Baru
Tunggu kejap ya... nak cari entri terbaru

BERITA

Tesco Tawar Kerja Pada Pencuri


Tesco Tawar Kerja Pada Pencuri | Seorang lelaki yang dicekup mencuri buah-buahan dan air di pasar raya Tesco Bukit Mertajam di sini Rabu lalu sepatutnya dihukum penjara kerana perbuatannya itu.

Namun, kisah ayah kepada tiga orang anak yang mencuri demi memberi makan anak-anaknya yang kelaparan menyebabkan pengurusan pasar raya tersebut akhirnya menawarkan pekerjaan kepada lelaki berusia 31 tahun itu.

Lelaki berkenaan didapati mencuri buah pir wangi berharga RM5.75, buah epal Royal Gala (RM6.57) dan enam botol minuman jenama Ranger 260 mililiter (RM14.99) kira-kira pukul 6.30 petang pada Rabu lalu sambil membawa salah seorang anaknya.

Jurucakap Tesco berkata, tawaran itu diberikan atas dasar kemanusiaan memandangkan lelaki terbabit berdepan pelbagai masalah hidup dan mencuri kerana terdesak.

“Selepas disoal siasat, lelaki terbabit mengaku mencuri kerana tidak mempunyai wang bagi membeli makanan untuk tiga orang anaknya yang ber­usia antara dua hingga tujuh tahun yang kelaparan.

“Isterinya yang berusia 31 tahun kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Bukit Mertajam kerana kom­plikasi akibat keguguran dan diberitakan sedang koma,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Difahamkan sehingga kini sudah dua kali wakil Tesco pergi ke rumahnya di Bukit Mertajam bagi melakukan siasatan lanjut dan didapati keluarga lelaki terbabit dalam keadaan ter­desak.

Menurut jurucakap itu lagi, pihaknya tidak mengeluarkan surat tawaran bekerja sebalik­nya memberi tawaran terbuka kepada lelaki terbabit untuk mula bertugas pada bila-bila masa.

Sumber: Kosmo

Tentang YunFila

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

0 Komen:

Dikuasakan oleh Blogger.