Baru
Tunggu kejap ya... nak cari entri terbaru

BUKU

Faustus: Lelaki Yang Menginginkan Segalanya


Skrip drama The Tragical History of the Life and Death of Doctor Faustus hasil karya Christopher Marlowe ditulis dalam banyak versi (Teks A dan Teks B). Versi yang Ayuni baca merupakan Teks B iaitu versi yang ditulis pada tahun 1616. Versi ini juga merupakan versi yang terpanjang.

Pendeta Yang Menggadaikan Roh Pada Iblis

Cerita Faustus dipercayai berasal dari legenda Jerman yang mengisahkan seorang pendeta bernama Faust telah menggadaikan rohnya kepada Iblis demi memiliki pengetahuan serta nikmat duniawi tanpa batas. Seperti nasib Icarus yang menemui kemusnahannya apabila cuba terbang terlalu dekat dengan matahari dalam kisah mitos Greek, Faustus juga tewas kepada nafsunya untuk mencapai perkara yang tidak sepatutnya dimiliki manusia biasa.

Berbeza daripada tradisi norma pementasan drama di zaman Renaissance yang banyak memaparkan golongan bangsawan, santos (orang suci) dan raja-raja sebagai watak utama, Faustus cuma seorang pendeta terpelajar yang berasal dari keturunan rakyat jelata - dia bukan berdarah diraja seperti Hamlet mahupun berstatus orang suci seperti para sahabat Nabi Isa mengikut kitab Injil orang-orang Krisitian. Faustus ialah kisah tentang lelaki biasa yang memiliki keinginan luarbiasa disebabkan ilmu dan bakatnya yang tinggi berbanding orang lain.

Gila Ilmu Hingga Taksub Diri

Di permulaan cerita, Faustus mengeluh akibat bosan dengan pengakhiran setiap ilmu yang dipelajari. Dia merasakan kesemua ilmu yang diselami dalam dunia ini tidak mampu memberikan perkara yang mustahil dicapai oleh manusia biasa, misalnya kemampuan untuk menghidupkan orang mati atau memberikan kehidupan abadi. Dia ingin mengetahui setiap jawapan mutlak kepada setiap jenis soalan dalam dunia ini, dan merasai segala nikmat yang ada, jika tidak jiwanya tidak akan berasa tenteram. Keluhan Faustus ini mencerminkan sifat takbur yang mula mengaburi hatinya sehingga dia mempersoalkan kewajaran ilmu ketuhanan dalam pembentukan akhlak manusia kerana merasakan semua manusia telah pun ditakdirkan akan melakukan dosa.

Perjanjian Dengan Iblis

Walaupun Faustus memiliki peluang untuk memikirkan kesan perbuatan dan pilihan yang dibuat olehnya semasa Valdes si ahli sihir memperkenalkannya ilmu hitam, Faustus gagal melawan perasaan ingin tahunya untuk mempelajari sihir yang kemudiannya menemukan dia dengan syaitan bernama Mephistophilis. Iblis yang memerhati kebolehan Faustus kemudiannya menawarkan sebuah perjanjian bersama Faustus untuk memberikannya apa sahaja yang dia mahu dengan syarat Faustus menyerahkan rohnya kepada Neraka. Berikutan kejayaannya menyeru Mephistophilis dari alam ghaib, Faustus menjadi lebih yakin dengan impiannya untuk mencapai perkara-perkara yang terlarang dalam agama terutama sekali apabila dia menganggap Mephistophilis sebagai orang suruhannya. Realitinya, Faustus telah menempah mautnya sendiri tatkala dia membuat keputusan untuk menyelami ilmu mistik dan ghaib.

Mephistophilis: Khadam Atau Tuan?

Sekali imbas Mephistophilis seolah-olah menyerahkan diri kepada Faustus sebagai khadam yang boleh diarah-arah oleh tuannya. Namun jika diperhatikan dalam perbualan antara Mephistophilis dengan Faustus di saat Faustus meminta diberikan seorang isteri, Mephistophilis berjaya memujuk Faustus untuk menolak pernikahan secara halal dengan menjanjikannya seorang perawan paling jelita dalam dunia untuk ditiduri Faustus saling berganti setiap malam. Mephistophilis seperti seronok memperolok-olokkan kesemua permintaan Faustus sehingga kita dapat menyimpulkan bahawa Faustuslah sebenarnya boneka kepada Mephistophilis dan bukan sebaliknya. Cara Mephistophilis mempermainkan Faustus amat halus - dia menggunakan ketamakan Faustus untuk menghiburkan hatinya.

Namun tiada kejahatan yang boleh terlepas tanpa balasan. Mephistophilis kemudian mendedahkan bahawa khidmatnya sebagai orang suruhan hanyalah salah satu syarat yang terkandung dalam perjanjian antara Faustus dan Iblis, sehinggalah Faustus mati dibunuh di tangan Mephistophilis sendiri. Satu lagi syarat yang dipersetujui oleh Faustus dan Iblis ialah Faustus diberikan masa untuk hidup selama 24 tahun lagi dengan keupayaan untuk menikmati segala maksiat dan ilmu duniawi tanpa penghujung sehinggalah dia mati.

Sesal Dahulu Pendapatan, Sesal Kemudian Tiada Gunanya

Pada mulanya Faustus berniat menggunakan kuasa mistik yang diperolehi untuk tujuan kebaikan. Namun perjanjian yang diikat dengan Iblis telah membuat Faustus terpesong daripada niat asalnya dan lama-kelamaan fikiran Faustus menjadi rosak akibat jiwanya yang lemah kerana mengingkari Tuhan. Sebaliknya Faustus yang telah lama hanyut dalam maksiat menolak peluang untuk bertaubat di saat akhir kerana berpendapat bahawa tiada guna baginya kembali ke pangkal jalan setelah rohnya digadaikan kepada Iblis, walaupun beberapa petanda amaran telah diturunkan oleh Tuhan di depan matanya. Iblis juga telah menghiburkan hati Faustus melalui persembahan beberapa makhluk yang merupakan personifikasi 7 Dosa Merbahaya untuk membuatkan Faustus lupa akan kematian, sekaligus memesong Faustus jauh daripada niat untuk bertaubat.

Kematian Ngeri Faustus

Babak di saat-saat akhir penghujung nyawa Faustus merupakan sesuatu yang mampu membuat bulu meremang. Faustus digambarkan berlari sambil merintih ke setiap penjuru dunia untuk melarikan diri daripada kematian. Bumi yang dipijak tidak lagi ingin menerimanya dan rayuannya untuk dibenarkan terus hidup dengan seratus ribu tahun pembalasan di akhirat tidak diendah. Penghujung jalan cerita di mana Faustus merayu untuk pengampunan tatkala ditarik secara hina ke Neraka merupakan simbolik kepada betapa hancur luluhnya keadaan jiwa manusia yang membiarkan diri mereka tersesat kerana sifat takbur, tamak dan hubbud dunya (mencintai dunia) sehingga sanggup mengorbankan segalanya demi mencapai nikmat dunia yang bersifat sementara.

Tentang YunFila

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

2 Komen:

asma langit berkata...

Sangat best. bila baca ringkasan yang ayuni tulis ni saya macam tgh menonton sebuah movie. You are so talented! ^^

azifah yazid berkata...

tag http://geeazielove4eva.blogspot.com/2015/03/giveaway-2015-jubah-dress-leggings-oleh.html

Dikuasakan oleh Blogger.