Header Ads

SERAM! 10 Patung Paling Berhantu Di Seluruh Dunia

Pernah tak terima patung yang pelik dan berhantu daripada sesiapa? Jika pernah, sila perhatikan sama ada ia dihuni hantu yang tidak berbahaya atau syaitan yang boleh membunuh seperti patung-patung berhantu berikut...


10. Barbie Pulau Ubin


Patung Barbie yang dikaitkan dengan misteri paranormal ini muncul di Pulau Ubin, Singapura sejak tahun 2007. Menurut legenda, salah seorang penduduk pulau itu telah bermimpi tentang roh seorang kanak-kanak perempuan berbangsa Jerman yang meminta dia membelikan patung Barbie di sebuah kedai berdekatan. Selepas tiga hari mengalami mimpi sama, lelaki tersebut mengunjungi kedai seperi dalam mimpinya dan menjumpai patung Barbie yang seakan-akan sama seperti yang diminta oleh roh kanak-kanak perempuan itu. Lelaki itu membeli patung Barbie tersebut lalu meletakkannya di Tokong Pulau Ubin dan sehingga kini ramai orang mengunjungi tokong itu untuk memberi hadiah pemujaan demi mendapatkan restu kebaikan nasib dan kesihatan daripada roh kanak-kanak perempuan itu.


9. Letta


Apa yang menarik tentang Letta ialah ia pernah banyak kali ditonjolkan dalam rancangan dokumentari dan temubual di Australia selepas ditemui oleh Kerry Walton di dalam sebuah bangunan lama dan usang pada tahun 1972. Selain itu, Letta memiliki rambut manusia sebenar dan bahagian dalam kepala Letta mengandungi suatu objek yang menyerupai otak manusia. Ramai orang yang pernah melihat Letta melaporkan bahawa mereka terlihat riak wajah Letta seakan-akan berubah mengikut emosi serta mengalami perasaan sedih atau takut tanpa bersebab apabila mereka berada berdekatan Letta. Haiwan seperti anjing dan kucing juga banyak kali cuba menyerang Letta apabila mereka menghampirinya.


8. Joliet 


Selama empat generasi, Joliet disimpan secara turun-temurun dalam sebuah keluarga walaupun ia telah meragut kesemua nyawa bayi lelaki keluarga itu. Menurut Anna (bukan nama sebenar), Joliet dihadiahkan oleh sahabat neneknya yang sedang mengandung anak lelaki ketika itu. Tiga hari selepas kelahirannya, bayi lelaki tersebut menemui ajal. Semenjak itu, nenek Anna kerap mendengar tangisan suara bayinya dan menyangka bahawa dia sedang berhalusinasi. Namun lama-kelamaan nenek Anna mendapati suara tangisan yang didengarinya muncul dari Joliet! Setiap anak perempuan dalam generasi kemudiannya mengalami fenomena sama seperti nenek Anna - mereka akan kehilangan bayi lelaki mereka selepas tiga hari dan mendengar tangisan bayi dari dalam tubuh Joliet. Sehingga kini, jumlah bunyi tangisan bayi yang muncul dari Joliet menjadi bertambah dengan setiap kematian bayi lelaki dalam keluarga Anna. Kesemua ahli keluarga Ann menganggap roh setiap bayi lelaki generasi mereka terperangkap dalam tubuh Joliet, oleh itu mereka menyimpan Joliet sehingga sekarang.


7. Pupa


Pupa dihasilkan mengikut rupa pemilik asalnya. Sejak tahun 1920-an sehingga 2006, Pupa telah menemani pemiliknya sehingga ke akhir hayat. Pemilik Pupa dikatakan pernah bercerita kepada cucu-cucunya bahawa Pupa sering berbual dengannya dan pernah menyelamatkan nyawanya. Mereka berdua telah merentasi seluruh benua Eropah dari Itali sebelum pemilik Pupa menetap di Amerika Syarikat. Setelah kematian pemilik Pupa, anak cucunya menyimpan Pupa dalam almari kaca untuk kenangan. Namun begitu, banyak perkara pelik berlaku setelah Pupa disimpan dalam almari tersebut - ia akan beralih posisi dari asal, tangannya kelihatan seperti menekan permukaan kaca dengan kuat, dan terdengar bunyi ketukan kecil daripada dalam kaca. Adakalanya permukaan kaca diselaputi kabus dengan tulisan kanak-kanak yang bertulis, "PUPA HATE" atau "PUPA NO".


6. Caroline


Caroline dibeli dari sebuah kedai antik di Salem, Massachusetts, daerah yang terkenal dengan sejarah pemburuan dan pembunuhan ahli sihir. Perkara yang paling pelik tentang Caroline ialah ia dihuni oleh tiga roh (mungkin jin atau syaitan) yang berlainan. Kadang-kadang ada pengunjung melaporkan bahawa mereka terdengar suara halus milik roh-roh tersebut di mana masing-masing cuba mengambil-alih merasuk dan mengawal Caroline secara sepenuhnya. Namun setakat ini tiada kes sampukan serius oleh Caroline pernah berlaku; cuma barangan tertentu akan hilang dan ditemui semula di tempat-tempat yang tidak dijangka - contohnya, sebatang lilin yang hilang beberapa minit sebelum itu pernah dijumpai dalam ketuhar pemanas makanan tanpa sesiapa mengalihkannya.


5. Patung Misteri Hougang


Pada tahun 2014, warga Singapura digemparkan dengan kewujudan anak patung misteri yang bersandar di bawah sebatang pokok di tepi jalan di pekan Hougang, Singapura. Mata anak patung tersebut diikat dengan sehelai kain putih dan tulisan jawi Bismillah tertera di atasnya. Menurut laporan akhbar Singapura, kemungkinan pemilik patung itu mengikat mata anak patung agar ia tidak pulang ke rumahnya semula. Sekeping nota kecil di sebelah anak patung itu bertulis, "Kami mengikat dia kerana ada sebab. Orang bodoh yang membebaskannya. Dia nampak tak gembira. Sesiapa yang membuka ikatannya, harap selamatlah..." Pada hari patung misteri itu ditemui, terdapat laporan kematian mengejut seorang lelaki yang ditemui tergantung di sebuah apartment berhampiran kawasan terbabit. Ada yang mengatakan pemilik anak patung itu terlihat ia berjalan ke sana ke mari di dalam rumahnya. Ada yang mengatakan anak patung itu berkata-kata dalam suara wanita Melayu dan bercakap dalam Bahasa Melayu, malah kepala anak patung itu akan berubah posisi setiap kali dipandang semula. Seorang pembuat anak patung dari Los Angeles, Amerika Syarikat mengesahkan bahawa dia pernah menjual anak patung itu kepada seorang warga Singapura dan dia terkejut melihat berita tentang patung itu menjadi viral dalam internet. Pada tahun 2015, anak patung ini dilaporkan hilang dan tiada sesiapa tahu di mana ia berada sekarang.


4. Okiku


Di Hokkaido, Jepun, tokong Mannenji menyimpan satu anak patung bernama Okiku yang dikatakan memiliki rambut yang makin bertambah panjang secara semulajadi. Rambut Okiku dipercayai diperbuat daripada rambut manusia sebenar.


3. Mandy


Mandy merupakan anak patung antik yang berusia lebih 90 tahun dan kini dipamerkan dalam Muzium Quesnel. Pemilik asal Mandy dikatakan sering mendengar suara tangisan bayi di rumahnya semasa Mandy masih ada di situ. Setelah Mandy didermakan kepada muzium, bunyi tangisan itu kini didengari di dalam muzium, dan semasa Mandy masih belum diberikan tempat khas untuk ia dipamerkan banyak patung-patung lain sekelilingnya ditemui rosak dan tercerai bentuk tubuh masing-masing. Tidak lama kemudian setelah Mandy mendapat tenpat pameran baru, barangan seperti pen, cawan, sandwic dan buku mula hilang dan ditemui di tempat lain. Kertas pula berterbangan dan jatuh bertaburan di dalam bilik ruang muzium di mana Mandy asalnya dipamerkan.


