Page Menu

Sebuah blog caca-marba yang hidup segak mati tak mau.
Blogger dia pun sekejap update sekejap jadi hantu.

Total Pageviews

Dibina oleh Ayuni Rafilah © 2014-2023 Hak Cipta Terpelihara
Dikuasakan oleh Blogger.

Akta Hasutan 1948 vs. Akta Keharmonian Nasional 2012?


Pada 11 Julai 2012, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan bahawa Akta Hasutan 1948 akan dimansuhkan dan digantikan dengan akta baru yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional semasa menghadiri majlis makan malam Jabatan Peguam Negara bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Dr Ali Hamsa dan Peguam Negara (AG) Tan Sri Abdul Gani Patail di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. 

Najib berkata keputusan itu dibuat bagi mencari mekanisme yang menentukan keseimbangan terbaik antara keperluan menjamin kebebasan bersuara setiap warga negara dan keperluan menangani kompleksiti kemajmukan yang wujud di negara ini. Beliau juga berkata kerajaan mengambil keputusan menguatkuasakan serta-merta semua akta baru dan pindaan terhadap akta-akta sedia ada yang diumumkan dalam Pelan Transformasi Politik termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta Akta Universiti dan Kolej Universiti.

Namun begitu, perkara yang sebaliknya berlaku pada 27 November 2014 apabila Najib membatalkan pemansuhan Akta Hasutan serta memberi memberi jaminan akan mempertahankan akta tersebut semasa berucap di perhimpunan agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra. Ini berikutan desakan rakyat selepas beberapa kes melibatkan fitnah dan hasutan telah difailkan di mahkamah. Antara kes yang disebut termasuk perkara menghina agama Islam dan agama lain, ancaman ekstremis agama dan perkauman yang boleh mengancam ketenteraman dan keselamatan negara, serta menghasut Sabah dan Sarawak supaya keluar dari Malaysia. 

Pindaan ke atas Akta Hasutan 1948 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada persidangan akan datang. Sekiranya pindaan akta tersebut dipersetujui oleh Yang di-Pertuan Agong serta diwartakan pada tahun hadapan, maka Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berupaya mengambil tindakan terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang melanggar kesalahan di bawah akta berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Mahkamah Persekutuan bakal menentukan keperlembagaan Akta Hasutan 1948 setelah kerelevanan akta tersebut dicabar oleh pensyarah undang-undang Universiti Malaya, Prof Madya Dr Azmi Sharom pada 17 September 2014. Ini ekoran Azmi mengatakan Seksyen 4 tidak mengikut perlembagaan dan melanggar Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin kebebasan bersuara. Azmi didakwa mengikut Akta Hasutan kerana kenyataan beliau dalam sebuah artikel mengenai krisis Perlembagaan Perak 2009 yang diterbitkan dalam sebuah portal berita pada 14 Ogos 2014.

Mengikut Perkara 128 Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah Persekutuan mempunyai kuasa menentukan sama ada sesuatu undang-undang diluluskan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri sah dan boleh dikuatkuasakan atau tidak. Persoalan yang akan ditentukan mahkamah tertinggi itu nanti ialah sama ada Seksyen 4(1) Akta Hasutan bertentangan dengan Perkara 10 yang menjamin kebebasan berucap dan bersuara dan bertentangan dengan Perkara 4 berhubung keluhuran Perlembagaan. Mahkamah Persekutuan juga akan menentukan sama ada Akta Hasutan sah atau tidak dan diberi kuasa oleh Parlimen.

Sementara itu, peguam Gobind Singh Deo berkata sekiranya mahkamah membuat keputusan bahawa Akta Hasutan itu tidak sah, maka keputusan Najib untuk mengekalkan Akta itu tidak lagi relevan. Peguam Yusmadi Yusoff pula berkata, walaupun mahkamah bakal menentukan sama ada Akta Hasutan 1948 sah atau tidak, keputusan itu tidak akan menghalang Najib untuk kembali ke Parlimen untuk mendapatkan 'mandat' baru, dengan membuat versi baru Akta.

Sebelum ini ramai yang mempertikaikan cadangan penggubalan Akta Keharmonian Nasional kerana dirasakan tidak mampu menjamin sebuah masyarakat harmoni, serta tidak memelihara hak asasi manusia yang lebih adil dan saksama. Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hajah Nancy Shukri dalam pekeliling Jabatan Perdana Menteri pada 1 Julai 2014, rang undang-undang Akta Keharmonian Nasional masih dalam proses draf kerja dan belum dimuktamadkan lagi. Menurut beliau, Akta Hasutan masih lagi berkuat kuasa sehinggalah tarikh pemansuhannya diumumkan kelak, iaitu setelah rang undang-undang untuk menggubal Akta Keharmonian Nasional diluluskan di Parlimen.- A.Rafilah

Sumber-sumber:

1. Astro Awani, T K Letchumy Tamboo, "Pengumuman Najib tidak boleh diguna pakai jika mahkamah putuskan Akta Hasutan tidak sah", November 30, 2014.

2. Bernama, "PM: Akta Harmoni Nasional ganti Akta Hasutan 1948", 11 Julai 2012.

3. Jabatan Perdana Menteri, "Penjelasan terhadap kekeliruan berhubung penggubalan Akta Keharmonian Nasional", 1 Julai 2014.

4. Malaysiakini, "Najib: Akta Hasutan dikekalkan", 27 November 2014.

5. Utusan Online, Fadzly Izab, "Tiga elemen perkasa Akta Hasutan 1948: Berkaitan media sosial, sensitiviti agama, isu Sabah dan Sarawak", 1 Disember 2014.

2 ulasan:

  1. Balasan
    1. Akan diwartakan kepada awam melalui media massa dan risalah akta sekiranya diluluskan oleh Parlimen.

      Padam