Baru
Tunggu kejap ya... nak cari entri terbaru

HIBURAN

Captain America: Civil War Menyingkap Realiti Perpaduan Masyarakat


Captain America: Civil War Menyingkap Realiti Perpaduan Masyarakat | Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Inilah ungkapan yang sering kita dididik semasa di bangku sekolah, dengan harapan oleh generasi lama bahawa kita akan memahami tentang kepentingan perpaduan dalam masyarakat. Namun, adakah kita benar-benar mendalami ungkapan tersebut dalam kehidupan di masa kini?

Syarikat Marvel melancarkan poster filem Captain America: Civil War (CA:CW) dengan cogan kata yang menarik: United We Stand, Divided We Fall. Walaupun cogan kata tersebut kedengaran agak klise, namun ia merupakan cerminan kepada keadaan dunia sebenar di luar pawagam yang tidak lari daripada isu-isu politik, peperangan, pemisahan kaum, perpecahan masyarakat, kerobohan perpaduan, permusuhan, unsur dendam, keganasan, ketidakpercayaan dan pencabulan hak asasi manusia. Dalam Bahasa Melayu, perkataan Civil War merujuk kepada Perang Saudara dan ternyata tajuk ini sesuai dengan tema dalam filem CA:CW.  


CA:CW bukanlah kisah adiwira biasa di mana kuasa baik menentang kuasa jahat. Sebaliknya, ia memfokuskan pertempuran antara dua pihak yang memiliki ideologi berbeza untuk mencapai objektif yang sama iaitu menyelamatkan dunia. Perbalahan tentang kaedah melindungi Bumi daripada serangan pengganas menyebabkan ahli Avengers berpecah kepada dua di mana satu kumpulan dipimpin oleh Tony Stark @ Ironman dan satu lagi diketuai oleh Steve Rodgers (Captain America). 


Kedua-dua kumpulan merasakan mereka membuat tindakan yang betul sehingga sanggup mengorbankan persahabatan dan perpaduan demi menegakkan pendirian masing-masing. Permusuhan antara Ironman dan Captain America menjadi bertambah keruh dengan kemunculan Zemo yang menjadi batu api di tengah-tengah kekalutan akibat serangan pengganas. 


Selain daripada ancaman kepada perpaduan, CA:CW turut mengupas pelbagai isu berkaitan nilai moral seperti dendam, kemaafan, kepercayaan, belas kasihan dan tanggungjawab. Contohnya tindakan Tony Stark yang memerangi Steve Rodgers kerana tidak mempercayai alasan Steve melindungi seorang pelarian yang dikehendaki. Ini membuatkan persahabatan mereka musnah, dan dari sini kita tahu betapa pentingnya kepercayaan dalam suatu hubungan sesama manusia. 


Adegan tindakan Tony cuba membetulkan kesilapannya menunjukkan bahawa tiada siapa yang terlepas daripada kesilapan dan adakalanya seseorang perlu mengorbankan pendirian demi menegakkan apa yang benar. Di samping itu, CA:CW juga mengajar bahawa seseorang tidak harus membiarkan dendam memakan diri. Tiada apa kemenangan yang dapat dicapai melalui pembalasan dendam. Perbuatan membalas dendam hanya mengundang kemusnahan dan kesedihan tanpa penghujung kepada diri sendiri dan orang lain yang tidak terlibat. Satu lagi pengajaran yang terapkan dalam CA:CW ialah sesuatu masalah atau musuh tidak perlu muncul dalam bentuk yang besar dan hebat untuk menggulingkan mereka yang berkuasa.


Pembangunan sahsiah watak setiap ahli Avenger jelas terbina melalui keputusan yang setiap ahli ambil dalam menentukan arah tujuan perjuangan mereka. Misalnya, perasaan bersalah yang dialami oleh Tony Stark selepas bertemu dengan ibu salah seorang mangsa nahas yang berpunca daripada kelalaian Avengers telah mendorongnya bertindak tegas dan berhati-hati sehingga putus kawan demi mengelak kejadian yang sama berulang. 


