Page Menu

Sebuah blog caca-marba yang hidup segak mati tak mau.
Blogger dia pun sekejap update sekejap jadi hantu.

Total Pageviews

Dibina oleh Ayuni Rafilah © 2014-2023 Hak Cipta Terpelihara
Dikuasakan oleh Blogger.

Pengertian Puasa Bagi Seorang Muslim


Bulan Ramadhan ialah bulan di mana umat Islam digalakkan untuk berpuasa. Apakah tujuan di sebalik amalan puasa ini? Sebagai tiang keempat dalam rukun Islam, berpuasa merupakan satu bentuk ujian kepada manusia agar kita dapat berlatih untuk mengawal diri dan nafsu.

Seperti mana kita melakukan latihan tubi sebelum ujian atau perlawanan sukan, amalan berpuasa memberi seseorang peluang untuk belajar mengurus nafsu duniawi yang dimilikinya. Apabila dia mampu mengurus nafsu secara berdisiplin, akal dan jiwanya akan menjadi kental dan teguh. Nafsu yang harus diurusnya bukan setakat tahap jasmani seperti nafsu makan dan minum, malah termasuk juga tahap rohani seperti nafsu amarah. 

Apabila seseorang berjaya mengawal kesemua tahap nafsu dengan baik, Insha Allah hatinya akan bersih dan terjaga daripada sifat-sifat dan perilaku yang buruk. Hati yang bersih dan jernih adalah hati yang selalu ingat pada Allah, setiap saat melakukan komunikasi dengan Allah, sehingga selalu berada dalam bimbingan dan hidayah-Nya. Matanya dibimbing oleh hatinya untuk selalu memandang kebesaran Allah, telinganya dituntun oleh hatinya untuk selalu mendengar kan nasihat dan ayat ayat Allah. Hatinya selalu terbuka untuk menerima nasihat dan ajaran kebaikan.

Bulan Ramadhan dipilih sebagai bulan untuk kita meluangkan masa bagi menjaga dan merawat hati agar tetap bersih dan jernih melalui amalan kebaikan seperti menderma, menggembirakan anak yatim, menjalin ukhwah, memberi makan kepada fakir miskin, memulangkan hak kepada yang berhak, dan bermaaf-maafan. Kesemua perbuatan ini membantu kita dalam proses perawatan hati yang sekaligus menyempurnakan amalan puasa kita. 

Semoga kita semua terus memperbaiki diri ke akhir hayat melalui amalan pengurusan nafsu yang dipelajari semasa berpuasa walaupun selepas Ramadhan tahun ini berakhir. Bersyukur kepada Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang kerana menganugerahkan kita peluang untuk memperbaiki diri setiap tahun melalui amalan puasa di bulan Ramadhan yang mulia ini.

1 ulasan:

  1. Semoga perubahan dalam Ramadhan boleh diistiqamah berterusan dalam bulan2 lain juga...

    BalasPadam