INFO

Adat Jejak Tanah


Dalam keluarga Ayuni, setiap anak yang sudah mula pandai berjalan harus melalui suatu upacara yang dinamakan adat jejak tanah. Adat ini tidak boleh ditinggalkan kerana dikhuatiri anak akan ditimpa penyakit ganjil atau hilang "daulat", dan amalan ini berterusan dari generasi ke generasi. Namun ada juga kerabat keluarga Ayuni yang tidak mengamalkan adat ini lagi di atas sebab berkahwin dengan bangsa asing, dan juga sebab merasakan adat ini tidak Islamik atau tidak relevan dengan dunia moden masa kini.

Selagi tidak dibuat adat jejak tanah ini, anak-anak dalam keluarga Ayuni tidak dibenarkan membuat sesuatu yang mendedahkan mereka kepada permukaan bumi, contohnya memijak tanah atau memegang pokok dan bunga. Sekiranya pantang ini dilanggar, anak-anak dikatakan akan membesar menjadi lemah badan, lembab pemikiran, kurang keyakinan diri, asyik sakit bila dewasa, atau paling teruk mengalami gangguan mental dan fizikal akibat tidak kuat mengawal emosi (lemah semangat).

Persediaan Sebelum Memulakan Upacara
Perlaksanaan upacara jejak tanah mesti diketuai oleh saudara mara terdekat atau mana-mana orang lama yang berketurunan kesultanan Melayu Rawa. Mereka yang berketurunan Melayu Rawa ini sukar ditemui di mana-mana kecuali di Gopeng, Perak. Setiap kali Sultan Perak baru hendak ditabalkan, orang-orang lama keturunan Melayu Rawa ini harus dikunjungi oleh Sultan dengan perjalanan kaki mengikut sungai kerana terdapat perjanjian lama ("sembah setia") yang termeterai antara nenek moyang kami pada zaman dahulu. 

Pada malam sebelum upacara jejak tanah berlangsung, anak yang melalui upacara itu akan dipakaikan inai pada jari tangan dan kaki ibarat pengantin baru. Dulu Ayuni pernah tolong menumbuk dan menyediakan daun inai sehingga menjadi pes berwarna merah pekat untuk dipakaikan kepada jari adik serta anak-anak saudara Ayuni.

Beberapa bahan perlu disediakan bagi upacara termasuk hamparan kain kuning, payung kuning, gong, beras putih, beras kunyit, bertih/emping beras, tiga jenis bedak sejuk yang berwarna kuning, hitam dan putih, daun sepenuh, daun puding, tujuh jenis bunga, tiga biji limau nipis, dua ketul ibu kunyit, kemenyan, sebentuk cincin dan sebilah keris. Kain kuning akan dihamparkan di atas lantai atau tanah, dan di atas kain kuning tersebut ditabur tujuh jenis bungaan tadi ke atasnya. Warna kuning harus sama dengan rona warna kuning diraja.

Ketua upacara yang dikenali sebagai Tok Pawang akan membaca doa dan bercerita tentang sejarah salasilah keturunan keluarga kami (yang bermula dari kisah kemunculan tiga adik-beradik misteri, seorang puteri dan dua orang putera kepada Sang Sapurba yang merupakan zuriat Iskandar Zulkarnain, di Bukit Siguntang yang kemudiannya turun ke dunia luar untuk mengembangkan kerajaan masing-masing) bagi memulakan upacara.

Asal-usul Adat Jejak Tanah Bermula Dari Tanah Rawa

Menurut Tok Pawang, amalan jejak tanah bermula apabila lapan Raja Rawa daripada lapan kerajaan ditimpa suatu masalah besar dan gagal menyelesaikan masalah tersebut. Kelapan-lapan raja itu meminta Raja Minangkabau yang bertaraf lebih tinggi untuk membantu mereka menyelesaikan masalah tersebut. Mereka memohon agar Puteri Minangkabau yang terkenal dengan kepintaran akal dan pemikiran jauh luarbiasa datang ke Tanah Rawa untuk menyelesaikan masalah. 

Raja Minangkabau bersetuju menghantar puterinya dengan syarat yang wajib dipatuhi, iaitu Puteri Minangkabau tidak sekali-kali dibenarkan menjejak tanah dan bersemuka dengan rakyat secara langsung seperti orang biasa (tidak boleh dilihat wajahnya). Jika syarat ini tidak dipenuhi, bala yang bakal menimpa ke atas Tanah Rawa. Maka lapan Raja Rawa tersebut sentiasa memastikan Puteri Minangkabau diusung atas bahu pengawal ke mana-mana dia pergi. 

Setelah Puteri Minangkabau berjaya menjadikan Tanah Rawa aman makmur, dia ditabalkan menjadi Tuan Besar Tanah Rawa (setaraf pemimpin kepada lapan Raja Rawa dari lapan kerajaan tersebut) dan dia pun memerintah di sana. Anak cucu Puteri Minangkabau itu yang kemudiannya menjadi Sultan Rawa juga tidak dibenarkan menjejak tanah langsung; kesemuanya terpaksa diusung ke hulu-hilir dan tidak pernah bergaul dengan rakyat jelata, hanya ditemani orang istana. Sehinggalah pada suatu hari salah seorang puteri ingin berkahwin dengan seorang pemuda rakyat biasa yang hadir ke dalam istana sebagai guru. Oleh kerana puteri tersebut terlalu mencintai pemuda itu dan sanggup meninggalkan dunia kehidupannya, masalahnya diselesaikan melalui upacara jejak tanah ini agar dia dapat dilepaskan keluar dari istana untuk hidup seperti orang biasa.

Apakah adat istiadat Melayu yang keluarga anda amalkan? Adakah mereka masih mengamalkannya sehingga sekarang? Kongsikanlah pengalaman anda bersama Ayuni.

Tentang YunFila

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

10 Komen:

Nur Inani berkata...

tak pernah ada adat khusus dalam keluarga.heee :)

kerusiburok berkata...

ni masih amalkan eh? keluarga sy tak amalkan adat sangat. :) ***kerusiburok***

aishah nin berkata...

Saya pernah dengar adat ni tapi dalam keluarga tak pernah buat lagi adat ni :)

weschairs berkata...

Minat dgn fakta sejarahnya..

Mama Myja berkata...

wah, xpernah mamamyja dengar. lagipun keluarga mamamyja tidak mengamalkan sebarang adat-adat nih. hehe

asma langit berkata...

1st time dgr tentang adat ni. Jadi ayuni ni keturunan puteri yg kawen ngan rakyat biasa ya. Bestnya bila tau asal usul dgn detail

siti sofea berkata...

Betul...awk bangga awk urang rao gopeng

fendigato berkata...

cuba ceritakan 2 putera dan seorang puteri..turunnya di mana?

wahidah mohamad berkata...

still buat lagi ke smapai skrg

Ayuni Rafilah berkata...

Ya, setiap kali ada ahli keluarga baru hendak keluar jejak kaki ke tanah buat pertama kali kami akan adakan majlis ini.

KOMEN TERBARU

Dikuasakan oleh Blogger.