Page Menu

Sebuah blog caca-marba yang hidup segak mati tak mau.
Blogger dia pun sekejap update sekejap jadi hantu.

Total Pageviews

Dibina oleh Ayuni Rafilah © 2014-2023 Hak Cipta Terpelihara
Dikuasakan oleh Blogger.

Membongkar Misteri Identiti Jack The Ripper Selepas 126 Tahun


Pada bulan Mac 2007, Russell Edwards, 48, telah membeli sehelai selendang lama dari sebuah rumah lelong di Bury St Edmunds, Suffolk, England. Selendang tersebut dipercayai ditemui di sebelah mayat salah seorang mangsa pembunuh bersiri Jack the Ripper, dan Russell yakin identiti sebenar Jack the Ripper boleh dibongkar melalui penemuan DNA pada kesan darah di atas selendang tersebut.

Jack the Ripper merupakan gelaran bagi seorang pembunuh bersiri di kota London yang tidak diketahui identitinya oleh sesiapa sejak 126 tahun yang lalu. Pada tahun 1888, kota London dikejutkan oleh lima pembunuhan sadis dilakukan oleh Jack the Ripper. Modus operandi pembunuh tersebut melibatkan pelacur sebagai sasaran utama, pembunuhan selalu berlaku di kawasan Whitechapel pada waktu malam, dan mangsa dikelar dengan senjata yang tajam. Hampir kesemua lelaki di London pada zaman itu disyaki sebagai Jack the Ripper disebabkan pihak polis kekurangan bahan bukti untuk mengenalpasti identiti Jack the Ripper.


Oleh kerana tertarik dengan kes Jack the Ripper sejak menonton filem 'From Hell' lakonan Johnny Depp, Russell mengambil keputusan untuk membuat kajian tentang pembunuh tersebut sehinggalah pada suatu hari apabila dia terbaca satu keratan akhbar tentang selendang milik Catherine Eddowes, iaitu salah seorang mangsa Jack the Ripper, yang bakal dilelong oleh David Melville-Hayes. David merupakan cicit kepada salah seorang polis yang pernah menyiasat kes pembunuhan Catherine, dan selendang Catherine dipercayai telah disimpan dalam koleksi keluarganya sejak turun-temurun. Pada tahun 1991 David pernah menyerahkan selendang tersebut kepada Muzium Jenayah Scotland Yard, namun ia tidak pernah dikeluarkan untuk pameran. David menuntut semula selendang itu pada tahun 2001.

Russell bersama selendang yang dipecayai berkait rapat dengan 
pembunuh bersiri, Jack the Ripper

Ramai yang tidak percaya bahawa selendang lama tersebut mampu membuktikan apa-apa, namun Russell terpandang sesuatu pada corak selendang itu yang mengaitkannya dengan Jack the Ripper. Corak bunga daisy yang melambangkan perayaan Michaelmas, kini satu perayaan yang kuno, mengingatkan Russell bahawa kesemua mangsa Jack the Ripper dibunuh pada tarikh-tarikh berlainan sambutan hari Michaelmas mengikut mazhab gereja Kristian - 29 September (Gereja Kristian Barat) dan 8 November (Gereja Ortodoks Timur). 

Russell juga percaya bahawa selendang tersebut bukan milik asal Catherine, tetapi telah diberikan oleh pembunuhnya memandangkan nilai selendang tersebut pada zaman itu adalah mahal, dan Catherine pula seorang yang terlalu miskin sehingga sanggup menggadai kasutnya pada malam dia dibunuh. Ada kemungkinan bahawa pembunuh memberikan selendang bercorak sebegitu kepada mangsa sebagai tanda bila dia akan menyerang.

Russell menghubungi pakar analisis DNA, Dr. Jari Louhelainen, pada tahun 2011 untuk menjalankan ujian pengesahan terhadap selendang tersebut. Dr. Jari yang juga merupakan seorang pensyarah kajihayat molekular di Universiti Liverpool John Moores pernah memberi bantuan khidmatnya dalam kes-kes siasatan Interpol serta beberapa projek lain. 

