Baru
Tunggu kejap ya... nak cari entri terbaru

BERITA

Tidak Sampai 5 Bulan, Rayani Air Digantung Operasi!


 Tidak Sampai 5 Bulan, Rayani Air Digantung Operasi! | Ah, sudah! Baru saja Ayuni berhajat hendak mencuba perkhidmatan penerbangan Rayani Air ke destinasi yang dekat keluar pula berita yang melaporkan syarikat penerbangan tempatan tersebut telah digantung operasi serta-merta sejak semalam (8 April).

Apa yang sudah terjadi dengan Rayani Air sebenarnya? Belum genap setengah tahun berbagai-bagai insiden buruk dialami oleh syarikat penerbangan tersebut. Segalanya tentang Rayani Air pernah dikhabarkan amat memuaskan hati - tambang murah, servis patuh syariah, pramugari menutup aurat, dan arak tidak dihidang semasa penerbangan. Namun setelah melalui masalah penerbangan ke Langkawi yang tergendala akibat kerosakan dan kegagalan memberitahu pelanggan tentang pembatalan penerbangan pada Februari lalu sedikit sebanyak mencalar imej Rayani Air.


Menurut Ravi Alagendrran, pemilik syarikat penerbangan yang patuh syariah Malaysia tersebut, Rayani Air digantung operasi untuk tujuan aktiviti penstrukturan semula syarikat. Anehnya, Ravi menulis kepada stesen siaran berita tertentu bahawa terdapat 'tangan hitam' yang mensabotaj pengurusan syarikat penerbangan itu.

Pada masa yang sama, beberapa juruterbang dilaporkan telah melancarkan mogok dan ini menyebabkan tiga penerbangan dari Kuala Lumpur yang dijadualkan terbang ke Langkawi (RN182), Kota Kinabalu (RN130) dan Kuching (RN154) pada Jumaat terpaksa dibatalkan. Insiden ini membuatkan para penumpang meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap perkhidmatan Rayani Air menerusi laman sosial ekoran pembatalan dibuat beberapa jam sebelum penerbangan dijadualkan berlepas.

Lebih mengharukan, kesemua pelanggan yang telah menempah tiket penerbangan Jumaat tersebut mengadu bahawa mereka telah pergi ke kaunter Rayani Air untuk menuntut pampasan tetapi mendapati kaunter penerbangan itu kini ditutup. Menteri Kementerian Pengangkutan Dato' Sri Liow Tiong Lai yang juga tergamam dengan tindakan pihak pengurusan Rayani Air menutup perkhidmatan tanpa mengeluarkan surat tunjuk sebab, meminta agar orang ramai, termasuk pihak pengurusan Rayani Air sendiri, tidak membuat spekulasi tentang syarikat penerbangan tersebut.


Tentang YunFila

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

0 Komen:

Dikuasakan oleh Blogger.