2. Robert


Robert dihadiahkan kepada seorang kanak-kanak lelaki bernama Robert oleh orang gajinya pada awal tahun 1900-an. Ibu bapa Robert menyedari ada yang tidak kena dengan patung kesayangan anak mereka apabila mereka mendengar Robert berbual seorang diri di dalam biliknya. Apabila pada suatu malam Robert menjerit minta tolong dan kedengaran bunyi objek pecah dari dalam biliknya, ibu bapa Robert menjadi panik lalu merempuh masuk bilik anak mereka. Mereka mendapati katil. lampu, meja serta almari dalam keadaan lintang-pukang; Robert pula ditemui menggigil ketakutan di suatu ceruk sambil mengatakan, "Robert yang melakukan semua ini." Beberapa tahun kemudian Robert membesar sebagai pelukis terkenal dan perangainya dilaporkan pelik oleh isterinya Anne kerana membina sebuah rumah kecil khas untuk Robert si patung. Apabila Anne cuba menyimpan patung itu di dalam loteng rumah mereka, Robert akan mengamuk. Pernah apabila Robert disimpan dalam loteng, dia akan ditemui dalam keadaan bersandar semula pada kerusi di ruang tamu beberapa saat kemudian. Seorang tukang paip pula melarikan diri daripada rumah Robert dan Anne apabila terdengar bunyi ketawa kecil yang datang dari patung tersebut. Setelah Robert meninggal dunia, Robert si patung dipindahmilik kepada seorang anak perempuan dari keluarga yang berpindah ke rumah itu. Pada suatu malam, kanak-kanak perempuan itu menjerit dari tidurnya dan mengadu kepada ibu bapanya bahawa Robert sedang mencekik leher dan ingin membunuhnya semasa dia sedang tidur. Kini Robert dimiliki oleh Muzium Martello di Key West, Florida. Dipercayai bahawa sesiapa yang cuba menangkap gambar Robert harus meminta izin terlebih dahulu, sekiranya tidak Robert akan menghantui mereka dengan nasib malang. Adakalanya kamera pengunjung tidak akan berfungsi sehingga mereka keluar dari muzium tersebut.


1. Annabelle


Kisah berhantu Annabelle ini pernah dijadikan filem bernama sama selepas ia diperkenalkan dalam filem 'The Conjuring'. Namun, berbeza dengan apa yang digambarkan dalam filem Annabelle tidak mempunyai rupa yang mengerikan langsung - sebaliknya Annabelle merupakan anak patung diperbuat daripada kain yang comel! Annabelle dihadiahkan kepada seorang pelajar kejururawatan yang melaporkan banyak perkara pelik berlaku di rumahnya apabila Annabelle ditinggalkan bersendirian. Antaranya anak patung itu akan berubah kedudukan dari asal. Pelajar itu pernah terserempak Annabelle terhenti kaku dalam posisi sedang berjalan ke bilik lain. Pelajar tersebut memanggil seorang psikik ke rumahnya untuk memeriksa Annabelle. Hasilnya, psikik tersebut mengatakan dia diberitahu Annabelle bahawa dia merupakan roh seorang kanak-kanak perempuan yang merasuki patung itu dan tidak mempunyai niat jahat. Namun begitu, salah seorang rakan pelajar tersebut diserang oleh Annabelle tidak lama kemudian. Pasangan Warren yang terkenal sebagai penyiasat paranormal pada masa itu segera datang ke rumahnya untuk menyiasat latar belakang Annabelle. Mereka mendapati Annabelle sebenarnya bukan dirasuk oleh roh biasa tetapi syaitan berbahaya yang cuba memperdaya dan merasuki pelajar kejururawatan itu. Pasangan Warren membawa Annabelle pulang ke tempat mereka dan hampir menemui kemalangan maut semasa dalam perjalanan. Mereka mengurung Annabelle di dalam sebuah almari kaca khas di muzium peribadi dan sehingga kini para pengunjung boleh melihat Annabelle di muzium tersebut.

10 ulasan:

  1. Scarynya.mmg anak patung xelok disimpan dlm rumah.sbg hiasan

    BalasPadam
  2. Erk!Nasib baik tak baca kat rumah..

    BalasPadam
  3. Takut pulak rasanya...hihihiji

    BalasPadam
  4. makasih gan infonya dan semoga bermanfaat

    BalasPadam
  5. ok mantap bos artikelnya dan sangat menarik sekali

    BalasPadam
  6. terimakasih sob infonya dan salam sukses selalu

    BalasPadam
  7. Patung misteri hougang tu knp ada tulisan jawi dikepala dia mungkin .....

    BalasPadam