Page Menu

Sebuah blog caca-marba yang hidup segak mati tak mau.
Blogger dia pun sekejap update sekejap jadi hantu.

Total Pageviews

Dibina oleh Ayuni Rafilah © 2014-2023 Hak Cipta Terpelihara
Dikuasakan oleh Blogger.

Betulkah Syaitan Kena Belenggu Pada Bulan Puasa?


Betulkah Syaitan Kena Belenggu Pada Bulan Puasa? Ini merupakan soalan paling popular di kalangan budak-budak serta orang yang susah nak membayangkan keadaan syaitan dibelenggu sepanjang bulan Ramadhan. Betulkah hantu syaitan semuanya benar-benar dibelenggu atau dikurung semasa bulan puasa?

Diantara hadis yang sering dikumandangkan setiap kali hadirnya bulan Ramadhan ialah hadis yang berbunyi: “Apabila masuk bulan Ramadhan, dibukakan pintu-pintu langit dan ditutup pintu-pintu neraka Jahannam, serta dibelenggu  syaitan-syaitan”.

Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.Ia adalah hadis yang sahih yang dikeluarkan oleh Imam Bukhari (lihat Ibnu Hajar, Ahmad bin Ali bin Hajar(1998), Fathul Bari, Kaherah : Dar al-Hadis, jld.4, hlm.140).

Hadis ini menimbulkan kemusykilan di kalangan sesetengah orang, khususnya yang berkaitan dengan “pembelengguan syaitan di bulan Ramadhan”. Kemusykilan timbul apabila mereka melihat wujudnya realiti yang seolah-olah menidakkan kenyataan bahawa syaitan dibelenggu pada bulan yang mulia ini.

Hadis di atas memberikan gambaran bahawa bulan Ramadhan adalah bulan yang bersih dari segala perlakuan maksiat manusia dan dosa.Ini kerana, punca manusia membuat angkara dan terjebak ke kancah dosa, iaitu syaitan, telah dibelenggu dan diikat. Tetapi, realiti yang berlaku adalah sebaliknya. Maksiat dan kemungkaran masih juga berlaku pada bulan Ramadhan.Situasi ini, pada sesetengah orang, adalah petanda bahawa syaitan masih bebas bergerak untuk menggoda dan menghasut manusia, sehingga mereka tergelincir ke lembah dosa.

Hadis Nabi s.a.w membayangkan ketidakwujudan kemungkaran dan maksiat pada bulan Ramadhan, lantaran puncanya - yakni syaitan telah diberkas. Sementara realiti yang ada pula mempamerkan hakikat sebaliknya.Inilah yang mencetuskan kemusykilan. 

Untuk merungkai kemusykilan ini, huraian para ulama’ perlulah dirujuk. Terdapat beberapa pandangan  ulama’ yang menghuraikan makna pembelengguan syaitan ini. Ringkasnya, terdapat dua pendapat seperti berikut(lihat Ibnu Hajar, Ahmad bin Ali bin Hajar(1998), Fathul Bari, jld.4, hlm.141-142) :

Pendapat pertama mengatakan, “pembelengguan syaitan pada bulan Ramadhan” sebenarnya hanyalah satu kiasan.Ertinya, syaitan bukannya benar-benar dibelenggu ataupun diikat. Ungkapan “syaitan dibelenggu” digunakan hanya sebagai kiasan untuk merujuk kepada makna lain. Ia sama dengan ungkapan “pemandu yang tidak beretika digantung  lesennya”.Perkataan “digantung” disini hanyalah sekadar kiasan.Ia tidak membawa maknanya yang sebenar iaitu lesen diikat dengan tali, kemudian digantung pada tiang.Sebaliknya, ia adalah kiasan kepada pembatalan  ke“sah”an lesen tersebut.

Ulama’ yang mengatakan “pembelengguan  syaitan” hanyalah kiasan, berbeza pandangan dalam menentukan maksud kiasan ini.Sekurang-kurangnya terdapat dua pendapat dalam menentukan maksudnya. Ia seperti berikut :

  1. Pendapat pertama dikemukakan oleh al-Hulaimi. Beliau mengatakan  “ada kebarangkalian bahawa maksud  “syaitan  dibelenggu” ialah  “mereka tidak dapat menggoda manusia sepenuhnya pada bulan Ramadhan seperti pada bulan-bulan yang lain, disebabkan manusia sibuk dengan berpuasa yang mengekang syahwat, membaca al-Quran dan  berzikir”. Ini boleh disamakan dengan ungkapan “dalam sistem diktator, rakyat ditutup mulut dan  digari”.Ungkapan ini membawa makna  “rakyat tidak sepenuhnya dapat bersuara dan bebas melakukan aktiviti yang dianggap menggugat  kerajaan” disebabkan sekatan undang-undang. 
  2. Pendapat kedua pula dikemukakan oleh al-Qadhi  ‘Iyadh. Beliau berkata: “Ada kebarangkalian ungkapan  “pembelengguan  syaitan” adalah kiasan kepada keterbatasan kemampuan mereka untuk menggoda manusia dan memperindahkan nafsu syahwat pada pandangan  manusia".

Jika diamati, kedua-dua pandangan ini adalah sama. Kesimpulannya, “pembelengguan syaitan pada bulan  Ramadhan” adalah kiasan kepada “kemampuan mereka yang terhad dan terbatas untuk menggoda dan memperdayakan manusia”.

Jika pendapat ini dijadikan pegangan, maka kewujudan maksiat pada bulan Ramadhan tidak lagi menjadi kemusykilan.Ini kerana, syaitan bukannya benar-benar dibelenggu. Mereka masih bebas bergerak pada bulan Ramadhan seperti pada bulan-bulan yang lain.Mereka juga masih mampu menggoda dan menghasut manusia supaya melakukan dosa, tetapi dalam serba keterbatasan dan kemampuan yang sangat terhad. Kemampuan mereka untuk menggoda manusia menjadi terbatas disebabkan manusia sibuk dengan puasa, membaca al-Quran dan berzikir seperti yang dinyatakan oleh al-Hulaimi.

Justeru itu, berasaskan pandangan ini, kewujudan segelintir manusia yang melakukan maksiat pada bulan Ramadhan, sebenarnya adalah terjemahan kepada kedhaifan iman. Ini kerana, mereka masih boleh digoda oleh syaitan meskipun langkah dan pergerakan syaitan serba terbatas dan terhad.Ini adalah pendapat  ulama’ yang mengatakan hadis di atas adalah kiasan.

Pendapat kedua mengatakan, “pembelengguan syaitan pada bulan Ramadhan” membawa maksudnya yang asal. Iaitu, syaitan benar-benar dibelenggu dengan makna diikat atau diberkas.Ertinya, ia bukan satu kiasan.

Imam Qurtubi mengatakan  “pembelengguan kesemua syaitan tidak membawa makna tidak akan berlaku kejahatan dan maksiat kerana ada sebab-sebab lain berlakunya maksiat dan kejahatan seperti hawa nafsu yang jelek, adat kebiasan yang buruk dan syaitan-syaitan  manusia”.

Kesemua syaitan dibelenggu pada bulan Ramadhan tanpa terkecuali. Pendapat ini boleh diterima pakai biarpun realiti yang ada menunjukkan kejahatan dan maksiat-yang dikaitkan dengan godaan dan hasutan syaitan-masih berlaku pada bulan Ramadhan. Ini kerana, punca kejahatan dan dosa yang dilakukan oleh manusia, bukan hanya disebabkan oleh hasutan dan godaan syaitan.Ia juga berpunca dari hawa nafsu yang kotor, adat kebiasaan yang buruk dan peranan syaitan-syaitan manusia seperti yang dinyatakan oleh Imam Qurtubi.

Pengajaran yang dapat diambil di sini ialah, pelaku maksiat pada bulan yang mulia ini perlu menjadikan puasa mereka sebagai alat untuk membersihkan nafsu yang jahat, adat kebiasan yang buruk dan untuk menjauhkan diri dari manusia-manusia yang jahat, yang mengajak kepada keburukan dan kemungkaran.

1 ulasan: