 7.1% pada suku awal tahun 2014."

"Selain daripada Rancangan Induk Industri Halal, kerajaan juga telah menyediakan beberapa langkah penting seperti pembangunan infrastruktur, pemberian insentif, polisi dan perkhidmatan sokongan untuk menarik kemasukan pelaburan dan mempromosi perdagangan dalam industri halal. Pengalaman dan kepakaran bertahun Malaysia dalam bidang industri halal menjadikan negara ini gerbang perdagangan produk dan servis halal bagi negara-negara Islam lain."

Tambah menteri itu lagi, "Produk halal kini semakin mendapat tempat dalam pasaran bukan Islam di seluruh dunia. Trend ini boleh diperhatikan di negara seperti Jepun dan Korea di mana produk halal serta mesra halal dihasilkan dan dijual bagi menarik minat pelancong beragama Islam."

Melalui agenda dan penyediaan program pembangunan perniagaan halal di serata dunia, Industri Halal Malaysia melalui eHalal.com diharap dapat membantu usahawan serta peniaga industri halal tempatan menembusi pasaran antarabangsa tanpa halangan.

Tentang YunFila

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

2 Komen:

TunSha Ayunie berkata...

Zaman sekarang, minyak angin cap kapak pun nak cari yang halal... Semoga banyak perniagaan halal dengan adanya agenda e-halal ni kan? :)

JAMIL HASHIM berkata...

KAMU DI TAG http://jmbelog.blogspot.my/2016/05/pencarian-bloglist-june-2016.html

KOMEN TERBARU

Dikuasakan oleh Blogger.