Hubungan antara Vision dan Scarlet Witch juga ditonjolkan sebagai rapat melalui perbualan di mana mereka sama-sama cuba memahami kuasa yang mereka baru perolehi dalam filem Avengers. Naluri Captain America yang bersifat pelindung memaksa Steve Rodgers memilih untuk menentang kawan demi mempertahankan orang yang tidak bersalah. Malang bagi Black Widow dan Hawkeye, watak mereka berdua kelihatan agak terkongkong oleh situasi dan kurang memberi impak kepada cerita. Manakala watak-watak adiwira baru di dalam filem ini berjaya menarik minat penonton walaupun tidak mengambil masa lama ditonjolkan. 


Jalan cerita CA:CW adalah lebih gelap berbanding siri-siri sebelum ini iaitu Avengers dan Captain America: Winter Soldier kerana menyentuh zaman silam Tony Stark yang sedikit sebanyak merungkai punca perpecahan antara ahli Avengers dalam filem ini.  Penghayatan yang dibawa oleh Ironman dan Captain America dalam babak pertarungan mereka benar-benar memberi kesan kepada emosi penonton. Adegan paling epik filem ini sudah tentu kemuncsk peperangan antara dua pihak Avengers yang melibatkan banyak letupan dan kejutan.


CA:CW menjanjikan banyak kejutan dengan memperkenalkan watak-watak adiwira yang baru menyertai kumpulan Avengers dari dua-dua belah pihak. Kepada mereka yang biasa membaca komik Marvel sejak era 1940-an, pengenalan kepada watak baru dalam siri filem Avengers seperti Black Panther dilihat sebagai satu usaha Marvel untuk menghidupkan semula dan memberi nafas baru kepada watak adiwira yang kurang mendapat pendedahan media skrin.


Skrip cerita CA:CW harus diberi pujian kerana mempunyai plot yang padat dan berjaya menarik tumpuan penonton dari mula hingga akhir perjalanan filem. Kebanyakan adegan disusun kemas dan teliti tanpa meninggalkan tanda tanya kepada penonton selepas filem selesai – sesuatu yang jarang ditemui dalam kebanyakan filem sekarang. Ia penuh dengan aksi lagak ngeri menarik yang adakalanya mengarut. Jenaka yang diselit dalam beberapa adegan tidaklah lucu sangat, namun berjaya mengimbangkan jalan cerita daripada menjadi terlalu berat dan membosankan. Walau bagaimana pun, mutu rakaman aksi berlawan pada bahagian awal filem agak lemah dan perlu diperbaiki dengan mengurangkan kesan gegaran visual kamera melalui suntingan video yang teliti. Mainan warna dalam setiap babak sangat menarik kerana ia dihasilkan secara terperinci seolah-olah penonton dibawa ke dalam dunia komik Marvel tanpa disedari.


Kesimpulannya, CA:CW ialah kisah metafora tentang pergelutan politik yang sering berlaku pada negara-negara yang mengalami konflik dalaman. Persoalan utama yang bermain dalam tema CA:CW ialah apabila berlakunya pergolakan di dalam sebuah organisasi, langkah mana yang akan anda ambil untuk memulihkan semula keadaan? Watak Ironman dan Captain America melambangkan falsafah penyelesaian konflik yang membimbing penonton dalam kehidupan seharian mereka. Jadi, adakah anda seorang yang metodikal seperti Ironman, atau seorang yang berani mati seperti Captain America dalam perjuangan anda?

Filem arahan adik-beradik Joe dan Anthony Russo ini dibintangi oleh Chris Evans, Robert Downey Jr., Scarlett Johansson, Anthony Mackie, Paul Rudd, Jeremy Renner, Elizabeth Olsen, Sebastian Stan, Daniel Bruhl, Tom Holland, Chadwick Boseman dan Paul Bettany.

Tentang YunFila

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

2 Komen:

asma langit berkata...

Betul3.. Review ayuni ni memang tepat sangat.
Saya pun terkejut tengok jalan cerita dan skrip yang sangat cermat dan seimbang. MAcma tak percaya MArvel dapat hasilkan cerita yang bijak dan berkualiti seperti ini..

#rasanaktengoklagi.. Ngaaaa

Ayuni Rafilah berkata...

Ini kali pertama juga Ayuni lihat Marvel buat filem yang kemas macam ini...

Masuk ini dah tiga kali adik-adik ajak tengok filem ni, huhuhu

Dikuasakan oleh Blogger.