Dr. Jari Louhelainen di makmal

Sebelum Russell bertemu dengan Dr. Jari, dia terlebih dahulu menghubungi Alan Cormack, penjaga Muzium Jenayah, tentang sejarah penyiasatan Jack the Ripper. Alan menceritakan bahawa pihak polis Scotland Yard telah lama mengetahui identiti Jack the Ripper berdasarkan nota catitan Ketua Inspektor Donald Swanson, pegawai penyiasat yang menjalankan siasatan kes Jack the Ripper pada zaman tersebut. Donald telah mengesyaki seorang pendatang asing berbangsa Yahudi dari Poland, Aaron Kosminski, sebagai suspek utama.

Lakaran wajah Aaron Kosminski

Aaron Kosmonski merupakan pelarian dari negaranya semasa zaman 'pogrom' (kempen anti-Yahudi) oleh Russia. Aaron berhijrah ke London bersama keluarganya pada tahun 1881 dan membuka sebuah kedai gunting rambut. Dia dipercayai mengalami sakit mental dan telah dihantar ke pusat rawatan sakit jiwa pada tahun 1891 di atas kesalahan bertindak ganas terhadap adik perempuannya.

Dr. Jari menggunakan teknik pengekstrakan DNA daripada sel mitochondria pada kesan darah yang ditemui pada kain selendang Catherine; teknik ini dikenali sebagai "vacuuming". Dr. Jari kemudian cuba mengesahkan urutan genetik dalam DNA dengan teknik yang bersandarkan tindakbalas polymerase. Dia kemudiannya membandingkan DNA yang ditemui dengan DNA pada sampel yang diperolehi dari cicit perempuan Catherine. Hasil keputusan mengesahkan padanan sempurna antara kedua-dua DNA.

Dr. Jari menjalankan ujian siasatan berdasarkan DNA daripada sel mitochodria yang ditemui pada kain selendang Catherine.

Apa yang mengejutkan Russell ialah apabila dia diberitahu oleh Dr. Jari bahawa kesan air mani seorang lelaki juga ditemui pada kain selendang Catherine. Dengan menggunakan teknik sama, Dr. Jari membandingkan DNA air mani tersebut dengan DNA pada sampel yang diperolehi dari cicit Aaron. Hasilnya, kedua-dua DNA adalah sepadan.

Sedutan daripada pengakuan Dr. Jari tentang kaedah pengekstrakan DNA yang digunakannya dalam satu temubual bersama wartawan akhbar The Daily Mail UK. 

Russell dan Dr. Jari percaya bahawa penemuan mereka adalah satu perkara yang bersejarah. Russell kini berhasrat untuk menceritakan kepada orang ramai pengalamannya bekerjasama dengan Dr. Jari membongkar rahsia identiti sebenar Jack the Ripper melalui penerbitan bukunya yang bertajuk "Naming the Ripper".

Buku "Naming the Ripper" (2014)

Walaupun begitu, masih ramai pihak yang menolak penemuan tersebut sebagai bukti yang kukuh tentang identiti Jack the Ripper dengan wujudnya persoalan-persoalan tentang kemungkinan DNA pada selendang tersebut telah dicemari setelah dipindahmilik selama 126 tahun; ada yang menyangkal teknik pengekstrakan DNA oleh Dr. Jari sebagai satu pembohongan kerana menganggap mustahil bagi DNA untuk kekal lama dalam keadaan baik; terdapat tanda tanya tentang kaedah yang digunakan oleh Dr. Jari untuk mengenalpasti identiti pemilik DNA asal; serta ada yang tidak percaya dengan kewujudan cucu-cicit mangsa dan pembunuh yang tampil memberikan sampel DNA mereka. Ada juga yang menyatakan kebimbangan akan timbulnya kebencian terhadap orang Yahudi jika Jack the Ripper didedahkan sebagai berbangsa Yahudi dalam buku Russell. Hasil kerja Russell dan Dr. Jari juga belum disemak oleh pakar lain untuk pengesahan. Kesimpulannya, kesahihan penemuan Russell dan Dr. Jari masih boleh lagi dipertikaikan.- A. Rafilah, "Membongkar Misteri Identiti Jack The Ripper Selepas 126 Tahun", 8 September 2014.

Sumber: Russell Edwards, "Jack the Ripper unmasked: How amateur sleuth used DNA breakthrough to identify Britain's most notorious criminal 126 years after string of terrible murders", The Daily Mail UK, 6 September 2014.

3 ulasan: