Page Menu

Sebuah blog caca-marba yang hidup segak mati tak mau.
Blogger dia pun sekejap update sekejap jadi hantu.

Total Pageviews

Dibina oleh Ayuni Rafilah © 2014-2023 Hak Cipta Terpelihara
Dikuasakan oleh Blogger.

Hari Thaipusam


Hari Thaipusam merupakan perayaan yang disambut oleh orang-orang beragama Hindu di seluruh dunia bagi menghormati dewa Hindu, Dewa Murugan atau juga dikenali sebagai Dewa Subramaniam. Thaipusam dirayakan pada bulan 'Thai' bulan ke-10 dalam kalendar Tamil. Pada hari Thaipusam, bulan penuh melintasi bintang terang, Pusam dalam zodiak Cancer.

Perayaan Thaipusam diraikan dengan lebih meriah di Malaysia berbanding India. Thaipusam menyatukan semua penganut Hindu dari pelbagai kawasan dan bertumpu kepada beberapa kuil Hindu yang besar sahaja.. Kuil Sri Subramaniyar, Batu Caves, Selangor merupakan kuil tumpuan utama penganut India.

Hari Thaipusam merupakan cuti umum di beberapa buah negeri di Malaysia seperti Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Perak dan Pulau Pinang. Pada 20 Januari 2008, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengumumkan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bercuti umum sempena hari Thaipusam. Negeri Pahang, Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah, Sarawak dan Melaka belum menjadikan Thaipusam sebagai cuti umum.

Hari Thaipusam merupakan hari menunaikan nazar dan menebus dosa atau memohon ampun di atas dosa-dosa yang telah dilakukan selama ini. Tidak semua penganut Hindu akan menunaikan nazar. 

Nazar ialah memohon sesuatu hajat kepada Dewa Murugan dan jika permohonan dikabulkan, maka satu acara tertentu diadakan sebagai tanda kesyukuran. Pada hari itu mereka akan membawa susu dalam belanga kerana susu dianggap suci. Lelaki Hindu mencukur rambut pada hari tersebut dan mewarnakan kepala dengan warna oren sebagai membayar nazar. 

Bagi yang memohon agar dosa mereka diampunkan, kavadi akan dibawa atau dijunjung di atas bahu atau kepala. Kavadi diperbuat daripada beberapa rod besi atau kayu yang di atasnya terletak patung dewa Murugan dengan pelbagai saiz dan bentuk. Antara hiasan utama kavadi ialah bulu burung merak dan bunga-bungaan.

Pelbagai cara menyeksa diri ditunjukkan oleh mereka yang memohon ampun. Antaranya ialah berjalan di atas kasut berpaku dengan melangkah perlahan-lahan mendaki tangga-tangga kuil sehingga tiba ke sisi patung Dewa Murugan yang terletak di dalam gua Batu Caves.

Ada juga yang mencucuk tombak besi pada lidah dan pipi. Yang lain pula mencucuk belakang badan dengan puluhan mata pancing yang bersaiz 10 sentimeter. Mata pancing tersebut disangkut dengan buah limau nipis. Ada juga mata pancing itu bertali dan ditarik oleh para pembantu. Boleh dikatakan kesemua yang terlibat menyiksa diri berada dalam keadaan separuh sedar.


Dewa Murugan terkenal sebagai dewa peperangan dan kejayaan yang disanjungi oleh orang-orang berketurunan Tamil. Dia ditonjolkan memegang vel atau tombak yang dihadiahkan oleh ibunya Dewi Parvati demi menghapuskan kuasa jahat bernama Soorapadman. Mengikut teks Kanda Puranam, setelah Soorapadnam tewas kepada Murugan dia kemudiannya menyamar sebagai pokok mangga untuk mengelak dari dijumpai oleh Murugan.

Murugan membaling vel ke arah pokok mangga tersebut sehingga ia terbelah menjadi dua bahagian - satu bahagian bertukar menjadi seekor ayam jantan (Seval) manakala bahagian satu lagi menjadi seekor burung merak (Mayil). Seval dijadikan tunggangan oleh Murugan, manakala Mayil pula menjadi lambang panji Murugan. Oleh itu vel adalah simbol kepada keberanian dan kemenangan kuasa kebaikan menentang kejahatan.

1 ulasan: